Lama sebenarnya saya tidak memutarkan album ini. Peluang menonton Elyana minggu lalu sebagai penyanyi jemputan Kilauan Emas bikin rindu mahu dengar album ini. Jadi Diriku sebetulnya adalah kemunculan terakhir penyanyi berbakat ini sebelum dia sepi tanpa sebarang album penuh.
Dan sayang sebenarnya dia menghilang di saat Malaysia kekurangan penyanyi yang mampu membawa satu definisi Pop Rock yang sedikit berbeza dan datang dengan penuh attitude. Elyana bertuah saya kira kerana dibentuk Aidit Alfian kerana album sebelumnya, Bicara Mata Ini (2005) yang menampilkan hit Tak Tercapai Akalmu dan Diriku Tapak Sulaiman juga menjadi album penting dalam kembara kariernya sebagai penyanyi.
Aidit mencipta formula yang tepat untuk Elyana menjadi berbeza kerana jika mahu dinilai daripada dua album terawalnya – Satu (2002) dan Segalanya (2003)Elyana hanyalah seorang penyanyi Pop yang biasa-biasa sahaja. Boleh menyanyi tetapi tiada faktor x.
Menerusi album Bicara Mata Ini dan Jadi Diriku saya percaya Elyana sudah menemukan formula yang tepat untuk dia berdiri sendiri tanpa dibayangi mana-mana penyanyi lain. But again sayang, perjuangannya terhenti selepas kemunculan killer album ini.
Hampir kesemua trak dalam album ini memanjat carta radio tempatan seingat saya. Bermula dengan single Kau Atau Aku, Kalis Rindu(yang juga berjaya ke final AJL), Molek, Hati Bentuk Cinta dan Bukan Satelit semuanya hit belaka.
Album ini dibuka baik dengan Kalis Rindu. Trak ini sangat original bagi saya sebagai sebuah Pop Rock yang punya semangat dan bunyi lokal yang sangat baik. Penulisan Ad Samad juga bukan sebarangan. Saya sentiasa suka cara dia memilih kata-kata dalam penulisan liriknya. Penyampaian vokal Elyana juga cukup impresif sekali.
Molek pula antara all-time favorite saya dalam album ini. Trak ini punya versa yang baik, korus yang kuat, susunan muzik yang hebat dan sekali lagi penyampaian selamba bebas Elyana bikin segalanya sempurna.
Kehebatan melodi dalam penciptaan lagu ini diteruskan dalam trak Kasih Berkalih Tujuh. Trak ini punya kesinambungan yang baik selepas Molek. Saya cukup sukakan trak ini terutama sekali bahagian korusnya yang again saya ulang punya attitude yang tersendiri.
Hati Bentuk Cinta meneruskan momentum album ini dan setakat di sini saya begitu enjoy dengan penulisan lirik dalam album ini. Semuanya bercerita tentang cinta tetapi pemilihan perkataan dan susunan ayatnya begitu sedap dan genius sekali.
Berlegar kata di bibir yang manis pulang ke budi,
Berlegar tangis di gelanggang hiba pulang ke pangku.
Pangku mana satu?
Tentulah tempatnya sisiku.
Kau pernah tinggal sini, Kau pernah buat janji, Kerana itulah kumenanti.
Dan meneruskan lagi ayat-ayat sedap yang saya boleh baca dan seronok untuk difahami adalah trak Bukan Satelit. Trak ini juga antara yang saya ulang dengar berkali-kali kerana terlalu sedap sekali hasilnya. Korusnya saja sudah buat saya seronok terbuai dengan persembahan Elyana.
Kita manusia, bukannya satelit
Mampu terpulau mengorbit angkasa
Pastinya kita perlukan sentuhan jiwa ke jiwa
Menolak sengsara kesepian.
Ku Jadi Teman punya korus yang sedap begitu juga dengan Jambatan Mana tetapi tidak sekuat trak sebelumnya. Ada semangat muzik Kristal sedikit dan saya boring. Syukur Kusedar kembali dengan mood lebih deep dan again deep vokal Elyana dalam trak ini juga sangat sedap dan menjadi sekali. Liriknya ditulis arwah Loloq penuh humanis. Baca saja bait ini:
Baru kusedar kenapa tercipta kesepian
Kenapa hidup harus berpasangan
Kerana Tuhan mahu menyatakan cintaNya
Kepada kita insan.
Album ini ditutup dengan single perdana album ini iaitu Kau Atau Aku yang menjadi nadi Elyana. Trak ini sangat cocok dengan karakter vokalnya dan ya dia menyampaikan trak ini dengan penuh attitude.
Maafkan saya jika saya terlalu mengulang perkataan ‘attitude’ dalam review ini. Bukan apa kerana semua perkara tentang album ini menggambarkan perkataan tersebut. Saya gembira kerana saya masih lagi punya salinan album ini dan masih mampu enjoy album ini biarpun sudah hampir sedekad usianya.
Saya juga berharap jika Elyana mahu membuat comeback, dia merujuk kembali album ini atau kembali sahaja bekerja bersama Aidit kerana gabungan mereka berdua bersama lirik hebat Ad Samad adalah perfect match!
