Lagu: Baek Artis: Farisha Iris / Alan D Komposer / Lirik: Mingaling / Alan D / Amir Hassan Produser: Mingaling / Alan D
Saya mula mengenal Farisha Iris ketika dia di pentas Big Stage beberapa tahun lalu. Vokalnya menawan, gemersik cuma masih kurang pengalaman berpentas membuatkan banyak ruang yang harus diperbaiki.
Di pentas Big Stage sama seperti pesaing seuisinya, dia dibentuk sebagai another penyanyi Balada, suara sedap, boleh menyanyi, feel pun ok. Membosankan sebetulnya tetapi begitulah percaturannya.
Lagu-lagu Balada Farisha seperti “Alasan Terindah” yang dirilis lebih awal dulu tidaklah begitu memberi kelebihan buatnya bersinar. Saya lebih senang mendengar Farisha di lagu terbarunya “Baek” kolaborasi bersama Alan D yang diproduksi produser muda Mingaling.
Lagu begini saya kira membuat Farisha kedengaran lebih muda, ada attitude dan groove yang cukup memikat. Melodinya ada daya pemikat untuk kita sama-sama mendengarkan kemanisan dalam penyampaian Farisha.
Lagu begini dan single sebelumnya “Hello” harus menjadi jaluran muzik Farisha, just keep on producing this modern numbers. Mungkin sekarang orang tak notice but eventually people will. Kurang-kurangkan Balada meleleh. Work on more current sound.
Lagu: Habis Sini Artis: Naim Daniel & Joe Flizzow Komposer / Lirik: Firdaus Rahmat / Mas Dewangga / Joe Flizzow / Naim Daniel / SonaOne Produser: Mas Dewangga / SonaOne
Tidak mahu hanya terikat dengan pasaran muzik Balada masa kini, Naim Daniel meluaskan pasaran bermuziknya dengan kolaborasi bersama Joe Flizzow menerusi Urban Pop track berjudul “Habis Sini”.
Penghasilan melodi yang catchy tercipta mudah memikat pendengaran pendengar muzik semasa. Korusnya hadir dengan hook yang yang tidak sukar kiranya meresap untuk kita ingat bait liriknya dengan mudah. Cuma keseluruhannya tidaklah hadir dengan idea baru, formula serupa Hip-Hop dan Pop yang disatukan menjadikan lagu ini agak forgettable.
Saya lebih tertarik untuk mengulas persembahan vokal Naim yang semakin baik di lagu ini. Sederhana tetapi sangat mencukupi dalam mentafsir isi cerita. Suara Naim saban hari semakin sedap didengar dan semaki matang saya kira seiring usianya.
Naim saya pasti sudah siap untuk menzahirkan sebuah album. Lagu-lagu jaluran muzik seperti “Habis Sini” dan “Adakah Engkau Menungguku” saya kira harus menjadi pengisian di albumnya nanti kerana Naim itu bukan sahaja penyanyi Balada yang baik tetapi mampu menyampaikan jaluran Pop apa pun dengan baik.
Pemuzik muda Indonesia benar-benar meraikan legenda mereka dengan penghasilan lagu-lagu baru yang mengikut rentak biasa legenda-legenda ini dengan penggubahan melodi yang lebih kekinian dan segar sekali.
Setelah LaleIlmanNino bersama Ruth Sahanaya menghasilkan “Satu”, kolaborasi Ahmad Dhani bersama Vina Panduwinata serta Chandra Darusman bersama Dian Sastro memberikan ilham segar penghasilan lagu-lagu yang cukup berkualiti sekali.
Terkini gabungan pemuzik muda yang terdiri daripada empat anak muda Adrian Rahmat Purwanto, Jessi Mates, Joshua David Kunze dan Marco Steffiano membentuk S/EEK sebagai projek kolaboratif yang sebelum ini menghasilkan hits seperti “Tunjukkan” (Raisa & Afgan) dan “Kutukan Cinta Pertama” (Raisa).
Meneruskan kelangsungan dalam penghasilan Pop yang cukup current, anak-anak muda ini mengembalikan persona Jazz seberang, Ermy Kullit dalam sebuah persembahan cukup nostalgik berjudul “Melodi Asmara”.
Lagu ini terhasil sebagai sebuah pengalaman menikmati muzik Ermy Kullit serba baru yang cukup melekakan. Cantuman synth Pop dengan pengaruh City Pop membentuk “Melodi Asmara” dalam acuan Ermy yang sangat menawan.
Lagu ini saya kira sempurna buat anda yang sentiasa senang dengan nuansa lagu-lagu santai begini. Cerita cinta indahnya disusun dalam teks yang simple tetapi cukup membahagiakan. Sebuah repeat mode untuk saya.
Lagu: Kepada Hati Artis: Cakra Khan Komposer / Lirik: Ahmad Fredy
Berdiri teguh Cakra Khan sebagai persona Pop nusantara sehingga hari ini itu saya kira kerana persembahan muziknya dekat dengan jiwa-jiwa lara pendengar muzik tidak hanya di Indonesia malah Malaysia juga Brunei.
Rangkaian Baladanya yang sudah termaktub sebagai jaluran muzik yang sebati dengan attitude dan style dalam nyanyiannya diteruskan bertahun lamanya. Dan magisnya tidak pernah kita lelah dengan persembahan lagu-lagunya yang sentiasa senang di pendengaran.
Sebagaimana Judika, Cakra Khan antara soloist yang cukup popular dan diterima senusantara. Meneruskan kembara bermuzinya, baru-baru ini Cakra melunaskan sebuah lagi naskhah Balada berjudul “Kepada Hati”.
Dengan hanya sekali pendengaran saya pasti anda sudah boleh larut dengan perjalanan lagu ini dari awal ke hujung. Lagu ini dibuka dengan cara biasa bagi saya seperti Balada yang lain. Tetapi perasaan menghayati lagu ini menjadi semakin baik di hujung lagu.
Terkadang saya sendiri hairan kenapa kita senang dengan lagu-lagu sedih begini dan saya mendapat jawapan menerusi lagu ini yang ada dalam penulisan liriknya.
Bait-bait yang terisi di lagu ini berbisik sebuah realiti perasaan kebanyakan kita. Kisah patah hati yang setiap satu daripada kita akan merasai, melalui dan mendalami.
Ku berhenti di batas ini Antara cinta dan mimpi bersamamu Aku sadari kini Bahwa memang hatimu bukan untukku Ku kembali kepada sunyi
Bait-bait di atas saya pasti sudah jelas dalam membentuk realiti sebuah rasa paling dalam saat kita semua rapuh dan patah hati. Kejujuran dalam penulisan lirik Balada begini bergerak sebagai sebuah refleksi nyata hati-hati yang melara.
I mean baca sahaja bait di bawah. Bergenang ya air mata kalau tengah patah hati dengar lagu ni. Sob
Tegarlah diri walaupun perih Berjalan lagi sejauh mungkin Hingga suatu hari nanti pasti bertemu Dengan hati yang tak menyakiti
Melodi ciptaan Melly Goeslaw itu jika mahu dihitung jumlah hitsnya mungkin tidak terhitung banyaknya. Setiap satunya memiliki nilai sentimental tersendiri bagi setiap penggemarnya. Namakan mana saja agaknya bintang besar mana yang tidak pernah menyanyikan melodi ciptaannya. Dari Indonesia sehingga ke Malaysia, melodi Melly sehingga hari ini dikejar untuk mengisi portfolio seni muzik penyanyi yang ada.
Setelah berdekad lamanya berkarya, sebuah album apresiasi terhadap muzik Melly bersama Anto Hoed dialbumkan menerusi sebuah projek yang diberi nama “Melly Goeslaw – Masterpiece” yang siap beredar di gedung muzik digital.
Menampilkan rangkaian hits yang dirakam semula oleh penyanyi berbeza seperti Cinta (Tata Janeta), “Salahku” (Rizky Febian), “Denting” (Petra Sihombing), “Jera” (Anneth) dan beberapa lagu lain yang menampilkan Mayang Sari antaranya.
MELLY GOESLAW
Namun yang paling menarik perhatian saya menerusi projek ini adalah lagu rakaman semula “Cinta Sejati” nyanyian asal Bunga Citra Lestari yang mengisi slot runut bunyi Habibie & Ainun pada tahun 2012. Dinyanyikan semula oleh Reza Artamevia dalam perasaan yang berbeza sekali.
Tanpa perlu terlalu mengubah penghasilan melodi asal dengan susunan muzik berlainan, lagu ini tampil berbeza dengan sendirinya kerana persembahan vokal Reza yang cukup dominan membentuk rasa baru “Cinta Sejati” tanpa perlu dibayangi penyanyi asalnya.
Power vocal Reza tidak terlalu memaksa kita untuk larut dalam persembahannya yang seawal lagu dibuka sahaja sudah membuat saya melayang jauh dengan perasaannya juga pengucapannya yang cukup jelas menyampaikan cerita di balik melodi yang dicipta. Semua terhasil cukup flawless sekali.
Mendengarkan rakaman semula lagu ini saya kira berjaya melepas rindu mendengarkan alunan merdu Reza yang kali terakhir hadir dengan single “Selalu Ada” pada tahun 2017. Persembahan vokalnya berdiri sendiri dan cukup ikonik sekali.
Reza saya kira sentiasa ada pengikutnya. Untuk melihat living legend sepertinya terus menyanyi itu adalah demand tinggi pengikut tegarnya. Persembahan pentasnya akan sentiasa dinanti dan saya pasti rakaman semula “Cinta Sejati” ini akan menjadi another lagu wajib yang akan dinyanyikannya.
Kalendar Pop 60-an dan 70-an hadir beragam dengan banyak kugiran yang membawa ilham muzik retro dan Pop yang sinonim dengan era kebangkitan muzik mereka. Maka lahirlah nama-nama besar seperti Band Titiwangsa, Omara, The Hooks dan lainnya. Semua hadir mewarnai pasaran muzik tempatan dengan ilham serupa namun masih hadir dengan cara tersendiri.
Kugiran di Indonesia dengan nama “Clique Fantastique” antara yang say akira amat jarang diperkatakan. Dengan ahli seramai lima orang mereka mula menjejakkan diri dalam bidang muzik lewat 60-an berbekal empat buah album.
“Aneka Warna”, “Sa-Buah Cerita”, “Clique Fantastique” dan “Batu Karang” menjadi pertaruhan album mereka sepanjang bermuzik. Ilham swingging 60’s, retro dan Rock n Roll dalam persembahan rakaman muzik langsung terhasil sebagai sebuah perjalanan yang menarik untuk didengari.
“Puteri Gunong” antara lagu yang siap terhasil sebagai naskhah malar segar mereka. Lagu dengan ambien ruang rasa penuh nostalgia cukup melekakan dengan sentuhan memori yang dominan dalam penghasilan muzik keseluruhannya.
Sebuah lagi lagu yang terhasil dengan feel retro yang kuat adalah “Kenangan”. Melodinya siap dengan groove 70’s yang memikat, catchy korus dan derum deram mid temponya membuatkan ia terhasil sebagai sebuah naskhah yang cukup santai sekali.
Clique Fantastique menjadi kugiran di era 70-an yang agak sukar sebenarnya untuk kita menemukan cariannya di internet. Tidak banyak info yang dikongsi tentang kewujudan kugiran ini membuatkan saya fikir kehadiran mereka tidaklah begitu memberi impak dalam pasaran muzik ketika itu.
Namun mendengarkan kembali lagu-lagu mereka detelah berdekad dihasilkan, masih mampu menggamit memori pendengar. Setiap isi lagunya terhasil sederhana tetapi cukup menarik untuk didengarkan. Saya tidak pasti jika semua lagu yang dihasilkan adalah original song atau sekadar rakaman semula. Tidak banyak info mengenainya yang boleh dikongsi.
“Ku Choba & Ku Choba” sebuah lagi lagu yang menarik. Slow phase dengan selingan seruling di beberapa bahagian melatari lagu ini feel sekali. Penggunaan instrumen synth menjadikan lagu ini datang sebagai naskhah psikedelik retro yang mengujakan untuk didengar.
Mendengarkan lagu mereka kembali di saluran YouTube “Getaran Nostalgia” benar-benar mengembalikan feel retro yang memberi ilham serta idea baru bagaimana muzik begini boleh diadaptasi dalam trend masa kini.
Band-band indie tempatan boleh menjadikan Clique Fantastique sebagai rujukan yang baik. Kombinasi muzik mereka yang menyatukan beberapa jaluran muzik dalam satu album itu boleh dicungkil dan dicedok ideanya untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan segar pastinya.
Lagu: Buat Ku Sempurna Artis: Vanessa Reynauld Komposer / Lirik: Faizal Tahir / Mage Produser: Adib Hussin
Bakat besar seni suara Vanessa saya kira sudah disedari sejak dia kecil lagi meniti pentas pertandingan nyanyian. Potensinya untuk bergelar superstar itu sudah terlihat dan hanya masa yang tepat sahaja menjadi percaturan untuk dia besar dan bersinar.
Maka dengan single duet bersama Naqiu yang beredar tahun lalu sedikit sebanyak memberi ruang untuk dia dikenali dengan lebih meluas. Biarpun bagi saya lagu tersebut tidaklah begitu memberi apa-apa kelebihan untuk memperlihatkan kredibilitinya sebagai penyanyi. She’s bigger than that hits.
Namun untuk bergelar penyanyi di Malaysia percaturannya harus begitu. Balada dahulu, Balada kemudian dan Balada lagi sampailah orang nampak oh she can sing. Vanessa itu saya melihat can be a solid R&B Contemporary artiste tapi begitulah nak dikenali buatlah Balada dulu.
Setelah percaturan Balada demi Balada, Vanessa hadir dengan percaturan yang membuat hati saya berbisik “Haaa macam ni lah baru Vanessa”. Lagu terbaru ciptaan Faizal Tahir bersama Mage berjudul “Buat Ku Sempurna” menjadi pertaruhan yang bijak, current, moden dan membuat Vanessa itu menyerlah sekali.
Melodi lagu ini saya kira sekali dengar pun kita boleh tahu ia diproduksi team Faithful Music dan hal itu bagus sebenarnya sebab belum lagi ada lagu daripada team Pop masa depan ini yang terhasil mengecewakan. Standard muzik tempatan banyak ditinggikan pasukan muzik Faithful Music.
“Buat Ku Sempurna” hadir dalam asas Balada yang dikemaskan susunan muziknya dengan sangat-sangat baik. Transisi verse ke korus sehingga ke hujung lagu ini bergerak dalam momentum yang begitu menawan sekali.
Vanessa saya kira bertuah mendapat melodi Pop yang sangat bagus begini dan lagu ini juga selamat di tangan Vanessa yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai penyanyi dengan sangat baik. Persembahan vokalnya tidak keterlaluan, emosinya terjaga.
Mendengarkan lagu ini seperti candu, semahunya berulang kali saya menikmatinya.
I would say ini antara melodi paling best yang pernah Faizal Tahir siapkan sebagai sebuah naskhah Pop yang solid. Biar kadang membawa saya teringatkan lagu “Ratu” meets “Nobody” (yang juga dua all time fav FT saya). Namun di tangan Vanessa lagu ini terhasil dengan feel berbeza dan mempesona sekali.
Semoga berbekal lagu ini Vanessa lebih istiqamah untuk menghasilkan sesuatu yang lebih fresh, moden seperti “Buat Ku Sempurna” dan lupakanlah Balada meruntun jiwa tu, penatlah.
Kemerduan suara Mark Natama itu hak hakiki miliknya yang saya kira sangat mampu membuai sesiapa pun juga yang mendengar. Kemampuannya membuat kita larut tanpa perlu terlalu berusaha itu sesuatu yang cukup istimewa untuk seorang pemuzik.
Setelah fasa Indonesian Idol, Mark menyusun langkah bermuziknya dengan semakin pasti. Merilis sebuah single tahun lalu bersama produser muzik LaleIlmanNino, Mark meneruskan ambisi dalam muzik dengan single keduanya bersama Universal Music Indonesia.
Kali ini sekali lagi senang bekerjasama dengan trio muzik LaleIlmanNino, Mark Natama menzahirkan sebuah Soulful Ballad berjudul “Terluka Menginginkanmu” yang sekali lagi membawa kita melayang jauh dalam perasaan terbaiknya mentafsir melodi dan kisah di lagu ini.
Terhasil dalam aliran Balada yang dikemaskan muziknya dengan feel R&B, persembahan vokal Mark menjadi senjata utama dalam memanah ruang rasa pendengar. Soul yang dia miliki cukup mahal dan penuh dinamik yang dibentuk cukup kemas dalam memberi justifikasi sebaiknya buat lagu ini.
Mark Natama antara bakat muda Indonesia yang hadir dengan feel yang sangat bagus selain Kaleb J yang juga antara personal favorite saya. Semoga berbekal single ini Mark akan lebih dikenali dan dihargai bakatnya sehingga dia siap hadir dengan sebuah album.
Apa yang pasti kemunculan single nya selepas ini akan terus dinanti untuk bergerak sebagai persona Pop pelapis yang akan terus dibanggakan.
Pasaran muzik HipHop yang cukup booming di pertengahan era 2000 dengan nama-nama besar seperti Too Phat, Ruffedge, V.E dan lainnya memberi ilham buat pengurusan label muzik EMI ketika itu menzahirkan sebuah projek genius memberi sentuhan baru lagu-lagu popular Ella menerusi projek diberi nama “Urban Strike”.
Menampilkan nama-nama besar muzik Hip-Hop dan Urban Pop ketika itu, “Urban Strike” dizahirkan dalam sebuah album berisi 10 lagu yang rata-ratanya diberi sentuhan muzik yang cukup current dan moden tanpa mengubah terus ilham asal lagu-lagu popular Ella.
Dibuka dengan lagu “Simbiosis” persembahan Shazzy, hadir segar dengan feel Hip-Hop Shazzy yang dilatari vokal Ella yang menyenangkan. Rap Shazzy mendominasi keseluruhan lagu ini dengan baik dan hanya bahagian korus sahaja diambil daripada versi asal.
KRU merakam semua “Kitalah Bintang” dengan momentum muzik yang cukup lively. Tenaga di lagu ini menjadi agak berbeza dengan idea “TYCO” meets “Gorillaz” yang disatukan menjadi begitu sangat menarik. Perincian muziknya dikemaskan dengan instrumen trumpet menjadikan ia lebih segar dan baru.
Pendengaran saya teralih pada feel Soul dan R&B Ruffedge menerusi lagu “Gemilang” yang disusun muziknya dengan jazzy feels. Vokal grup ini berada di tahap yang sangat baik sekali mentafsir rendisi baru yang yang terhasil lebih soulful.
V.E menerusi “Sepi Sukuntum Mawar Merah” menghasilkan sesuatu yang cukup menawan sekali. Persembahan vokalnya, susunan muziknya dan feel nya begitu baik dan membuai sekali. Tidak salah kiranya saya meletakkan lagu ini antara remake yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah adunan semula lagu-lagu tempatan.
A beautiful performance by V.E – saya mengulang dengar lagu ini since ia dirilis dan biar sehingga hari ini lagu ini masih memberi impak yang serupa, meremang.
Keterujaan mendengarkan kembali album ini diteruskan dengan beberapa lagu lain seperti “Layar Impian” persembahan Too Phat yang terhasil antara yang terbaik di album ini. Mendengar another legend remake a queen song saya kira itu sejarah. Too Phat mengadun lagu ini seperti sebuah lagu baru, serba segar dengan pertembungan suara Ella yang diberi efek berbeza melatari lagu ini.
Album ini ditutup dengan lagu kolaborasi kesemua artis terlibat di album ini. “Standing In The Eyes of the World” sebuah naskhah malar segar yang tercipta sempurna semangatnya biar apa jua rendisi yang diadun semula. Dan di rendisi Urban Strike ini, lagu ini kedengaran lebih mewah, besar dan lebih tinggi spirit patriotisme nya.
“Urban Strike” sebuah projek yang cukup menarik pada pandangan saya. Di barat penghasilan album begini sudah banyak dihasilkan cuma di Malaysia masih kurang sekadar beberapa album seperti P.Ramlee Satu Indiepretasi, Legenda Sheila Majid dan terbaru Belagu Dayang Nurfaizah. Usaha begini seharusnya terus digiatkan dengan tujuan meninggikan terus kelangsungan lagu-lagu lama yang cukup hebat.
Lagu: Duit Artis: Stacy Komposer / Lirik: Bunga Cantik / Hang Nadim
Usai fasa Stacy bersama label lamanya dulu banyak percaturan yang dia cuba bawakan namun agak kurang menarik perhatian saya. Lagu-lagu yang dia hasilkan bersama Akim yang memberi impak untuk saya kekal mendengar ke hujung hanyalah lagu duet “Aku Kau & Muzik”.
Yang selainnya saya ambil masa yang lama untuk suka tapi entah mengapa penghasilan melodinya menolak untuk saya kata lagu-lagu itu bagus. Bukanlah menolak keingingan Stacy menghasilkan krafnya tetapi mungkin pabila berbicara soal muzik itu bergantung citarasa.
Maka lagu-lagu seperti “Peluk”, “Khayal”, “Cakap Ke Tangan” dan “Gagap” itu agak kurang menarik perhatian saya kerana atas faktor dominasi Ezra Kong juga Kmy Kmo & Luca Sickta di pasaran muzik tempatan membuatkan saya kira lagu-lagu Stacy itu agak tertinggal sedikit.
Tapi saya sangat enjoy dengan penghasilan “Aku Kau & Muzik” yang ada groove, catchy dan lebih santai. Terkini sekali lagi bersama Hang Nadim, si Bunga Cantik ini menghasilkan sesuatu yang membuka mata saya dan terdetik akhirnya kata “Wow” usai habis mendengar lagu ini.
“Duit” diambil sebagai judul single terbaru Stacy dengan cukup penghasilan sebuah penyatuan Pop dan Rock yang sangat menarik sekali penghasilannya. Terhasil cukup powerful baik penghasilan melodinya, momentum muziknya sehingga persembahan vokal Stacy yang mengancam.
Lagu ini saya kira sangat menyerlahkan attitude vokal Stacy dengan cara yang lebih matang, berbeza dan sangat baik. Pengucapan Stacy dalam penceritaan keseluruhan lagu begitu menjadi sekali.Saya kira jaluran muzik begini harus menjadi destinasi baru Stacy dalam meneruskan kelangsungan bermuziknya.
Stacy sangat hebat di lagu ini. Persembahan keseluruhannya begitu bernyawa dan membuat saya tidak mampu menolak daripada membayangkan betapa powerfulnya lagu ini dipersembahkan secara live beriring band. Dan dengan penghasilan single “Duit” ini, Stacy mengembalikan keterujaan saya menikmati muziknya.