
Gagasan Hip-Hop di era 2000 yang dibuka jalannya Too Phat ke lapangan cukup komersial membenarkan nama-nama ‘underground’ pasaran muzik ini memiliki harapan untuk bergerak dalam skala lebih besar dengan lebih meluas pastinya.
Poetic Ammo satu daripada kepelbagaian Hip-Hop yang ada di pasaran muzik tempatan era 2000 yang kita banggakan sehingga hari ini. Nama Yogi B, Landslyde, Point Blanc dan C Loco sudah tercatit dalam sejarah muzik Hip-Hop tempatan sebagai sebuah rujukan muzik dalam jalurannya yang akan sentiasa didengar juga dinikmati.
Berawal sebagai duo Hip-Hop, Yogeswaran Veerasingam dengan stage name Yogi B digerakkan pada tahun 1990 bersama Annad (McEna) di bawah kendalian pengurusan label Kenny Music milik grup Pop 80-an – Kenny, Remy Martin. Awal diberi nama Poetic Ammunition atau PMO, mereka bergerak kecil dengan sebuah single berjudul “Run” dan “Only You”.
Setelah itu kembara bermuzik mereka diteruskan perjalanan panjangnya bersama Positive Tones dengan penghasilan sebuah single berjudul “Who Be The Player” menerusi sebuah album kompilasi berjudul “Trick & Tales” yang menampilkan nama-nama segar pasaran muzik Urban ketika itu seperti Reefa, Innuendo, Ferhad dan Emberz of Soul.
Perjalanan bermuzik mereka pastinya berjalan semakin baik dan semakin rancak – di sini rancak di sana rancak , berdosa. Maka terhasillah tiga album studio bersama Positive Tones – It’s a Nice Day to Be Alive (1998), The World Is Yours (2000) and Return of Tha’ Boombox (2003).
Keunikan line-up Poetic Ammo yang merentas batas bangsa menjadi kelebihan buat mereka. Hip-Hop mereka tidak terikat Bahasa Inggeris tetapi juga Tamil dan Bahasa Cina yang menjadi selling point menarik dalam menjual muzik Hip-Hip ke pasaran domestik dengan pendekatan yang cukup moden sekali. Hal-hal ini sudah dibuktikan dengan jelas menerusi album perdana mereka It’s Nice To Be Alive.
Karya mereka melebar dengan lebih baik di album “The World is Your” dengan kolaborasi nama-nama besar seperti Sheila Majid, Ferhad, Adibah Noor, Atilia dan Reefa antaranya. Single “Somebodys Watching” meneruskan populariti mereka dan dengan adanya single “Tiada Tandingan” nama mereka berjaya menembus radio tempatan dengan mencuri perhatian pendengar Melayu khususnya ketika itu.
Menerusi album “The World Is Yours” juga mendapat nominasi terbanyak sepanjang karier muzik mereka untuk Anugerah Industri Muzik ke-8 bagi kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Kulit Album Terbaik.
Pulang dengan dua kemenangan di malam gemilang tersebut, nama Poetic Ammo setelah itu semakin kukuh di pasaran muzik tempatan dalam jaluran Hip-Hop khususnya seiring nama lain seperti Too Phat dan Teh Tarik Crew antaranya.
Poetic Ammo memberi satu variasi muzik yang cukup menarik sekali di album ini dan ketika ia dihadirkan di pasaran semasa Poetic Ammo sudah siap bergelar legenda muzik yang akan diingati. Dan ya sehingga hari ini nama mereka masih diingati dan muziknya masih didengari.
Rangkaian lagu mereka seperti “There’s Ain’t Stopping Us”, “Pass The Honey” dan “Monay Monay” sudah menjadi siulan sehingga hari ini dan pastinya rujukan berganti generasi yang mengadaptasi Hip-Hop tempatan ke tahap yang lebih pada masa kini.
Kesemua rangkaian lagu-lagu popular Poetic Ammo kini boleh anda dengarkan secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN
“Phat Family” Sebagai Sebuah Victory & History Penting Gerakan Hip-Hop Tempatan