Membaca lirik-lirik S. Amin Shahab saya simpulkan di seorang observant. Memerhati dengan mata, akal dan hati yang ditafsirkan dalam sebuah persembahan teks lirik yang puitis. S. Amin Shahab saya kira legenda dan tersendiri dalam setiap karya-karyanya.
Banyak bekerjasama dengan komposer muzik M. Nasir yang saya kira saling melengkapi kehendak kuga keperluan dalam sesebuah naskhah muzik, kolaborasi dua jiwa dan dua akal ini sering menghasilkan sesuatu yang cukup ikonik.
Muzik Kita melayari kompilasi muzik dalam penulisan lirik yang siap ditulis S. Amin Shahab menerusi saluran YouTube “Getaran Nostalgia” dan menyenarai pendek lagu-lagu yang terhasil keunikannya kerana penulisan lirik S. Amin Shahab.
SEKUNTUM MAWAR MERAH (ALLEYCATS / M.NASIR)
Melodi ikonik ilham M.Nasir ini benar-benar hidup dengan penulisan S.Amin Shahab. Bait-baitnya bergerak sebagai sebuah puisi indah yang dilagukan dalam feel yang cukup syahdu. Bait “Kemesraanmu dan cintaku // Berlagu dalam irama nan syahdu // Tapi mengapa hanya sementara?” datang sebagai satu sifat kekecewaan dan tanda tanya yang diteruskan dalam bait “Apakah dosaku dan apakah salahku? // Sering gagal dalam bercinta // Mengapa cinta hanya sementara?” Persoalan-persoalan yang ditulis dalam lirik lagu ini saya kira dicantum susun katanya dengan cukup solid membentuk sesuatu yang cukup puitis.
TERATAI LAYU DI TASIK MADU (FAUZIAH LATIFF / OMAR MOHAMED)
“Aku tidak sudi melihat dia lagi // Walau dalam mimpi pun tidak kuingini” menjadi bait yang cukup diingati di lagu ini. “Teratai Layu di Tasik Madu” sendiri menjadi satu tajuk yang cukup ikonik dan tersendiri. Balada yang dilantun Fauziah Latiff ini cukup indah melengkapi kehendak melodi, suara dan liriknya yang sehingga hari masih diingati dan didengari.
KERONCONG UNTUK ANA (KEMBARA / M.NASIR)
S.Amin Shahab menulis lagi tentang pengharapan dalam lirik “Keroncong Untuk Ana” dalam teks paling syahdu dialunkan M.Nasir yang dibaluti irama Folk Keroncong. Baitnya pembukanya sahaja sudah terhasil dalam penulisan cukup puitis “Benarkah tiada bagiku // Ruang di hatimu // Untuk ku bertapak” sebelum korusnya menjadi lebih merintih dalam rayuan “Kemana hilangnya keroncong // Ohh cinta yang kita // Nyanyikan bersama”
SEKUNTUM BUNGA DI GURUN SAHARA (MEGA / M.NASIR)
Satu lagi kolaborasi M.Nasir dan S.Amin Shahab yang cukup menjadi. Hadir dalam ilham muzik Sentimental Rock, lagu ini masih berlegar ilham cinta dan pengharapan. Lirik lagu ini bergerak dalam perlambangan yang jelas dalam bait “Jangan kau fikirkan kerana cinta // Gurun Sahara akan menjadi hutan rimba”
HANYA NYANYIAN DALAM SEPI (CHRIS VADHAM/ M.NASIR)
Sebuah pengalaman menikmati muzik 80-an yang cukup nostalgik dan evergreen. “Hanya Nyanyian Dalam Sepi” menjadi bukti S.Amin Shahab penulis yang cukup dengan idea kesepian dan keterasingan. “Jangan kau hujaniku dengan pertanyaan // Kerna pasti akan mengecewakan” menjadi pembuka lagu ini yang cerita panjangnya berakhir dengan sebuah epitome melepaskan “Anggaplah diriku sepotong mimpi // Usah kau tangiskan pada perpisahan ini”
ANDAI KATA SERAI BERBUNGA (FLYBAITS)
Kelebihan lagu ini adalah pada penulisan liriknya yang cukup unik dan puitis hasil nukilan S. Amin Shahab. “Andai kata serai berbunga // Di manakah letak tangkainya // Harumkah ia / Seharum mawar // Putihkah ia // Seputih Melur?” – Saya membaca teks lirik ini sambil berfikir, tersenyum sebegitu observant sekali S. Amin Shahab sebagai seorang penulis. Kepekaan begini yang ada pada seorang penulis saya sangat kagumi. Membaluti sempurna melodi yang ditulis dengan cukup lebut membuai.
ARTIKEL BERKAITAN