
Kekal dalam radar muzik semasa, Ajai antara komposer juga produser muzik senior yang masih aktif dalam penghasilan lagu-lagu baru selain cukup aktif di program televisyen sebagai juri pertandingan nyanyian. Berbanding komposer lain yang seusia dengannya seperti Azmeer dan LY yang semakin kurang penghasilan lagu-lagu baru, Ajai masih menjadi on demand.
Cukup dikenali sebagai komposer prolifik dengan rangkaian hits malar segar seperti Kesetiaan (Sarah), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Percayalah (Siti Nurhaliza), Pulangkan (Misha Omar) dan Selagi Ada (Ning Baizura) antaranya yang masih diperdengarkan, dirai dan dinyanyikan kembali.
Ajai sehingga hari ini masih mengasah pena kreatifnya dengan penghasilan lagu-lagu baru. Tanpa mahu memperlahankan rentaknya satu per satu lagu baru dihasilkan. Menyemak kembali pasaran muzik tempatan dalam dua tiga tahun kebelakangan ini hampir setiap tahun Ajai ada menghasilkan lagu-lagu baru.
Aku Ubatinya Lagi (Ramlah Ram), Kesudahan Kita (Marsha), Ikhlaskan Hatimu (Linda Nanuwil) dan Beribu Rasa (Bob) antara yang siap dihasilkan selain beberapa lagu lagi dicipta untuk Fazli Zainal, Akma, Aril Pilus dan Salma Asis.
Muzik Kita mendengarkan kembali dalam rancaknya produser muzik berpengaruh ini menghasilkan lagu-lagu baru, apakah ada infusi baru yang dibawa untuk meninggikan standard Pop tempatan? Ajai setelah kehebatan melodi “Separuh Matiku Bercinta” (Dayang) dan “Akhirnya Cinta” (Salma) saya kira penanya semakin tumpul dengan penghasilan melodi agak predictable dalam formula berulang. Ini hanya sebuah perspektif yang bermulanya di sini:

Aizat merilis sebuah single berjudul “Hadiahkan Duka Kepadamu” awal tahun ini nukilan Ajai. Melodinya simple dan begitu sebati dengan feel serta vokal Aizat. Namun lagu ini membawa saya pada ilham “Lagu Kita” yang sudah dirakamkan pada tahun 2008 which is sudah berusia lebih 20 tahun.
Sekali pun saya enjoy dengan lagu ini but I have to say bunyinya kedengaran old fashion seperti mendengarkan “Lagu Kita”. Sebetulnya kemasan muzik lagu ini boleh dimodenkan sifatnya agar kedengaran lebih current dengan instrumentasi dan modulasi muzik yang lebih forward & current sifatnya.
Ajai pernah menyudahkan idea-idea sebegini di album duetnya bersama Nurul dulu menerusi lagu-lagu seperti “Jangan Persiakan Cinta” (Lagu duet terbaik mereka), “Sempena Cinta Kita” dan masih ingat album “Selagi Ada … Ning”? – Beberapa lagu di album ini juga terhasil dalam formula serta penjiwaan serupa. Ini yang saya maksudkan dengan bunyi yang old fashion.
Saya percaya jika lagu ini diberi pada arranger muda yang landskap pendengarannya lebih luas dengan pengaruh muzik yang lebih current, “Hadiahkan Duka Kepadamu” akan ada suntikan muzik yang lebih muda jiwa dan sifatnya.

Hal yang serupa ada di lagu “Rasa Tak Menipu” persembahan Hazama yang saya sifatkan memiliki struktur melodi yang hidup dengan jiwa Hazama but again arrangement lagu ini terlalu linear dan tidak dinamik. Saya membayangkan lagu sebegini jika di tangan Iqie Hugh atau Akim akan memberi pengalaman berbeza menikmati melodi Ajai.
“Cinta Yang Abadi” diselamatkan vokal Salma yang sangat hebat dan jika diikutkan daripada segi percaturan menawan pendengaran pendengar hari ini, lagu ini memiliki potensi untuk popular namun saya kira tidak ramai yang tahu dengan keberadaan lagu ini. Magisnya akan berbeza kalau Aina atau Ernie yang menyanyikan lagu ini kerana pengaruh yang ada pada mereka berdua.
Dengan bait-bait lirik “Ini salahku // Ini dosaku // Ini suratannya” yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu di carta Juara Lagu saban tahun, lagu ini ada saktinya namun dek kerana Salma tidaklah berpengaruh seperti penyanyi-penyanyi pentas AJL, lagu ini terbiar sahaja sejak awal diedarkan pada tahun 2021. Sehingga hari ini hanya dua ribu lebih sahaja jumlah strim di Spotify.

Hal ini membuatkan saya berfikir, pendengar muzik hari ini hanya mahu menyokong dan mendengar lagu daripada penyanyi kegemaran mereka sahaja. Jelas juga yang mengundi di Muzik-Muzik itu tidaklah mengundi lagu tetapi penyanyi kegemaran. Jadi di mana keadilan untuk penyanyi seperti Salma, Idayu dan Nikki yang hebat di pentas tetapi setiap kali keluar dengan lagu baru dipandang sepi tanpa sokongan?
Berbalik juga pada karya yang baik, yang mudah didekati pendengar-pendengar muda. Hal ini yang saya kira harus difikirkan komposer senior seperti Ajai. Saya amat percaya bukan hanya kolaborasi penyanyi senior dengan komposer baru sahaja yang akan memberi impak berbeza (Ziana Zain merilis lagu komposisi Firdaus Rahmat tahun ini) tetapi kolaborasi komposer senior dengan arranger juga produser muzik muda juga mampu memberi result yang berbeza dan lebih impactful.
Secara asasnya melodi Ajai masih okey penghasilannya namun apa yang kurang adalah pada produksinya kerana asas melodi pada mana-mana Balada itu sama sahaja namun apa yang membezakan satu Balada dengan Balada yang lain adalah ‘styling’ nya.

Disebabkan itu lagu seperti “Cintaku Masih Berdiri” (Siti Nordiana) dan yang terbaru “Mengertilah” (Liza Hanim) bagi saya kurang daya pengikat sekali dengar. Bayangkan lagu-lagu ini disusun semula oleh tenaga muzik baru di Faithful Music atau Ezra Kong, MFMF. juga Iqie Hugh, John Jeeves dan Mas Dewangga – yang sering bermain dengan efek suara juga beat, ia akan terhasil dengan ‘styling‘ berbeza dan pastinya feel yang berbeza – fresh and current.
Hal ini sudah dibuktikan dalam beberapa Balada yang cukup memberi impak pada pendengar seperti “Peluang Kedua” (Hael Husaini / MFMF.), “Haram” (Ezra Kong) dan “Cinta” (Akim) antaranya. Dan saya percaya juga kolaborasi dua generasi ini akan membentuk satu ekosistem yang sangat sihat dalam perkembangan Pop tempatan.
Hal ini setidaknya sudah dilakukan Sharon Paul sebagai salah seorang komposer senior yang banyak bekerjasama dengan bakat muda dalam kemasan muzik dan idea menerusi lagu-lagu yang dihasilkan. Yang terbaru paling menarik perhatian saya adalah “Di Sebalik Rahsia” yang dihasilkan bersama Haqiem Rusli yang menghasilkan sesuatu yang cukup kemas dan menarik sekali. Saya percaya karya-karya Ajai juga akan lebih mudah disenangi jika diberi infusi yang lebih kekinian.
ARTIKEL BERKAITAN