
Album: Puteri Tari (1995)
Artis: Farra
Arranger / Produser: Zuriani
Nama Farra muncul sekitar pertengahan 90-an dengan membawa satu visi muzik Dance dan Pop yang jarang dibawa solo wanita. Muzik begini seringnya diasosiasikan dengan grup-grup wanita seperti Feminin antara yang dominan.
Persembahan Dance Pop mahupun Baladanya melawan arus muzik perdana tempatan ketika itu. Feminin menerusi album Kini dan Kembali melakukan hal ini dalam hits mereka seperti “Kini”, “Rindu”, “Cinta Abadi” yang datang dengan idea R&B Pop yang menceedok ilham grup barat.
Ilham ini diteruskan menerusi album perdana Farra berjudul “Puteri Tari” yang diedarkan pada tahun 1995 dengan hits malar segar yang masih diputar sehingga hari ini berjudul “Bagaikan Puteri” (Zuriani).
Album ini diterbitkan sepenuhnya Zuraini dengan rangkaian 9 lagu mengangkat ilham Dance Pop yang terhasil dalam satu persembahan yang cukup menarik untuk diperdengarkan biar sehingga hari ini.
“Kedua Kalinya” (Zuriani) Balada yang datang sebagai sebuah soulful Ballad yang sentiasa memberi saya goosebumps setiap kali mendengarnya. Struktur lagu ini dikemaskan Zuriani dengan satu sifat yang cukup moden sekali penghasilannya.
“Ributku” sebuah lagi lagu yang cukup menarik pendengaran saya. Feel R&B di lagu ini sangat baik sekali, melodinya cukup original untuk pasaran muzik tempatan ketika ia terhasil. Penulisan liriknya cukup baik sekali dalam cerita kecelaruan kendiri sebagai manusia.
Beberapa lagu Dance di album ini seperti “G.I.L.A”, “Rindu & Hujan“dan “Kata Hati” cukup kuat semangat 90’s Dance beart yang sangat fun dan nostalgic untuk dinikmati.
Tenaga dalam lagu-lagu begini selalu saya bayangkan betapaseronok dinikmati dalam persembahan live berskala besar. Namun sayang hayat karier muzik Farra tidak panjang dan tidak sempat saya menonton persembahan livenya.
Saya kira jika hayat bermuziknya panjang sehingga hari ini dengan segala kredibiliti pentas yang dia miliki Farra sudah menjadi legenda muzik hari ini.
Sepanjang sempat bermuzik Farra sudah menghasilkan dua buah album yang kedua-duanya terhasil dalam ramuan Pop yang begitu ke depan ketika dihasilkan. Album “Sayang” menyusul selepas album “Puteri Tari” ini muncul dalam ilham serupa.
Farra dalam lipatan sejarah Pop tempatan sudah memberi satu warna yang cukup menarik untuk kita kupaskan. Biar sudah berusia lebih 20 tahun album ini tidak terasa tua dan masih seronok untuk kita nikmati.
Beberapa peran lain dalam Pop begini seperti Amy Mastura bersama Azman Abu Hassan dan Azlan Abu Hassan dalam rangkaian album-albumnya cukup menarik segar didengar.
Mendengarkan Farra di tahun 2021 ini membuatkan saya rasa bertuah membesar di era di mana pasaran muziknya cukup beragam dengan penghasilan album (bukan single) yang berkualiti.
ARTIKEL BERKAITAN
Meraikan 80’s Bubble Pop Raja Ema Dalam Kisah Remaja, “Angan-Angan” & “Jejaka Idaman”