Album: Kebebasan Artis: Carefree Arranger / Produser: Omar Taib / Nasir / Carefree Label: Universal Music Malaysia
Carefree antara kugiran Pop yang cukup mendominasi pasaran muzik tempatan di penghujung 1970-an sehingga ke penghujung 80-an. Rangkuman lagu-lagu original serta rakaman semula mereka menghasilkan sesuatu yang segar dalam pasaran muzik lokal ketika itu.
Mentafsirkan muzik mereka sebagai gabungan City Pop, Disco Dance dengan pengaruh muzik Melayu asli dalam beberapa rangkaian lagu Joget moden terhasil cemerlang sebagai pentafsiran muzik 80-an yang cukup tepat.
Carefree bersama Alleycats dan Black Dog Bone menjadi nama penting gerakan muzik begini di era tersebut. Muzik mereka bergerak pada satu kosmik Pop serupa yang banyak terhasil di era 80-an. Anita Sarawak antara yang memiliki formula serupa dalam lagu-lagunya.
Menerusi debut “Kebebasan” (1979), Carefree memikat pendengaran dengan rangkaian lagu-lagu yang cukup popular di album tersebut. “Bayangan Tarimu”, “Dendangan Laguku”, “Joget Mak Enon” sehingga hits malar segar “Rindu Bayangan” mencipta satu fenomena luar biasa.
“Ke Disko” (Simon Justin Leow) antara trak kegemaran saya di album ini. Lagu ini terhasil ketika disco era yang cukup boomin g di era 70-an. Suntikan muzik disko di lagu ini cukup menghiburkan dengan penulisan lirik santai. Groove di lagu ini dengan sax session di sepanjang lagu benar-benar menghidupkan lagu ini.
Selain itu, lagu yang menarik perhatian saya adalah “Perkelahan” (Omar Taib) dan “Menari” (Omar taib) – sub budaya di era 70-an begitu mempengaruhi penghasilan muzik Carefree di album ini. Era di mana Studio 54 sangat booming di mana fesyen dan muzik menyatu dengan sangat baik.
Hal-hal ini tentu saja dapat dilihat menerusi imej Carefree itu sendiri, bootleg pants, afro hair, overall yang menjadi kostum utama mereka dalam setiap persembahan, penampilan di kulit album dan setiap kali muncul di majalah tempatan.
Carefree saya kira rujukan muzik yang tepat bagi anak-anak muda tempatan yang mahu mencari ilham Pop dengan sound Synth, Disko dan City Pop dalam muzik mereka. Lagu-lagu Carefree biar berarahkan muzik global ketika itu masih kental dengan jiwa Melayunya.
Hal-hal ini tentu saja dapat anda dengan dalam catchy melodi “Joget Mak Enon”,“Perkelahan” dan “Aku Terpesona”. Album ini saya kira antara gerakan penting Pop tempatan yang datang dengan idea moden ketika diterbitkan menolak ilham-ilham Ahmad Nawab yang ketika itu yang cukup booming dengan pengaruh muzik India dalam ilham muziknya.
Album: LIVE Session Artis: Sang.Rawi Produser: Farouk Kamil / Sang.Rawi
Perjalanan muzik anak-anak muda yang bergerak secara indie tebentang dalam satu lapangan bermuzik yang cukup luas tanpa perlu membataskan diri mereka untuk terikat dengan ilham komersil semata.
Hal-hal ini sesuatu yang cukup positif bagi perkembangan muzik temptan yang memerlukan warna berbeza daripada anak-anak muda ini.
Tahun lalu saya cukup terpesona dengan naskhah Folk “Margasatwa” menerusi single “Ego” yang terhasil dalam acuan muzik yang cukup berbeza. Selain Mafidz, Amir Jahari dan The Venopian Solitude.
Dalam laju mata menelek senarai pemuzik indie yang tersedia di katalog muzik Spotify, carian saya terhenti di sebuah kugiran yang dinamakan sebagai “Sang.Rawi”.
Mendengar EP Live Session mereka mengundang remang dalam enam lagu yang terisi di EP live ini. Pesona awal mereka tentu saja berawal di lagu “Raja” (Suffian / Sang.Rawi) dalam pesona muzik nusantara yang tidak perlu terlalu lama untuk mengembalikan ingatan saya pada karya-karya Zubir Ali, M.Nasir dan Kopratasa.
Penulisan lirik mereka tersusun indah dalam gaya bahasa yang kemas, tidak canggung bait-baitnya. “Hadirmu membawa sejuta hati untuk menari, merindukanmu.”
Keseronokan saya menikmati Sang.Rawi diteruskan dengan penampilan lagu “Maha Seni” (Sang.Rawi / Suffian) yang berawal dengan tiupan seruling yang cukup merdu sekali.
Penghasilan melodinya baik sekali, progres melodinya terhasil dalam sayu yang cukup humanis terutama di bahagian korus saat si vokalis melantun “Hadiahkanlah aku cinta, hanyalah padamu, hadiakan rasa rindu hanya padamu selalu.” dan disambung “Maha seni kembalikan maksud cinta yang sebenar”.
Saya mengulang dengar lagu ini sebelum saya ke lagu ketiga kerana saya tidak tahu bila kali terakhir saya mendengar sebuah gubahan melodi yang seindah, sesayu dan sedalam ini sekali perasaannya.
“Hilang” dan “Kau” meneruskan ilham muzik Nusantara Sang.Rawi dalam satu ambien menikmati muzik yang cukup mahal sekali pengalamannya.
“Joget Lanun” lebih fun dengan listrik lirik ketuhanan dalam bait-bait langgam mereka. “Oh pandanganmu seakan tiada wujud aku yang buta, tiada mengenal-mu yang maha melihat segala dunia.” dan “Semua menari dengan penuh cinta bersama bulan purnama, kekasih.”
“Terbang” menutup EP ini sebagai simbolik kepada pengenalan Sang.Rawi di pasaran muzik yang lebih besar skalanya pada masa akan datang yang pastinya akan lebih matang sebagai sebuah formasi kugiran muzik yang membanggakan.
Album ini mungkin sukar dihadam penggemar muzik mainstream namun andai kata anda lelah dengan kisah-kisah depresi Zynakal dan kisah buli YonnyBoii di lagu-lagu mereka, this one is for you. No obligation.
Katalog muzik Rinni Wulandari tahun ini berjalan laju dengan barisan rilis yang cukup kental feel R&B berawal dengan single “Born Ready” yang diikuti dengan rilis lainnya seperti “Keep On Movin” dan “Feel Good”.
Kesemua single tersebut kental dalam rencah R&B 2000’s yang sememangnya menjadi signature muzik Rinni biar dari awal bermuzik. Warna suaranya juga memang sesuai dengan jaluran muzik begini. Biar kadang saya kira suntikan baru itu kadang hampir tidak ada di lagu-lagunya namun ia masih relevan untuk dipasarkan.
Terkini Rinni bersama Petra Sihombing dan Jevin Julian menghasilkan “Takut Nanti Rindu” single berbahasa Indonesia perdananya tahun ini dengan pesona Motown dan Soulful yang sekali lagi terilham daripada pengaruh R&B.
Awal lagu ini sahaja sudah menampilkan pesona vokal Rinni dalam feel soulful yang cukup mampu mengalihkan pendengaran anda dengan mudah pada single ini. Rinni dalam setiap nyanyiannya kedengaran bijak mengawal tanpa terlalu banyak vocalising yang tidak perlu.
Semuanya terhasil begitu authentic dalam konteks muzik yang teersedia. Cuma dari segi evolusi muzik itu sendiri saya kurang melihat hal-hal yang baru dalam muzik Rinni semuanya terhasil daripada acuan muzik sedia ada dengan melodi baru yang digubah.
Persembahan “Takut Nanti Rindu” saya sifatkan sebagai naskhah terbaik Rinni yang beredar tahun ini. Penampilannya simple dalam pesona yang lebih terasa jiwanya – musically dan juga feel.
Album: Gerak Dan Nada (2020) Artis: Vintonic Produser: Vintonic Label: Dexter Sound Lab
Muzik Vintonic berasas pengaruh City Pop dan Electro yang cukup menawan dalam feel nusantara yang cukup mempersona. Seawal mereka merilis “Cinta Yang Baru” tahun lalu, Vintonic terus serius berkarya dengan beberapa rilis lain dalam feel serupa seperti “I Want You Back” dan “Menebus Mimpi”.
Vintonic hadir dengan pengaruh muzik A-ha, Earth Wind Fire dan Michael Jackson yang disatukan dalam feel muzik Indo Pop dan R&B pada styling yang cukup khusush pada muzik mereka.
“Gerak Dan Nada” menjadi pertaruhan perdana mereka sebagai EP 6 lagu yang cukup solid percaturan muziknya. Berawal dengan lagu “Kartu Hati” yang menampilkan vibe live konsert yang cukup dasyat bunyinya. Melodi Vintonic tidak lepas daripada idea catchy yang menangkap pendengaran.
Hal-hal ini turut terbukti menerusi lagu “Mendua” dalam feel Soul yang cukup menawan. Lagu ini meningatkan saya pada lagu-lagu Maliq & d’Essentials dalam acuan muzik serupa. Cukup menyenangkan sekali pengalaman manikmati lagu ini.
Vintonic bagi saya sudah membuktikan citarasa muzik mereka bertiga cukup tinggi. Kemasan rakaman muzik di setiap lagu kedengaran cukup mahal – terhasil dalam satu spirit yang menyatu baik dari satu lagu ke lagu lainnnya.
Transisi muzik ini yang membuatkan Vintonic akan matang sebagai pemuzik masa depan Indonesia yang mampu dibanggakan. “Gerak Dan Nada” sebagai pemula yang cukup baik untuk mereka ke arah itu.
Saban tahun Anugerah Juara Lagu memberi keterujaan buat kita semua menikmati sebuah pesta anugerah muzik yang relevan dalam radar popular pastinya.
Tahun ini sahaja persaingan antara bakat-bakat muzik muda mendominasi senarai calon teratas. Antaranya Yonnyboii, Luca Sickta, Mas Dewangga, MFMF. cemerlang di senarai semi final.
Faizal Tahir bersama batalion muzik Faithful Music mendahului senarai dengan 5 Lagu ciptaan mereka “X Missing U” (Dayang, Tuju, Yonnyboii), “I Want You To Love Me” (Alif Satar), “Sebentar” (Dayang Nurfaizah), “Panggung” (Apex Tajudin) & “Kau Sakiti” (Amir Masdi).
Senarai ini diikuti nama komposer juga penyanyi muda Hael Husaini bersama Ezra Kong & MFMF. Menerusi penciptaan “Canggung” (Wany Hasrita), “Hati” (Hael Husaini), “Belenggu Rindu” (Wany & Jamal Abdillah) dan “Peluang Kedua” (Nabila Razali) merapati saingan Pop FT.
Dan dua nama ini – FT dan Hael sudah menjadi penggerak Pop tempatan dengan penghasilan lagu-lagu dengan injection moden dalam setiap produksi muzik mereka.
Kehadiran mereka saya kira cukup membesarkan landskap Pop tempatan dengan sound yang lebih kemas, penghasilan lagu-lagu yang bersifat kekinian sesuai selera pendengar muda khususnya.
Tahun ini SFMM 35 menghadirkan seorang lagi bakat muda yang cukup cerah masa depannya – YonnyBoii dalam tiga lagu “Kelabu” bersama Azlan, “X Missing U” (Dayang & Tuju) juga “Sakit” bersama Zynakal.
Potensi besar YonnyBoii tentu saja datang daripada originality dan individuality yang dia miliki untuk bergerak sebagai solo artist yang mentafsirkan jaluran Pop masa kini.
Namun jika tidak berezeki di pentas AJL sekalipun Yonny tidak perlu risau kerana jalannya masih panjang untuk dia evolve sebagai pemuzik yang akan matang seiring masa.
Berbicara soal evolve, tentu saja apa yang kita mahukan di pentas AJL nanti adalah lagu-lagu yang meninggikan standard teks Pop tempatan. Rangkaian Balada tahun ini masih stagnant mengikut selera pendengar tetapi tidak datang dengan satu formula baru.
“Aku Bidadari Syurgamu” contoh Balada yang cukup kemas produksinya. Saya bercakap tentang sound, kualiti rakaman pada lagu ini. Melodinya masih berjiwa Melayu seperti apa yang kita biasa dengar membuatkan originalitynya kurang. Tapi saya tidak pasti adakah itu visi juri-juri tahun ini.
Kualiti rakaman ABS harus menjadi benchmark kebanyakan Balada lokal selain “Peluang Kedua” yang menurut saya antara Balada terbaik tahun ini. Kedua-dua lagu ini punya jalan cukup mudah akan ke pentas final.
“X Missing U” mendahului senarai pilihan saya. Melodinya segar, current, muziknya punya progres dan kolaborasi antara 4 suara – Dayang, FT, Tuju & YonnyBoii cukup kemas dalam satu kejutan cukup manis tahun ini.
Balada Sharon Paul menerusi “Gundah” dan “Takkan Terlerai” hanya mengulang formula muzik serupa tetapi saya kira bonus lagu tersebut tentu saja dengan kelebihan emosi Ernie dan penulisan lirik “Gundah” antara yang paling puitis dalam banyak lagu yang tercalon
Hip-Hop sudah menjadi nadi AJL sejak “Apa Khabar” bergelar juara. “EH” mungkin bukan lagu pilihan saya tetapi ia memiliki elemen hiburan on stage yang baik untuk AJL. Dan “7 Nasihat” seperti ABS – originalitynya kurang (Ala Canggung Too Phat & Yusni) tetapi produksi muzik di lagu ini sangat hebat.
“Sebentar” Memiliki pesona pentas final yang sangat cantik. Kebolehupyaan lagu ini dibesarkan di pentas AJL sangat memberi satu pengalaman berbeza dan kita semua tahu kemampuan Dayang membesarkan naskhah rakaman ke pentas live dengan begitu cemerlang sekali. Rujuk saja persembahan “Tak Pernah Menyerah” di pentas AJL yang lalu.
“Canggung” dalam usaha melestarikan Irama Malaysia bagi saya sebuah naskhah yang gagal serba serbi. Programming dalam lagu ini mematikan authenticity dan nilai seni muzik Melayu asli.
Never for once rasanya lagu Melayu asli yang menggunakan programming berhasil kedengaran mahalnya (Rujuk lagu-lagu awal Noraniza Idris sebelum bersama SRC) . Memodenkan Irama Melayu Asli itu tidak salah tapi harus sensitif supaya keasliannya tidak dimatikan terus.
Pengalaman menikmati muzik Tradisonal Melayu itu harus dalam rakaman muzik dengan instrumen live bukan mesin.
Penjuarian Semi Final Muzik-Mauzik tahun ini seperti biasa dibarisi wajah-wajah biasa Azmeer, Helen Yap, Edrie Hashim, AG Coco, Ajai & Dato Mokhzani.
Saya tak pasti mengapa sudah bertahun-tahun pengajuran, set of judges masih yang serupa. Saya ok dengan Ajai dan AG tapi jangan lupa kita masih ada M.Nasir, Ramli MS, Hattan, Mac Chew & Jenny Chin sebagai pemuzik senior yang masih aktif sebagai pemuzik.
Mac & Jenny sahaja dalam dua tiga tahun ini sudah banyak talent Canto Pop yang menggunakan khidmat mereka sebagai pemuzik di setiap showcase juga konsert.
Dan saya terfikir-fikir mengapa Audi Mok semakin dilupakan? Peranan Audi dalam memberi sentuhan Pop R&B cukup moden berawal awal era 2000 sehingga hari ini mengubah landskap Pop tempatan. Genius muzik begini yang saya kira patut berada di kerusi juri.
Azlan Abu Hassan, Joe Flizzow juga Monoloque juga penting saya kira dalam mengubah landskap muzik lokal. Satu perspektif muzik berbeza pasti akan kita dapat di pentas AJL jika nama-nama ini di kerusi juri.
Bukan menidakkan kredibiliti juri-juri yang ada tapi andai kata masih ada dinosaur dalam muka bumi ni rasanya bumi masih rata tanpa pembangunan.
Dan sudah beberapa tahun juga peranan penulis lirik semakin terabai dan dilupakan. Ad Samad dan Habsah Hassan harus mewakili penulis lirik tempatan di kerusi juri. Tolonglah kembalikan mereka di kerusi juri kerana peranan lirik dalam lagu sangat penting.
BERIKUT 12 LAGU PILIHAN MK YANG HARUS BERADA DI PENTAS AJL 35 TANPA MENGIKUT TURUTAN.
Gila – Kaka Azraff, Noki & Loca B (Noki, Loca B & Ezra Kong)
Hati – Hael Husaini (Hael Husaini & Ezra Kong)
Kelabu – Yonnyboii & Azlan The Typewriter (Yonnyboii)
X Missing You – Dayang Nurfaizah, Tuju & Yonnyboii (Faizal Tahir, Mike Chan, Mage, Ja’a, Tuju & Yonnyboii)
I Want You To Love Me – Alif Satar & The Locos (Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo & Mike Chan / Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo, Mike Chan & Alif Satar)
Peluang Kedua – Nabila Razali (Hael Husaini & MFMF.)
Sembah – Naim Daniel Ft Man Keedal (Naim Daniel & Iqie Hugh)
Panggung – Apex Tajudin (Faizal Tahir, Mage, Mike Chan, Karim Karam & Romeo)
Bergerak sebagai sebuah program hiburan TV saya kira Gegar Vaganza sudah memberi satu keseronokan yang tersendiri dalam rencana meraikan barisan vokalis hebat negara yang hilang dari radar popular.
Hal-hal ini sudah tentu saja terbukti di beberapa musim sebelum ini yang memberikan platform cukup baik buat Siti Nordiana, Biduanita Aishah, Liza Hanim, Sarah kembali aktif mewarnai pasran muzik tempatan dengan lagu-lagu baru serta persembahan live mereka yang dinanti.
Memasuki musim ketujuh program ini GV hadir dalam kekangan pergerakan musim PKP yang iya sedikit sebanyak membataskan kerja-kerjanya untuk bergerak dalam skala besar namun itu bukanlah hal yang boleh menyekat kreativiti pentas GV yang semakin membosankan.
Tahun ini sahaja nama-nama besar seperti Noraniza Idris dan Muss hadir sebagai penyeri pentas sekali gus menjadi wajah yang dinanti saban minggu untuk ditonton persembahan mereka. Berawal dengan cukup menarik tetapi berjalan dengan perlahan membosankan.
Linda by asyrf.shah
Pentas GV saya kira harus mengubah landskap konsep persembahannya agar menjadi lebih serius mengangkat bakat-bakat yang bertanding supaya menjadi lebih musically challenging. Setiap minggu mereka dicabar dengan lagu-lagu di luar genre asal dengan skala persembahan vokal yang sukar diubah dalam masa bebeapa hari sebelum weekly show.
Tema-tema yang semakin mengarut dengan pemilihan lagu yang bukan bersifat pertandingan tidak menguji penyanyi-penyanyi ini untuk melakukan sesuatu yang ekstra sebetulnya.
Sebagai penyanyi berpengalaman mereka harus diuji dengan kemampuan bermuzik secara total tidak hanya kemampuan menyanyi. Semua yang bertanding boleh menyanyi tetapi siapa yang mampu dicabar dengan kreativiti maksima bermuzik itu hal yang harus dimanfaatkan.
Bukan apa, program begini hanya akan jadi wasted jika hanya sekadar mahu melihat Kak Ani gagal menyampaikan Balada. Sedangkan Kita semua tahu Balada bukan forte Kak Ani tapi apa kata Balada itu di Melayu-Asli kan mengikut rentak kemampuan dan kreativiti Kak Ani, persembahan akan jadi sangat interesting dan mencabar buat peserta.
Repertoire muzik harus seiring dengan DNA penyanyi – untuk mengubah penyanyi Rock yang sudah menyanyi lebih 20 tahun menyampaikan lagu di luar genre mereka dalam masa beberapa hari itu absurd.
mus by asyrf.shah
Program ini banyak potensi untuk menjadi pentas yang sangat serius mengeluarkan kembali segala kebolehan kerja pentas secara kreatif bagi penyanyi yang bertanding tetapi semakin membosankan dengan persembahan yang predictable setiap minggu.
Rombakan menyeluruh konsep GV harus diubah jika masih ada lagi musim hadapan jika tidak program ini akan sekadar mengisi Ahad malam yang kosong sementara menantikan Isnin yang sibuk.
Tahun ini Oja begitu menarik perhatian saya. Persembahannya setiap minggu kemas dan konsisten cuma seperti yang saya katakan tadi musically dia tidak terlalu dicabar dengan kemampuan menyanyi dan bermuzik yang dia miliki.
Kembara kerja Oja akan sangat interesting jika pasukan pemasaran muziknya sudah siap menyusun kerjaya muziknya untuk setahun mendatang. Sebuah single solo dan menyusul dengan single duet Siti Nordiana akan memberi satu jaminan populariti buatnya.
Ashira dan Linda Nanuwil semakin baik setiap minggu namun ada hal besar yang harus mereka fikirkan untuk mencuri perhatian pasaran pop yang lebih besar cabarannya di luar. Jika percaturan tidak mengena mereka hanya akan dilupakan begitu sahaja.
ayu by asyrf.shah
Ayu Damit jika tidak mengambil peluang kedua ini untuk kembali disukai dia hanya membuang masa di pentas GV. Bakat besarnya di pentas GV tidaklah begitu dimanfaatkan sepenuhnya tetapi platform ini menjadi laluan baik untuk dia kembalikan keyakinan kita padanya pada masa yang sama untuk melihat kembali penyanyi berbakat berada dalam rada popular.
Ayu perlukan naskhah yang besar sifatnya dan dia tidak harus membuang masa dengan lagu-lagu yang below standard kebolehannya. Noraniza Idris juga begitu, apa yang kita lihat di pentas GV terlalu rendah standard nya berbanding apa yang sudah dia lakukan sepanjang karier muziknya.
Saya mengharapkan GV ini mampu menjadi medan serius yang betul-betul mampu meninggikan standard bermuzik pesertanya yang bukan amatur tetapi sudah punya ilmu serta pengalaman tetapi sayang mereka tidak diangkat sebaiknya.
backstage situation by asyrf.shah
Apa yang lebih menyedihkan peluang dan ruang untuk mereka selepas GV itu tidak begitu mendapat sokongan. Lagu baru bagi setiap mereka di pentas final bagi saya it’s a must kerana itulah menjadi bekalan mereka untuk meneruskan kelangsungan bermuzik setelah tamat pertandingan.
But again Astro hanya mahu memberikan hiburan hujung minggu sahaja. Yang kita pedulikan juga nantikan suara-suara awam yang siap mengecam setiap kesilapan peserta dan cerita-cerita bersifat peribadi yang tidak langsung membantu perkembangan muzik tempatan. Tak boleh ke at least for once kita buat benda tu untuk tinggikan standard pola muzik kita ni?
Album: Legenda (1990) Artis: Sheila Majid Konsep: Sheila Majid Produser: Roslan Aziz Penerbit Bersama: Mac Chew / Jenny Chin Penerbit Eksekutif: Fauzi Marzuki
Rangka kerja muzik Sheila Majid tersusun cukup berkelas dengan senarai album malar segar berawal dengan “Dimensi Baru” dengan barisan hits seperti “Pengemis Muda” sehingga yang terakhir menghasilkan album penuh “Boneka” pada tahun 2017.
Setiap album terhasil dalam kualiti hebat baik dari segi pemilihan lagu sehinggalah produksi muzik kelas satu yang dihadirkan dengan penuh pesona signature muzik Sheila Majid itu sendiri.
“Legenda” (1990) menjadi satu daripada projek termanis sepanjang kariernya. Penghasilan semula lagu-lagu Seniman P.Ramlee dalam rendisi segar di bawah kendalian music genius, Roslan Aziz menghasilkan sebuah album rakaman semula yang paling penting dalam sejarah muzik nusantara.
Dibarisi pemuzik-pemuzik handalan seperti Mac Chew, Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan Mukhlis Noor antaranya menghasilkan “Legenda” sebagai sebuah pelayaran perasaan terindah menikmati karya agung Seniman P.Ramlee.
Album ini terhasil dalam satu “sound” yang pemikirannya hanya ada pada kolaborasi Roslan, Mac & Jenny maka membentuk satu roh muzik buat Sheila Majid yang cukup tersendiri sifatnya. Individuality dalam muzik yang tidak ada pada penyanyi lain.
Sound yang terhasil dalam “Legenda” sudah lebih awal diperkenalkan menerusi album-album Sheila sebelumnya namun semua elemen-elemen menyatu dengan cukup sempurna dalam karya P.Ramlee yang tidak diusik melodi asalnya tetapi ditinggikan standard muziknya mengikut acuan Roslan dan batalion muzik “Legenda”.
Ambien bunyi di album ini seawal lagi sudah diperdengarkan dengan into “D’Legenda” – a welcoming sound oleh Jenny Chin yang menjelaskan idea “Legenda” buat pendengar how this album would sound like. Dan pengalaman muzik tersebut begerak sebagai satu struktur muzik yang sangat kukuh tersendiri sehingga ke trak akhir.
Pengaruh Jazz P.Ramlee ditinggikan standard muziknya dengan kebijaksanaan Roslan Aziz merangka album ini. Lagu-lagu seperti “Manusia”, “Aduh Sayang”, “Bila Larut Malam” dan “Tiru Macam Saya” ditambah elemen groove yang cukup cocok dengan attitude nyanyian Sheila.
“Di Manakan Ku Cari Ganti” kemasan muzik Jenny Chin dengan killer guitar Manan Ngah di trak ini antara yang cukup cemerlang penghasilannya. Lagu yang asalnya cukup merintih sayu ini ditangan Sheila memberntuk sebuah pengharapan berbanding kekecewaan dalam rintihan P.Ramlee. Bahagian awal “Hendak ku nangis…” ditiadakan di vesi Sheila ini.
“Tiru Macam Saya” sebuah lagi lagu yang cukup saya enjoy. Susuna muzik Jenny Chin bersama piano Michael Veerapan is magical. Attitude vokal Sheila begitu dirasai sekali menerusi lagu ini sama seperti “Bila Larut Malam” dengan the best back-up vocal arrangement daripada Liza Aziz dan Azlina Aziz yang begitu hebat sekali persembahan mereka.
“Legenda” bergerak sebagai sebuah pelayaran muzikal untuk kita mengenal dan mencintai karya-karya P.Ramlee dengan satu pengalaman berbeza – yang pastinya lebih moden, current dan forward ketika ia diedarkan 30 tahun yang lalu.
Dan pastinya ia terhasil kerana gabungan kesemua music genius yang ada di album ini – Roslan Aziz, Mac Chew, Jenny Chin, Fauzi Marzuki, Manan Ngah, Paul Panonnudurai, Micheal Veerapan, Mukhlis Noor, Zahid Ahmad dan lainnya.
This album is magical! Semua lagu terhasil dengan satu bunyi yang begitu Sheila Majid sekali sifatnya. Tersendiri, malar segar dan pasti akan didengari, dibicarakan dan dijadikan rujukan biar untuk 30 tahun mendatang.
Dengarkan album penuh “Legenda” di saluran YouTube Getaran Nostalgia.
Lagu: Lover Boy
Artis: Amir Alif
Komposer & Lirik: Amir Alif
Amir Alif mula bermuzik sekitar 2017 dengan pengedaran single “Change” dalam ilham Urban Pop dalam styling R&B yang minimal. Setelah itu dia terus aktif menghasilkan sendiri muziknya dengan beberapa rilis lain seperti “(Not) Okay”, “Melodi Untukmmu” dan lainnya.
Lagu-lagu yang dihasilkan sepanjang beberapa tahun ini melihatkan ciri-ciri Pop yang moden dalam setiap percaturannya. Pengaruh muzik Amir saya kira benar-benar berarahkan pasaran Pop semasa global yang cukup banyak dalam ilham muzik begini.
Terkini, Amir Alif menghasilkan single terbarunya “Lover Boy” hasil ciptaan sepenuhnya bakat ini dengan pertaruhan Pop yang okay penghasilannya namun masih kurang individuality dalam muziknya.
Lagu ini bergerak dalam ilham Pop yang current namun kurang hook untuk mengikat pendengar mendengar ulang lagu ini. Ia sekadar menyalin ilham-ilham sedia ada dalam melodi ciptaan Amir.
Potensi Amir untuk bergerak sebagai pemuzik pelapis tempatan itu ada sebetulnya namun faktor kurang pengalaman membuatkan muziknya kedengaran serupa di hampir semua single yang pernah dirakamkan.
Pasaran muzik Amir harus lebih luas dan hal ini tidak sukar, Amir harus bekerjasama dengan lebih banyak produser tempatan yang berpengalaman kerana jika dia mahu bergerak sendiri mungkin jalannya untuk berada di radar popular dan dikenali dalam pasaran yang luas itu agak lambat.
Hal-hal ini penting untuk Amir evolve sebagai pemuzik. Saya beri contoh bagaimana Hael evolve sebagai pemuzik dan penyanyi – dia berawal sebagai komposer yang berkolaborasi dengan Ezra Kong dalam penghasilan lagu-lagunya dan kemudian menemukan formula baru bersama MFMF. hal yang sama terhasil dalam karya-karya Faithful Music.
Hal ini yang harus dia fikirkan jika dia mahu menjadi pemuzik yang matang.
Pasaran Pop tahun ini dipenuhi ilham kolaborasi yang cukup menarik dalam memberi warna berbeza muzik tempatan. Dominasi pasaran Urban Pop yang didahului produser muzik muda memberi suntikan segar dalam setiap karya yang terhasil.
MFMF. satu daripada jiwa muda yang sudah ke hadapan dengan karya-karya hebat mereka sejak “Aku & Laguku” (Hani & Zue) dan semakin bijak percaturannya tahun ini bersama Hael Husaini menghasilkan brand new Ballad “Peluang Kedua” persembahan Nabila Razali.
Terkini bersama Hael Husaini, Naim Daniel dan Haqiem Rusli, MFMF. menerbitkan sebuah lagi lagu yang terhasil dalam acuan produski muzik yang kekinian dalam melodi Balada ciptaan bersama tiga anak muda ini.
“Lara” kolaborasi suara soloist muda Hael Husaini, Naim Daniel dan Haqiem Rusli terhasil dalam pertaruhan melodi meruntun jiwa yang dikemaskan susunan muziknya dengan cara MFMF. yang terhasil moden tanpa terikat idea Balada itu harus terlalu meleleh.
Produksi muzik di lagu ini menyelamatkan melodi “Lara” yang sebetulnya bukanlah terlalu baru ideanya tetapi dikemaskan dengan cukup rapi setiap sisi bunyi agar tidak kedengaran seperti serupa idea sedia ada.
Menyamakan lagu ini dengan “Beribu Sesalan” mungkin sekadar kebetulan kerana ilham 3 suara yang digabungkan dalam selang seli emosi setiap mereka.
Namun saya kira “Lara” terhasil dengan hook yang tersendiri teutama di bahagian korus akhirnya dan penutup yang cukup mengundang remang kemasan muziknya.
Persembahan vokal ketiga-tiga mereka menyatu sangat kemas, tidak sloppy. Pembahagian setara tanpa ada yang perlu sesiapa melebihi sesiapa. Solid dan tersusun.
Saya gembira untuk melihat lebih BaladaMelayu sebegini di bawah kendalian MFMF. kerana mereka bijak meninggikan standard penghasilan muzik tempatan dengan suntikan bunyi yang cukup current sekali.
This 3 boys from MFMF. are really means something to our music scene sekarang.
Seminggu dua ini saya banyak melewati kalendar muzik 70-an dalam ilham Pop Melayu rata-ratanya dipenuhi suara-suara merdu Biduanita buluh perindu yang menghiburkan kita berdekad lamanya. Mendahului senarai utama pasti saja Sharifah Aini, Rafeah Buang dan Uji Rashid.
Pasaran muzik Melayu era ini sebetulnya dipengaruhi irama Melayu Asli yang dimasukkan pengaruh muzik Hindi. Hal-hal ini dapat didengar jelas dalam rangkaian duet Uji Rashid juga Hail Amir khususnya. Album perdana mereka “Antara Matamu & Mataku”(1976) terhasil daripada ilham tersebut.
Hits seperti “Antara Matamu & Mataku”, “Tanda Kasih”, sehingga rakaman semula “Gelora” dengan barisan komposer serta produser seperti Ahmad Nawab, S.Atan, Osman Ahmad menghasilkan album ini yang menjadi antara album penting di era 70-an.
Uji Rashid menerusi album “Kali Terakhir Ku LIhat Wajahmu” dengan lebih banyak lagu hits di bawah kendalian Datuk Ahmad Nawab yang menjadi antara album penting Uji Rashid sepanjang karier muziknya.
Dengan barisan lagu malar segar seperti “Kemesraan”, “Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu”, “Kembalilah” dan “Mengapa Dirindu” terhasil sebagai sebuah album yang cukup kuat feel Kemelayuannya.
“Hanya Kasih” saya letakkan sebagai lagu terbaik yang dirakamkan Uji Rashid sepanjang karier muziknya. Melodi Ahmad Nawab menerusi lagu ini antara yang cukup asli sekali penghasilannya.
Pesona Uji Rashid itu sebetulnya tentu saja datang lebih awal datangnya daripada apa yang sudah disajikan Sharifah Aini dalam kembara kerjaya yang bermula lewat 60-an lagi.
Biduanita Sharifah Aini muncul dengan EP Perdananya berjudul “Seri Dewi Malam” pada tahun 1970 di bawah kendalian produser muzik Kassim Masdor dengan tida lagu lainnya “Dari Masa Hingga Masa”, “Kini Hatiku Telah Tertawan” dan “Jasa Ninda”.
Seri Dewi Malam menjadi titik tolak bermulanya perjalanan muzik Sharifah Aini dalam memikat penggemar muzik tempatan ketika itu. Suara lunak merdunya melintasi pendengaran semua ketika itu yang jarang gagal membuat kita jatuh cinta dengan alunannya.
Setelah itu satu per satu album diterbitkan bersama EMI ketika itu dengan rangakaian album Pop, Irama Melayu Asli, album Inggeris sehingga rakaman-rakaman duet bersama Broery Marantika antaranya menjadi antara yang cukup ikonik sehingga hari ini.
Keindahan vokal Biduanita Sharifah Aini yang sering diberi jolokan buluh perindu itu seterusnya menghasilkan lebih ramai lagi penyanyi wanita dengan acuan muzik serupa namun pastinya tidak dapat menandingi pesona suara miliknya.
Beberapa rakaman album terbaiknya seperti Irama Cintaku (1972), Lela Manja (1979), Malam (1980) merentas ke era 90-an dan 2000.
Nama Sharifah Aini tentu saja sinonim dengan produser muzik hebat seperti Datuk Ahmad Nawab, S.Atan, Khairil Johari Johar, Ramli MS antaranya melengkapkan kosmik Pop biduanita.
Rafeah Buang seorang lagi buduanita Pop Melayu yang lebih awal menjengah pasaran muzik Malaysia – Singapura di era 60-an lagi. Berawal dengan kugiran The Swallows menghasilkan EP self-titled bersama produser muzik Kassim Masdor.
Berisi empat lagu, EP tersebut menjadi satu daripada keseluruhan 3 EP yang dikeluarkan Rafeah Buang pada tahun 1968 sahaja. Pengaruh muziknya perlahan-lahan tersemai dalam pasaran muzik tempatan sehingga hari ini dengan rangkaian hits seperti “Udang Sama Udang”, “Ya Illahi Ya Rabbi” dan “Gurindam Rindu”.
Apa yang istimewanya tentang Rafeah Buang adalah kebanyakan lagu-lagunya adalah ciptaannya sendiri yang kebanyakan dibantu produksi muziknya oleh Ooi Eow Jin yang juga bertanggungjawab merangka album Rafeah Buang seperti “Don Juan” dan “Dalam Ketenangan”.
“Bisikan Hati” tentu saja akan menjadi lgu malar segar Biduanita ini yang akan terus meniti bibir dan menyentuh hati setiap yang mendengarnya berganti generasi tanpa pernah hilang magisnya.
Suara ketiga-tiga biduanita ini tentunya menjadi antara suara yang akan sentiasa didengari dan diingati sebagai pioneer dalam legasi muzik tempatan. Dengarkan rangkaian lagu-lagu Uji Rashid, Sharifah Aini dan Rafeah Buang di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.