Highlight, Review, Terkini,

Persembahan Jiwa & Cinta Sivia Diteruskan Menerusi EP “Camellia”

Album: Camellia
Artis: Sivia Azizah
Produser: Iwan Popo 

Sivia muncul sebagai Soulful singer yang mengendong jiwa Indonesianya dengan cemerlang sekali dengan rangkaian hits “Love Spells”, “Storm” dan beberapa lagi yang siap dimuatkan dalam album solo perdananya “Love Spells” yang beredar tahun lalu. Kelembutan suaranya dengan feel hebat disatukan dengan penghasilan muzik R&B Soul dan berlatarbelakangkan koir lengkap mengisi jiwa kita sebagai pendengar.

“Camellia” dibuka dengan acapella “Intro, Camellia” yang menjual jiwa Sivia dengan mudah sekali untuk terus meresap ke pendengaran pendengar. Lembut membuai halwa sebelum disambut lontaran koir yang melengkapkan feel melodi di lagu ini dengan begitu menyenangkan sekali. Semakin menuju ke penghujung, semakin kemas terhasil sebagai sebuah naskhah pembuka yang cukup baik sekali.

Diteruskan dengan “Are You My Valentine” yang beredar awal tahun ini, Sivia santai dalam penyampaian vokalnya yang bersahaja tanpa perlu bergantunng dalam hal-hal yang terlalu teknikal untuk kedengaran sempurna sedapnya.

“Butterfly” dan “Lifeline” menjadi dua lagu baru yang beredar di EP yang saya kira menjadi temannya dalam durasi pandemik ini. Agar tidak membiarkan penggemarnya terus menanti terlalu lama untuk naskhah barunya.

“Camellia” terhasil sebuah naskhah sederhana tetapi cukup untuk kita menghargainya sebagai sebuah persembahan muzik yang menyenangkan. A beautiful voice.

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Siap Menawan Pasaran Komersial, Elvin Saragih Melepas Single “Kau Ulangi Lagi”

Highlight, Review, Terkini,

Damai & Cinta Glenn Fredly Menerusi Rakaman Langsung “Surga Itu Ada”

Lagu: Surga Itu Ada
Artis: Glenn Fredly
Komposer / Lirik: Glenn Fredly

“Lagu ini, lagu cinta di angle yang berbeda” – Glenn Fredly membuka persembahan “Surga Itu Ada” dengan mukadimah di balik penghasilan lagu ini. Sebuah rakaman langsung yang cukup terhasil kemas penghasilannya. Berbalas dengan petikan piano sebelum memasuki bait awal lagunya, Glenn meneruskan kata-katanya “Lagu ini lahir tepat pada peristiwa yang membuat hati saya hancur lebur”.

Glenn membahas soal cinta dan kemanusiaan dengan cukup puitis sekali. Perasaannya melekat antara melodi dan penulisan lirik Glenn yang begitu humanis sekali. “Jika Surga itu ada, Mengapa benci yang kau tanam?” dan disambung “Jika Neraka itu ada mengapa kasih sayang, Harus kau ganti dendam?”.

Menerusi lagu ini Glenn benar-benar mahu meluahkan apa yang benar-benar terbuku di hatinya tentang sifat dan pemikiran bersulam rasa untuk memberitahu dunia apa yang kita lalui hari ini ada salahnya dan ada hal yang tanpa kita sedar terlepas daripada tanggungjawab kita untuk benar-benar menjaganya dengan cinta.

Perbahasan Glenn bergerak sebagai sebuah bahan fikir dalam lagu yang cukup menarik untuk dihayati dan diamati. “Untuk kedamaian ku bernyanyi meski jalan terjal kutemui, dalam harap ku berdiri, semoga cinta teduhkan kita.”

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Kembali Ke 10 Tahun Pertama Di Era 2000, Berikut 10 Album Indonesia Paling Berpengaruh

Highlight, Review, Terkini,

Terlarut Dalam Persembahan Sensual Aisyah Aziz Menerusi “Pearls”

Silky sensual voice milik Aisyah Aziz cukup tersendiri dalam memikat pendengaran. Biar ada yang tidak menggemarinya saya kira one artiste cant always please mass market terutama sekali yang keluar dari kepompong Pop tipikal Melayu khususnya. Aisyah dengan karakter vokalnya yang tersendiri meramu kembali 12 hits malar segar merentas era dalam sebuah album berjudul “Perals” yang siap beredar di gedung muzik digital.

Saya tidak mendengar album ini mengikut urutan lagu yang terisi. “Pearls” persembahan asal Sade menjadi lagu pertama yang saya dengar kerana ia memang impian saya untuk melihat Aisyah merakam ulang lagu-lagu Sade. Nyata ia tidak menghampakan saya. Persembahannya terkawal, membuai dan pada masa yang sama masih mengekalkan sensualiti dalam persembahan vokal Aisyah. All those sax dalam lagu ini, aghhh. Sempurna.

“High & Dry” (Radiohead) menjadi lagu seterusnya yang saya dengar. Dibuka dengan cukup lembut, tertib sebutan Asiyah cukup jelas – Lagu ini disusun dengan cukup sederhana sekali namun masih terasa momentumnya untuk kita enjoy tanpa rasa bosan. “Purple Rain” (Prince) meneruskan keterujaan saya mendengar album ini. This one definitely a repeat mode – Saat Aisyah melontar bait “I never wanted to be your weekend lover” saja sudah buat saya nak bangun tepuk tangan. Simply beautiful. 

Melarut dalam persembahan Aisyah membawa saya ke lagu seterusnya “Wonderful” (Lianne La Havas) yang datang dengan feel Jazz/Bossa yang super cool sebelum meneruskan pelayaran di album ini bersama lagu lainnya seperti “Like a Star” (Corrine Bailey Rae), “Bellyache” (Billie Eillish) dan “Smile” (Nat King Cole).

Aisyah Aziz di album ini saya kira menyerlahkan segala kemahuan dan kemampuan bermuziknya di tahap yang baik. Persembahan vokal Aisyah selalunya agak sedikit berlebihan tetapi dikawal cukup kemas di album ini. Lebih sederhana, memikat dengan feel yang cukup baik sekali. I really enjoy this album.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Setelah 25 Tahun, Casey Kembali Membuai Rasa Lewat Single “Kau Harus Pergi”

#RetrospektifMuzik, Terkini,

Mendengar Kembali Groove Junio Hustle Dalam Debut “Rap Graduate” Yang Beredar Lebih Sedekad Lalu

Pasaran muzik Hip-Hop di era 2000 melahirkan sangat banyak bakat-bakat muda yang datang dengan karya tersendiri dan dek kerana lambakan itu sebetulnya banyak juga yang terpinggir daripada perhatian yang sepatutnya. Satu daripadanya adalah Junio Hustle yang muncul dengan album “Rap Graduate” ketika Too Phat dan Ahli Fiqir cukup booming mencuri perhatian penggemar muzik tempatan.

Album ini menyenaraikan 15 lagu kesemuanya yang datang dengan groove, soul juga feel urban yang cukup forward ketika diedarkan. “Malaysian Is You, Malaysian Is Me” menjadi killer di album ini dengan kolaborasi muzik Junio Hustle bersama Point Black dalam lirik 3 empat bahasa – Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil membentuk spirit Malaysia yang baru dan segar ketika diedarkan. Biar sudah lebih 10 tahun beredar lagu ini masih terasa kesegaran muziknya.

Groove Junio Hustle diteruskan dalam lagu lainnya seperti “Saturday Nite Life” yang lebih keras penyampaian mereka. Hal serupa dirasai dalam lagu seperti “It’s Reality” dan “Underground Business” yang kuat pengaruh Too Phat di dalamnya sebelum lebih soul di lagu “Segalanya” yang sepatutnya boleh sangat popluar ketika diedarkan tetapi entah di mana kurangnya lagu ini dipinggirkan.

Namun pendengaran saya cukup tertarik dengan rakaman lagu “Malam Pesta” yang mengambil sample lagu “Memikat Hati” R.Azmi yang meneruskan formula Too Phat dalam lagu “Anak Ayam”. Lagu ini saya kira fun dan idea mengambil sample lagu-lagu lama ini membuatkan Hip-Hop itu lebih mainstream friendly dalam ilham memikat pendengaran penggemar muzik tempatan khususnya.

Junio Hustle hadir dalam pasaran muzik tempatan mungkin pada masa yang kurang tepat kerana dominasi Too Phat, Poetic Ammo, Ahli Fiqir sehingga kemunculan V.E dan Ruffedge yang membuatkan nama mereka sedikit suram. Namun mendengarkan kembali album ini pada saat ini  masih terasa relevan dan segarnya. Produksi muzik di album ini cukup kemas dan clean tanpa terlalu perlu menjadi terlalu bising.


ARTIKEL BERKAITAN

Setelah 25 Tahun, Casey Kembali Membuai Rasa Lewat Single “Kau Harus Pergi”

#PerspektifMuzik, Highlight, Review, Terkini,

Kembali Ke 10 Tahun Pertama Di Era 2000, Berikut 10 Album Indonesia Paling Berpengaruh

Pasaran muzik Indonesia cukup berpengaruh dalam membentuk citarasa muzik tempatan. Muzik kita melewati pasaran muzik Indonesia di awal era 2000’s dan menilai lihat kembali album-album yang cukup berpengaruh sepanjang tempoh itu.

Sheila on 7 membawa gelombang Pop band seberang yang luar biasa di sini sejak kemunculan hits “Dan” pada tahun 1999. Kemuncak populariti mereka di sini tentu saja pada pemasaran album kedua “Kisah Klasik Untuk Masa Depan” yang terisi lebih lagi lagu-lagu hits malar segar yang masih didengarkan biar sehingga hari ini. “Sephia” dan “Bila Kau Tak Disampingku” menjadi tenaga utama album ini sebelum diteruskan dengan single lainnya. Album ini turut mendapat nominasi Album Indonesia Terbaik, Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-9.

Pertaruhan Once sebagai vokalis baru Dewa 19 yang ketika itu bergelar “Dewa” nyata satu percaturan yang menjadi. “Bintang 5” menjadi album Dewa paling berpengaruh tidak hanya di Indonesia malah di Malaysia. Rangkaian hits “Roman Picisan”, “Separuh Nafas”, “Dua Sejoli, “Lagu Cinta” and the list goes on memberi satu fasa baru Dewa dalam terus mencuri perhatian penggemar mereka dengan landskap baru muzik Dewa yang pastinya cukup disenangi semua Baladewa nusantara.

Krisdayanti menerusi dua album awal yang beredar di Malaysia “Menghitung Hari” (1999) dan “Mencintaimu” (2000) cukup berjaya menawan pendengar tempatan dengan kelunakan power vokalnya. “Cahaya” menjadi satu fasa peralihan Pop Krisdayanti yang lebih matang, lebih solid dan lebih kemas penghasilannya. “Pilihlah Aku”, “Cobalah Untuk Setia” dan “Cahaya” menjadi lagu yang cukup berfenomena di sini. Menerusi album ini juga dia berhasil memperoleh pencalonan Album Indonesia Terbaik.

Gelombang entertainment  Indonesia di Malaysia tidak hanya di perkembangan muziknya malah juga perkembangan filem yang membawa muzik di filem “Ada Apa Dengan Cinta” menjadi cukup berhasil di sini. “Ada Apa Dengan Cinta” menjadi peneraju gelombang OST Indonesia untuk terus popular. Dan populariti itu tentu saja memberi kelebihan buat Melly untuk dia terus dikenali di sini sehingga lebih ramai penyanyi tempatan yang mahukan sentuhannya. Runut bunyi AADC adalah sebuah sejarah penting muzik Indonesia.

Mengembalikan nostalgia muzik era 2000 mustahil untuk tidak kita memberi ingatan pada Peterpan. Mula dikenali dengan album “Taman Langit”, Peterpan ke Malaysia bersama label Suria Records yang meneruskan kelangsungan bermuzik mereka dengan lebih ligat di album “Bintang Di Surga” pada tahun 2004. Dengan hits sepanjang zaman “Mungkin Nanti”, nama Peterpan mengisi frekuensi radio tempatan beriring beberapa hits lain seperti “Ada Apa Denganmu”, “Ku Katakan Dengan Indah”, “Khayalan Tingkat Tinggi”, “Dibelakangku” dan lainnya.

“Hanya Memuji” sudah menjadi naskhah malar segar dalam legasi Indo Pop sehingga hari ini. Debut Marcell ini bergerak dalam nuansa R&B Pop yang cukup menyenangkan dengan rangkaian lagu ciptaan Melly Goeslaw, Tohpati dan Dewi Lestari yang cukup indah penghasilan melodinya. “Semusim”, “Jangan Pernah Berubah”, “Mendendam” dan “Firasat” menjadi lagu-lagu wajib dalam senarai lagu yang harus dinyanyikan Marcell dalam persembahan langsungnya.

Fenomena band Indonesia diteruskan lagi sehingga pertengahan 2000 dengan kehadiran Nidji yang menggila dengan hits “Sudah”, “Hapus Aku” dan “Bila Aku Jatuh Cinta”. Pasaran muzik mereka yang datang dengan pengaruh Brit Pop ketika itu menyatu baik dengan feel Indo Pop. Nidji menjadi antara band penting dalam perkembangan muzik Indonesia di Malaysia. Dan tentu saja fenomena mereka tidak bergantung pada album ini sahaja malah bersambung dengan album-album seterusnya.

Sebuah lagi runut bunyi yang cukup booming ketika diedarkan adalah daripada filem “Heart” yang sekali lagi dikepalai Anto Hoed sebagai produser dengan melodi emas Melly Goeslaw. “My Heart” persembahan vokal mediocre Acha dan Irwansyah biar dikritik keras ketika diedarkan tidak menghentikan populariti lagu ini. “Pencinta Wanita”, “Berdua Lebih Baik” dan “Sampai Menutup Mata” turut menjadi anthem album ini.

Glenn Fredly membentuk satu ciratasa Balada R&B yang cukup berkelas sekali. Lagu-lagu seperti “Januari”, “Akhir Cerita Cinta” dan “Sekali Ini Saja” meletakkan standard Balada Indonesia lebih tinggi sebetulnya. Album ini solid sebagai sebuah album R&B Pop yang cukup solid sekali penghasilannya. Pop di album ini diramu cukup segar, terutama sekali kolaborasi Glenn bersama Audi menerusi single “Terpesona”.

Agnes memasuki pasaran muzik dengan tenaga baru dalam muzik. Berawal dengan “Bilang Saja” dia berjaya mengalihkan pandangan penggemar muzik padanya. Tidak hanya popular di Indonesia, Agnes bersayap ke Malaysia mencipta nama di sini dengan rangkaian hitsnya yang datang dengan kekuatan vokalnya yang cukup hebat beriring kebolehan berpentas yang mengagumkan. “Sacredly Agnezious” sebuah kematangan bermuzik Agnez. “Matahariku” akan sentiasa menjadi lagu yang akan sentiasa didengari dan akan dinanti penggemarnya setiap kali dia di pentas.


ARTIKEL BERKAITAN

2001 In Music: Kepelbagaian & Keterbukaan Bermuzik Secara Kreatif & Bebas

#RetrospektifMuzik, Terkini,

Scan – Dua Album Satu Kenangan Panjang Rock Kapak Tempatan

Kumpulan Scan hadir dalam pasaran muzik tempatan dalam lambakan generasi kumpulan berhuruf “S” – Spring, Scoin, Spoon, Slam, Sup dan the list goes on yang menawarkan ilham serupa – Balada bunuh diri, kisah darjat,  cendikiawan di Halaman Kontang & Tulang Ikan. Ya Tulang Ikan antara judul lagu Scan yang dimuatkan dalam album mereka.

Lagu-lagu Saari Amri, Eddie Hamid dan Lan Laga yang rata-ratanya melatari dua album studio mereka “Jelas Terlihat” (1996) dan “Bila Anganku Terbukti” (1997) – meneruskan ilham U.K’S, Exists dan Slam yang lebih awal mencuri perhatian dengan Balada Melayu yang cukup ramuan mendayunya, sayunya juga sendunya. Kalau betul-betul sedang dalam galau, lagu-lagu ini memang akan menusuk.

Scan yang didepani Azan sebagai vokalis utamanya memberi kelebihan buat kumpulan Scan. Azan memiliki karakter vokal brader-brader Melayu yang jiwa rempit dalam nyanyiannya sangat baik menurut saya. Vokal Azan jelas, emosinya tepat dan tidak hairanlah kalau kita betul-betul dapat rasa sedih dan sayunya dalam lagu-lagu kumpulan ini.

“Kau Dipaksa Aku Terpaksa” (Saari Amri) menjadi pertaruhan yang sangat tepat mencuri perhatian pasaran muzik 90-an dan dengan lagu ini Scan abadi dalam sejarah Rock Kapak tempatan dalam alunan melodi Jiwang yang akan sentiada diputar biar usia lagu ini sudah berganti generasi. Tidak terkejut melihat jumlah strim lagu ini di Spotify sudah melebihi 1 Juta strim. Selayaknya sudah bergelar malar segar dalam legasi lagu-lagu jiwang tempatan.

“Hati siapakah mampu menahan rasa terkilan setelah percintaan dihujani halangan..” Bait cinta terhalang yang cukup tipikal dalam lapangan lagu-lagu jiwang dan tidak cukup dihujani halangan malah dihiris belati – “Pernah jua ku terluka dihiris belati tajam.” Sebuah perlambangan hiperbola yang sememangnya berlebihan untuk menggambarkan kepedihan dan kesakitan jiwa yang ditanggung tadi akibat terpaksa berpisah.

Seronok sebenarnya membaca teks lirik lagu-lagu yang tertulis di era ini. Isi ceritanya mudah namun perlambangan dan simbolisme itu ditulis dengan cukup terperinci dalam menggambarkan situasi juga perasaan sang pencerita. “Tak Mungkin Cendikiawan Menyintai Seniman” sebuah lagi lagu yang hadir dengan perlambangan yang hiperbola. Lagu ini bergerak awal dengan persoalan “Bila aku fikirkan sejenak apa kurangnya aku, Hingga gagal memilikimu.” sebelum bersambung dengan hipotesis;

“Sedangkan kau cendekiawan
Lebih arif tentang kehidupan
Dan aku pula insan seniman
Hanya arif pada keindahan.”

Yang kemudian disambut dengan jawapan “Kerna diri sendiri hidup tak menentu, Mungkin itu salah satu, Mengapa kau membisu walau puas ku merayu.”  Begitu cerita disusun berisi cukup baik pemilihan kata-katanya, tertib dalam mentafsir cerita dalam lagu yang disampaikan. Menyatu sempurna dengan melodi Balada yang mendayu. Begitulah cara orang dulu menulis lirik – tersusun, bersebab.

Mendengarkan Scan saya harus bersama liriknya, jika tidak memang saya pinggirkan saja melodinya bukan jiwa saya tetapi ada hal-hal baik yang lain boleh digali untuk saya enjoy. Selain lirik tentu saja penyampaian vokal Azzan yang sangat sedap biar nada tingginya begitu tinggi, dia tidak terlalu memekik bingit. Masih sedap dan in control.

“Yang Kalut Di Fikiran” sebuah lagi lagu yang hadir dengan lirik yang bersifat perlambangan. Bait awal “Ku semai kasih di halaman kontang, Jenuh aku membaja tunasnya layu jua.” Dan saya tertarik dengan gambaran literal yang ditulis dalam bait Kala itulah semua potretmu lumat di genggaman.” – Buat saya berfikir patutlah orang suka lagu-lagu begini, gambaran situasinya real.

Saya kira lirik-lirik lagu kumpulan muzik di era ini sememangnya menggambarkan situasi sosio-budaya juga pemikiran Melayu ketika itu. Kisah-kisah cinta terhalang kerana darjat itu memang ada dalam satira masyarakat 80-an dan 90-an.

Jurang dalam kasta kaya – miskin dan pemikiran orang tua yang mahu anaknya disandingkan dengan keluarga yang ada-ada, yang baik keturunannya itu wujud sejak zaman P.Ramlee lagi tidak terhenti di era 90-an.

Dan itulah unik dan seronoknya melewati sosio-budaya dalam masyarakat Melayu dalam muzik. Lihat sahaja bagaimana pemikiran pemuzik muda hari ini dalam lirik-lirik mereka. Depression dalam lagu Zynakal itu memang wujud, gadis gedik dalam cerita “Teman” Iman Troye juga ada. Perigi cari timba? Gambaran anak muda hari ini barangkali.

Kitaran kisah generasi yang diadaptasi dalam penulisan lirik itu memang mewakili generasi. Ingat bagaiman KRU dulu bermuzik sebagai anak muda yang bervisi dalam lirik-lirik mereka? Mahukan evolusi juga pembaharuan – hal-hal yang banyak ditulis dalam lirik-lirik mereka.

Scan satu daripada banyak-banyak kugiran Jiwang yang ada dalam pasaran muzik yang saya boleh layan. U.K’S okey cuma saya kurang minat vokal Amir dan Slam tentunya lebih lebih tastefully produced di tangan Johari Teh. Scan selamat kerana Azzan dan melodi emas Saari Amri.


ARTIKEL BERKAITAN

3 Dekad “Untukmu Ibu” & “Rahsia Pohon Cemara” Sebagai Anthem Pop Exist

Highlight, Review, Terkini,

Keyakinan Baru Audrey Tapiheru Terserlah Di Single Terbarunya “Dime”

Lagu: Dime
Artis: Audrey Tapiheru
Komposer / Lirik: Aldi Nada Permana / Audrey Tapiheru / Gamaliel / Popsickle

Usai fasa bersama GAC – Gamaliel, Cantika dan Audrey melewati fasa baru bermuzik mereka. Setiap satunya hadir dengan ilham muzik semasa yang cukup moden, urban dengan feel R&B yang tercantun baik dalam penghasilan melodi yang cukup catchy.

“Daisy” menjadi pertaruhan perdana Audrey untuk bergerak solo. Lagu yang beredar di tahun 2019 itu menjadi siren untuk penggemarnya bersiap sedia dengan pertaruhan muzik solonya yang mungkin tidak banyak lari berbeza dengan apa yang pernah dilakukan bersama G.A.C tetapi yang pasti ia hadir lebih groove, sweet dan Pop dengan kemanisan yang ada pada karakter Audrey itu sendiri.

Setelah lebih dua tahun single “Daisy” beredar, Audrey bersama batalion muziknya kembali meraikan pendengar dengan single terbaru berjudul “Dime” yang diciptanya bersama Aldi Nada Permana, Gamaliel dan Popsickle.

Hadir dalam nuansa Pop R&B yang cukup internasional penghasilannya, “Dime” terhasil cukup ramuan komersial untuk diketengahkan di pasaran semasa. Audrey semakin memikat dalam penyampaian vokalnya yang semakin berkarakter. Attitudenya cukup dirasai dan menyatu sempurna dengan penghasilan produksi muzik kelas satu Aldi Nada Permana.

Terus terang jika saya tidak tahu ini lagunya Audrey boleh jadi saya anggap lagu ini bukan dihasilkan anak Indonesia kerana hasilnya cukup dengan semangat Pop global hari ini. Tiada yang canggung semuanya kedengaran cukup kemas dan enak sekali.

7.3/10


ARTIKEL BERKAITAN

Pelayaran Emosi Penuh Avant-Garde Gamaliel Menerusi EP “Q1”

Highlight, Review, Terkini,

Setelah 25 Tahun, Casey Kembali Membuai Rasa Lewat Single “Kau Harus Pergi”

Lagu: Kau Harus Pergi
Artis: Casey
Komposer / Lirik: Kesavan K. Subramaniam

Soloist Pop R&B, Casey cukup dikenali dengan hits “Seribu Impian” dan “Jangan Ada Benci” di era 90-an. Berbekal dua buah album, Casey meniti bibir penggemar muzik ketika itu dengan Pop yang segar berbanding apa yang ada di pasaran muzik solo lelaki ketika itu.

Menerusi album keduanya Casey hadir lebih eksperimental dengan sound Jazz dan R&B yang lebih kental bersama produser Michael Veerapen. Melodi di dalamnya tidaklah se-catchy album perdananya tetapi dengan kerjasama Fauzi Marzuki ketika itu dia berjaya menzahirkan “Jangan Ada Benci” yang menjadi satu-satunya single di album tersebut.

Setelah itu Casey memilih untuk aktif sebagai pemuzik sahaja. Kebolehannya bermain bass dan minat dalam produksi muzik belakang tabir juga bermuzik secara langsung di pentas-pentas kecil menenggelamkan nama Casey dalam pasaran muzik komersial. Pada masa yang sama Casey pun saya kira sudah give-up nak layan mainstream, agaknyalah.

Maka dengan itu dia tinggalkan kita dengan ingatan menerusi lagu-lagunya sahaja sehinggalah selepas 25 tahun “Menatap Memori” album keduanya beredar Casey menzahirkan sebuah single Soul / R&B berjudul “Kau Harus Pergi” yang dicipta sepenuhnya sendiri.

Terhasil dalam jaluran muzik yang cukup kuat pengaruh R&B dengan feel Jazz di sepanjang lagu berdurasi 7 minit ini, Casey membuat saya melayang menikmati alunan suara dan melodi yang menyantum sebagai sebuah naskhah yang cukup solid sekali. Tidak terasa lamanya, saya membayangkan betapa seronoknya lagu ini dinikmati dalam persembahan live Casey.

Mendengarkan lagu ini saya pasti ini adalah arah muziknya yang sebenar. Seperti apa yang dia lakukan di album “Menatap Memori” 25 tahun sudah dengan feel yang lebih current, berat jiwanya dan cukup detail di bahagian susunan muziknya yang dirakam cukup kemas sekali.

“Kau Harus Pergi” bergerak sebagai naskhah Soulful Ballad yang saya sangat pasti bukan datangnya dari generasi Tik Tok tetapi lebih kepada penggemar muzik yang lebih matang yang sentiasa mahu dicabar dengan sound lama yang dibikin dengan cara baru, feel baru. Dan saya dapat semua itu di lagu ini.

9.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Gerakan Jazz Fairuz Hussein Diteruskan Menerusi Single “Antara Seribu”

Highlight, Review, Terkini,

Terdiam Dalam Tenang Melayari Urusan Hati Gangga Menerusi Album “It’s Never Easy”

Indonesia tidak pernah sunyi dengan bakat baru yang sentiasa membuat saya kagum dengan kemampuan bermuzik mereka. Belum sempat saya puas menikmati Pamungkas datang seorang lagi bakat yang masih hijau tetapi cukup besar visi bermuziknya. Gangga, sebuah nama yang memikat pendengaran penggemar muzik Indonesia dengan single “Blue Jeans”.

Ogos lalu Gangga merilis album perdananya yang berisi 10 lagu kesemuanya. “It’s Never Easy” menjadi judul yang saya kira cukup mentafsirkan sifat album ini. Mengangkat kisah patah hati, melepaskan dan merelakan – Gangga membawa emosinya berlayar dengan flow yang cukup mendamaikan.

Dibuka dengan “I Dont Need You” trak singkat kurang 2 minit ini memberi siren bahawa ini adalah jaluran muzik yang dibawanya dan jika anda belum siap untuk galau dalam cara anak muda hari ini pesan Gangga “I Dont Need You”. Lepaskan saja album ini pada pendengar lainnya.

Kegalauan Gangga diteruskan menerusi lagu berikutnya “It’s Always I Love You” setelah dia in denial di lagu sebelumnya, Gangga ternyata masih tidak mahu melepaskan cintanya itu. Melewati album ini seperti satu pelayaraan kisah yang cukup personal sekali. Lagu-lagu seperti “Ice Kiss” dan “Day After Day” tercipta dalam satu acuan muzik hari ini.

Melewati album ini mengingatkan saya pada Mikha Angelo di album perdananya. Kedua-dua bakat muda ini ada persamaan daripada segi feel dan cara mereka bercerita dalam lagu-lagu yag ditulis.

“Whiskey Bottle” antara yang memikat pendengaran saya. Melodinya terhasil dalam momentum yang digerakkan lirik yang baik “We were so tragic but it was magic.” antara bait yang menarik ditulis Gangga menerusi lagu ini. “Waiting For You” sebuah melodi pengharapan yang saya pasti tidak sukar untuk dinikmati kisahnya oleh kebanyakan kita.

Album ini saya sifatkan sebagai sebuah urusan perasaan yang sifatnya cukup kekinian. Cara Gangga menghasilkan melodi, penulisan liriknya semua berteras pada apa yang ada di kebanyakan pasaran muzik Pop global hari ini. Dan mendengarkan album ini jelas pengaruh muzik Gangga itu sendiri adalah apa yang cukup besar sekarang di pasaran komersial.

Gangga antara bakat baru yang unik dan menyenangkan. Album ini terhasil dengan sangat baik sehingga tiada satu pun yang berjaya membuat saya mahu skip. Dan pastinya saya menantikan lebih lagi penghasilan melodi-melodi ciptaannya di masa depan.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Terpesona Dalam Feel R&B Soul Kaleb J Menerusi Single “Now I Know”

Highlight, Review, Terkini,

Menyerap Semangat Pahlawan Muzik Melayu Asli Dalam Gesekan Biola Hamzah Dolmat

Dia digelar Raja Biola dan tidak kurang yang mengaguminya menganggap Hamzah Dolmat  sebagai Pahlawan Muzik Melayu yang sentiasa beriring semngat  juga jiwa Melayunya dalam alunan merdu gesekan biolanya. Cukup aktif di era 50-an, 60-an dan 70-an sebagai pemuzik instrumental, Hamzah Dolmat berdiri sebagai Seniman yang cukup disegani.

Biola menjadi temannya sejak dia berusia 11 tahun lagi. Berawal di Singapura cita-cita untuk aktif sebagai pemuzik diwarisi daripada ayahandanya Dolmat Abdul Fattah yang juga seorang pemain Biola. Kebolehan bermuzik Hamzah Dolmat tidak hanya pada Biola, dia juga jaguh dalam instrumen Piano, Gambus dan arkodian.

Hamzah Dolmat dilahirkan di Kota Singapura dalam tahun 1923 sering mengikuti aktiviti bermuzik ayanhandanya yang merupakan ahli Kugiran Bangsawan sebelum dia sendiri bergerak sebagai pemuzik bersama Kumpulan Ronggeng Singapura dan Malaya.

Kerjaya dalam bidang muzik tidak hanya bergerak sebagai pemuzik langsung sahaja pada tahun 1948 Hamzah Dolmat telah bermula membuat rakaman piring hitam serta menjadi pemuzik pengiring bagi runut bunyi filem-filem Melayu sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959.

Langkahnya di Kuala Lumpur disambut rezeki sebagai pemuzik yang tiada putusnya. Kelibat Hamzah Dolmat pasti ada di mana-mana upacara rasmi negara dan juga istiadat kerabat diraja. Dan setelah itu beberapa rakaman album dibuat sebagai penghormatan tertingginya buat muzik tradisi Melayu Khususnya.

Nama Hamzah Dolmat dan Sahrifah Aini antara yang cukup sinonim. Penghasilan album berjudul “Lela Manja” (1979) saya sifatkan sebagai naskhah magnum opus yang cukup meninggikan standard muzik Melayu Asli ke tahap yang cukup hebat sekali sepertimana alunan Jazz di luar, begitu jugalah penghasilan “Lela Manja”.

Jasa beliau dalam meneruskan kelangsuang muzik klasik Melayu asli ini memberi beberapa penganugerahan tertinggi buatnya sepanjang bermuzik. Antaranya adalah gelaran Ahli Mangku Negara (A.M.N), Ijazah Kehormat Sarjana Sastera daripada Universiti Malaya (1978) dan Pingat Jasa Kebaktian daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (1980).

Namanya hari ini mungkin sangat jarang diperkatakan namun tanggungjawab kita sebagai pendengar harus sentiasa ada. Naskhah-naskhah Hamzah Dolmat adalah karya emas yang patut dibanggakan semua. Alunan Biolanya kemas menyentuh merentasi apa jua alunan muzik Melayu Asli baik Ghazal, Joget mahupun Inang.

Semoga jika tidak ada yang mewarisi bakat uniknya ini dapatlah kita sentiasa perdengarkan alunan Biolanya buat generasi berganti agar jasa dan usahanya itu berbaloi dibuat rujukan budaya, sastera dan muzik tempatan. Kini rangkaian gesekan Biola Hamzah Dolmat boleh anda nikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.


ARTIKEL BERKAITAN

Menelusuri 4 Dekad Kolaborasi Hamzah Dolmat & Sharifah Aini – Lela Manja Sebagai Naskhah Magnum Opus Muzik Melayu Asli