Review, Terkini,

pamungkas menggugah emosi lewat kata

Lagu: Berapa Kali Kita Akan Saling Memaafkan
Persembahan: Pamungkas
Komposer / Lirik
/ Produser: Pamungkas

Sebagai penggemar muzik Pamungkas, setelah album ‘Birdy’ saya kira Mas Pam beku dengan idea muzik yang kurang mengikat. Album terakhirnya “Hardcore Romance” tidak begitu menjerat saya untuk mengulang dengar keseluruhan album tersebut.

Tidak seperti “Birdy” yang saya sifatkan sebagai album paling matang daripada segi muzik dan persembahan idea yang cukup solid. Ia titik penting dalam mana-mana album yang pernah dia hasilkan. Dan sehingga hari ini sebenarnya saya masih mampu melayani “Birdy” tanpa skip.

Lantas ketika dia berkongsi perkhabaran tentang single terbaru berbahasa Indonesia “Berapa Kali Kita Akan Saling Memaafkan” tidaklah membuatkan saya terlalu teruja. Namun Mas Pam sekali lagi mengalihkan perasaan tersebut dengan satu transisi muzik dan penceritaan yang lebih baik kali ini.

Dan ya, penceritaan menjadi nadi pada penghasilan lagu ini. Sebelum mendengar keseluruhan lagu ini, saya mencari liriknya di Genius dan melewati kisah yang mahu dikongsikan kali ini. Tentang memaafkan, tenant mempertahankan sebuah kerapuhan cinta dan tentang merelakan.

Melodinya tidak dihasilkan dengan mengikat saya pada pendengaran pertama namun ia semakin baik dan menarik didengar setelah beberapa kali menikmatinya. Korus lagu ini antara yang terbaik yang pernah Mas Pam hasilkan.

“Sudah kuterima luka-luka lama yang engkau jaga // Pandai-pandai aku // Ingatkan diri ada yang takkan pernah ku mengerti // Karena tak pernah aku lalui yang kau lalui.” frasa jujur dalam melempiaskan resah dan rasa bersalah pada satu perhubungan yang semakin tergantung.

Bait sebelumnya terisi lebih beremosi “Berapa kali kita akan saling memaafkan // Atas nama janji-janji ‘tuk saling mengerti.” Single ini nyata lebih baik daripada apa yang saya jangkakan. Dan mendengarnya berkali-kali membuat saya terdetik berfikir Mas Pam sebetulnya sudah siap untuk penghasilan sebuah album penuh berbahasa Indonesia.

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“Ajar Aku” Naratif Baru Aizat & S.O.G

Lagu: Ajar Aku
Persembahan: Aizat Amdan / Sekumpulan Orang Gila
Komposer / Lirik: Aizat Amdan / Anas Amdan / Raja Nazrin Sah / Raja Nazmin Shah
Produser:
 Anas Amdan

Sekumpulan Orang Gila ada satu perjalan bermuzik yang cukup konsisten dan apa yang paling saya sukakan dalam keras bunyi yang mereka hasilkan, emosi dan rasa masih menjadi paksi pada penciptaan lagu-lagu mereka. Ilham Raja Nazrin Shah yang turut dibawa dalam muzik Margosa dan Daiyan Trisha menjadi lebih bukti pada kukuhnya persembahan beremosi yang diciptakan.

Berhembus angin perkhabaran kolaborasi S.O.G bersama Aizat beberapa minggu lalu membuat saya teruja menantikan bagaimana pula hasilnya kali ini. Aizat yang kali terakhir hadir dengan EP “Simfoni Hati Beradu” tidak memperlahankan langkah bermuziknya dan terus mengisi ilham kreatif yang ada di lingkaran mindanya dalam penghasilan “Ajar Aku”.

Lagu ini tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyenangi dengan persembahan keseluruhannya. Melodinya tidak dihasilkan terlalu kompleks, ada pengaruh indie Ballad circa 2010’s dengan penyatuan lirik yang dicatat naratifnya penuh puitis. Cukup menjerat dengan sekali pendengaran, ia tidak memaksa dan terasa kejujuran pada penciptaannya.

“Terasakan hujan panas // Awan mendung kau tetap hias // Bagaikan dalam dakapan // Kekasih lama yang hilang // Ku akur, aku rindu.” membuka “Ajar Aku” dengan cukup lembut sebelum korusnya menjadi lebih beremosi. Gandingan suara Aizat dan Raja Nazrin seimbang dan story telling mereka juga secukupnya tiada yang kurang tiada juga yang berlebihan.

Lagu ini menjadi lebih menarik ke penghujung, alunan vokal Yuna yang melatari menjadikan ia berhujung manis. Melewati pasaran muzik tahun ini yang agak perlahan dengan naskhah berilham serupa selamat lewat persembahan “Ajar Aku” yang saya sifatkan sebagai lagu paling menawan tahun ini.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

nada baru Syamel lewat PERTAMA

Lagu: PERTAMA
Persembahan: Syamel
Komposer / Lirik: Edry Abd Halim 
Produser: Edry Abducidnos Halim

Beberapa tahun kebelakangan ini saya kira Syamel banyak percubaan yang tidak begitu mengena dengan selera pendengar tempatan. “Belakang Tabir”, “Hamba Cinta”, “Berakhir Kita” dan “Beribu Tandatanya” datang dengan formula muzik semasa namun entah di mana silapnya ia seperti tidak diraikan.

Dalam empat single solo yang beredar itu saya kira “Hamba Cinta” antara yang hadir dengan idea yang baik menolak Syamel keluar daripada persembahan Balada yang biasa. Lagunya terhasil cukup catchy dalam mid-tempo Pop yang ada melodi yang mengikat dan senang dinikmati. Namun masih bukan menetapi selera pendengar muda agaknya. Single ini agak terpinggir.

Meneruskan kelangsungan bermuziknya, Syamel hadir dalam persembahan serba segar lewat penciptaan Edry Abd Halim menerusi “PERTAMA”. Melodinya digarap dalam persembahan Pop R&B 2000’s yang banyak mengingatkan saya pada lagu-lagu persembahan Anuar Zain (Permata, Bila Resah) dan Hazami (Kata, Fantasia).

Groove menggerakkan “PERTAMA” sebagai naskhah yang mudah dilayani. Syamel memiliki attitude yang baik dalam persembahan lagu-lagu sebegini sebenarnya. Saya mula notice dalam lagu kolaborasi bersama Anuar, Ziana dan Ernie yang beredar tahun lalu. Dan lagu ini bergerak sebagai penuerus yang baik untuk Syamel.

Saya tidak banyak masalah dengan persembahan lagu ini cuma kalau berbalik pada trend muzik pasaran semasa, “PERTAMA” sepertinya akan sedikit terpinggir sekali lagi daripada radar pendengar hari ini. Ia agak outskirt daripada apa yang ada di carta muzik popular.

Syamel punya banyak hal-hal baik sebagai penghibur, cuma saya kira sudah masanya untuk dia benar-benar keluar daripada keselesaan dan mencari sesuatu yang lebih dan mungkin di luar kebiasaannya. Saya mengharapkan kolaborasi sebetulnya dan satu cara terbaik adalah kolaborasi bersama pemuzik lndonesia.

Jika bukan berduet dia boleh mendapatkan naskhah seberang. Karya-karya Mario G. Klau, Andmesh dan Fabio Asher akan memberi justifikasi berbeza buat karier Syamel. Bukan apa saya sendiri tidak pasti siapa selain Hael Husaini dan batalion Faithful Music siapa lagi yang mampu menghasilkan good Pop.


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, Highlight, Review, Terkini,

best new music – aziz harun, fiza thomas & NAKI

Musim baru bermuzik mula lagi dengan rangkaian lagu-lagu daripada pemuzik pelapis yang datang dengan idea segar sebagai satu perlambangan baru muzik tempatan.

Lagu: telepati
Persembahan: Aziz Harun
Komposer / Lirik: Iqbal Siregar / Denis Ligia / Faishal M. Fasya / Aziz Harun 
Produser:
IDEAL / Faishal M. Fasya

Sedar tidak sedar sudah sedekad Aziz Harun melalui transisi sebagai pemuzik pelapis yang menghadirkan kita dengan idea segar, menolak ilham Pop yang konvensional. Sedekad ini juga menjadi perjalanan yang cukup cemerlang sebetulnya untuk dia mengemudi sebuah kembara bermuzik dengan caranya tersendiri dan mengumpul pengikut yang tersendiri.

Setelah kolaborasi bersama Nadhif dan Aisha lewat “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” dan juga bersama Rendy Pandugo bersama NAKI menerusi “Menjadi Dewasa”, Aziz kembali bergerak solo dan lebih menarik penghasilannya. Bersama Iqbal Siregar, Denis Ligia dan Faishal M. Fasya – “TELEPATI” terhasil sebagai pertaruhan terbaru.

Bergerak atas landasan Pop yang berbalut sempurna jiwa muziknya, “TELEPATI” menjadi persembahan yang secukupnya. Melodinya mengikat dengan sekali pendengaran dan killer sebenar ada pada penulisan liriknya yang cukup menarik.

Bait-bait seperti “Ku kirimkan telepati // Biar kau tak sedih lagi // Cium aku walau dari jauh // Semoga bisa jadi obat rindu.” di korusnya begitu baik sekali dan saya semakin leka dengan kosa kata indah dalam bait “Semilir angin itu nafasku // Dan gerimis itu air mataku tanda rindu.” Penghasilannya simple namun menyentuh secukupnya.

Lagu: Lain Semesta
Persembahan: Fiza Thomas / NAKI
Komposer / Lirik: Darien Sebastian / NAKI / FITHO
Produser:
Darien Sebastian

Nama Fiza Thomas sebagai penyanyi saya kira belum begitu diperakui. Mungkin ia satu proses pencarian diri dan arah bermuzik panjang buatnya. Beberapa single yang sudah beredar juga tidak begitu memberi justifikasi yang secukupnya untuk dia diberi perhatian sebagai penyanyi. Bakat sudah ada namun lebih pada bakat adalah naskhah muzik yang tepat yang diedarkan pada masa yang tepat.

Ia proses biasa sebetulnya. Wani Kayrie, Marsha, Nadeera dan beberapa nama lain sudah melalui proses panjang ini sebelum benar-benar diraikan pendnegar tempatan. Dua single yang beredar tahun lalu sebetulnya tidak begitu menarik perhatian saya dengan muziknya.

Namun ada sesuatu dalam kolaborasi bersama NAKI menerusi single “Lain Semesta” yang baru beredar. Emosi Fiza lewat lagu sebegini lebih dirasai, penyampaiannya juga berbeza. Biar ada banyak pengaruh Nadin Amizah namun saya percaya ia lebih bersesuaian dan kedengaran lebih mengena.

Chemistry bersama NAKI juga begitu dirasai dalam balutan melodi Ballad Folk lewat lagu ini. Transisi verse ke korus sehingga ke hujung benar-benar lengkap sebagai naskhah yang mentafsir cita rasa muzik kini. “Lain Semesta” mampu menjadi benchmark terbaik untuk pendengar tempatan meraikan Fiza sebagai penyanyi yang berpotensi besar.


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

empat dekad, malam seribu memori bersama fauziah latiff

Mungkin hampir mustahil agaknya jika tanpa pelawaan Ideatelier melamar danmeyakinkan Ratu Balada, Fauziah Latiff terciptanya memori konsert berskala besar malam tadi yang membekas memori.

Sehari sebelum ke konsert 4 Decades Fauziah Latiff saya sempat mendengar kembali seluruh diskografi sepanjang di bermuzik. Balada itu kekuatannya namun masih berbekas satu sisi lain nuansa R&B Pop yang kental yang pernah saya tulis lewat artikel Melayani R&B Pop Terbaik Fauziah Latiff. Dia memiliki satu diversiti Pop yang luas sebetulnya tanpa perlu memasuki pasaran muzik Tradisional.

Lantas lagu-lagu seperti “Resah”, “Sahabat”, “Aku”, “Sandarkan ke Bahuku”, “Gelora” dan “Hanya di Sini” menjadi antara yang datang dengan groove dan attitude yang berbeza. Tapi tidaklah saya mengharapkan lagu-lagu ini dipersembahkan di malam konsert kerana pastinya kita mahu menikmati puluhan lagi lagu-lagu Balada mewahnya sepanjang empat dekad bergelar penyanyi.

Saya kira mungkin tiada siapa pun yang dibesarkan di era 90-an tidak dekat dengan alunan lagu-lagu Baladanya. Dan malam konsert dibuka dengan hits “Setiaku Korbankan” mengundang jeritan bebas pengikut Jee yang memenuhi Plenary Hall KLCC. Kemasan muzik yang dikendali Chaan sebagai MD menghasilkan sesuatu yang cukup mewah dan grand. Ia menjadi nadi bergema dan serunya lagu-lagu Jee sepanjag malam.

“It may not be perfect tapi…

Keraguan pada vokal yang menjadi persoalan ramai terjawab juga malam tadi. Seperti katanya “It may not be perfect, tapi saya harap ia akan menjadi memorable untuk kita semua” . Auranya di pentas membatasi apa jua keraguan yang ada pada semua (biarpun keraguan dan persoalan itu sebenarnya datang daripada yang tiada di dewan konsert). Jee sangat bersahaja, kadang dia bergurau dalam ucap pendek namun membekas senyuman.

Rangkaian Balada seperti “Batas Menanti”, “Dia”, “Ku Pohon Kemaafan”, “Gubahan Rindu Puisi Syahdu” dan “Bukan Kemahuan Fikiran” menjadi peneman semua yang sama menyanyi dan melayani persembahan Jee di pentas.

Chaan sebagai Pengarah Muzik memberi sentuhan mewah pada susunan muziknya. Tidak banyak yang diubah tetapi dia meninggikan standard setiap lagu dengan penghasilan yang cukup lively dan mengena dengan kemampuan Jee di pentas.

Konsert yang ditutup dengan hits malar segar “Teratai Layu di Tasik Madu” mengundang sebak Jee di pentas, seluruh ruang dewa sama meraikan momen ini dengan menyanyikan bersama. Kesederhanaan menjadi satu kesempurnaan, 4 Decades in Concert menjadi satu momen yang membuat saya pulang memandu dan teringat-ingat malam konsert yang sebukupnya itu.


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, Terkini,

Masanya Menilik 20 Lagu di Separuh Akhir ke AJL 40

Perkhabaran yang vakum beberapa bulan sebelum mengabar resah peminat-peminat yang gigih mengundi dengan persoalan bila Separuh Akhir Muzik-Muzik bakal berlangsung?. Acara yang seringnya berkesudahan setiap hujung tahun ini ditunda mungkin atas faktor bulan puasa dan raya yang beranjak awal menundakan perjalananya.

Dan dalam resah panjang peminat yang mengundi, akhirnya menghembus perkhabaran bakal berlangsungnya Separuh Akhir (malam esok) dengan mekanisme baru. 30 lagu dengan undian tertinggi ditapis nilai terlebih dahulu dan pihak produksi memutuskan hanya 20 lagu sahaja yang akan bertanding di separuh akhir yang dipilih juri-juri profesional.

Ia proses yang baik juga sebetulnya, lagu-lagu dinilai awal untuk memendekkan proses program dan sebetulnya kita sebagai penonton tidak perlu pun menonton separuh akhir sebabnya kesemua lagu sudah boleh didengar dan dinilai lebih awal.

Dalam 30 lagu yang disenarai itu pasti sajalah akan ada yang sebetulnya lebih baik penghasilannya gagal mendapatkan tempat ke top 20. Dalam kenyataan media yang dikongsi beberapa lagu yang disenarai pendek tapi gagal ke separuh akhir antaranya “Peluk” (Hael Husaini / Nadeera), “P. Ramlee Saloma” (ALPHA), Renjana (Shiha Zikir) dan Kopi (Fahimi / Nazu).

Penciptaan Melodi

Originality sebetulnya hampir tiada pun dalam senarai panjang lagu-lagu yang bersaing. Semuanya masih berpaksi pada idea serupa yang diulang formulanya. Jadi disebabkan hal itu tiada fokus lebih niche dan terpaksa mencari hal-hal kecil sebagai asbab kenapa lagu-lagu ini harus ke final.

“Hijab Rindu”, “Lemah” dan “Tak Adil” menjadi penciptaan yang baik dalam 20 lagu yang bersaing kali ini sebagai naskhah yang menyeluruh. Maksudnya? Lagu-lagu ini memiliki satu keseimbangan sebagai penciptaan yang lengkap (bukan sempurna) – Penyatuan melodi, lirik, susunan muzik dan produksi yang tastefully produced. Kemas dan beremosi yang secukupnya akan memberi laluan mudah untuk “Hijab Rindu” ke final.

Aisha Retno sebuah representasi muzik kini yang tidak harus dipinggirkan. Jika “Tak Adil” gagal ke final juri-juri kita memang ada masalah besar akan pemahaman konteks muzik era kini. Sebagai pendengar (termasuk juri) kita harus terbuka untuk memahami apa yang pasaran muzik mahukan. AJL bukan AIM – nilai komersial dan estetika penciptaan harus seiring.

Dan disebabkan faktor itu saya pelik apa alasan kukuh sebetulnya meminggirkan “Peluk” dan “P. Ramlee Saloma“? – Dua lagu yang menjadi paksi pada pasaran muzik semasa dan pada masa yang sama datang dengan idea baru, kemasan muzik yang baik dan yang paling penting ia current.

Dan mengapa sebetulnya juri-juri merasakan “Kerana Ego” dan “Hilangmu Tak Terganti” lebih baik daripada dua lagu tersebut. Saya mendengar “Kerana Ego” termenung jauh, Why were we always so-so back in the ’90s? Terlalu lembik, ini bukan lagi era Ukays atau Iklim. Saya tidak ada masalah dengan penciptaan melodi Balada tetapi setidaknya berikanlah suntikan baru dalam kemasan muziknya.

Hal ini ada pada “Nostalgila”, “Hijab Rindu” dan “Seribu Tahun Lagi” asasnya masih Balada yang begitu-begitu sahaja tetapi produksi muziknya baik, kemas dan tidaklah kedengaran outdated. Dan berbicara tentang produksi muzik yang baik “Lemah” mendahului mana-mana lagu yang bertanding kali ini. Solid, biar melodinya tidak terlalu kuat untuk bergelar juara.

“Tangisan Seorang Pendosa” antara yang memiliki korus yang baik, “Semacam Pandora” dan “Kamu” saya harus letakkan sebagai lagu yang ada penulisan lirik yang kemas dalam 20 yang bertanding begitu juga dengan “Seribu Tahun Lagi” yang puitis.

Yang Macam Selalu Dengar

“Tiwikarma” ada semangat untuk menghasilkan sesusatu yang bervisi tapi visinyamenjadi terlalu Malique. Hip-Hop yang begini sudah terlalu banyak dihasilkan. Begitu juga dengan “Lumangad Oku Dika” yang tak jauh langsung ilhamnya dengan lambakan lagu-lagu ciptaan Andmesh yang sekali lagi menimbul persoalan, kenapa lagu ini lebih baik daripada “Peluk”?

“F” dan “Cak Cak Cekuk” ada potensi ke final sebagai naskhah yang diperlukan untuk mewarnakan pentas AJL. Saya enjoy sebenanrnya mendengarkan “F” – sebuah pentafsiran baru lagu-lagu rakyat dengan cara yang biasa Floor 88 bawakan. Instrumentasi, lirik dan produksi muziknya juga bagus. Satira kritikan sosialnya bernadi baik dalam lirik melengkapkan ia sebagai penciptaan yang matang.

The MediocreLove Amir Masdi butNurcinta” terlalu old fashion tapi hal yang baiknya lagu tersebut memberi momen baik buatnya untuk terus diraikan sebagai penyanyi lelaki yang baik kita miliki. “Rasa dan Takdir” tak menawarkan apa-apa yang mengujakan. Melodi “Pernah Punya Aku” forgetable sama juga seperti “Menyala”. Berkali-kali saya mendengarkan kedua-dua lagu ini mencari hal yang baik untuk diperkatakan namun berhujung tidak meninggalkan kesan.

10 PILIHAN MUZIK KITA

  1. Hijab Rindu (Rudy Nastia / Nyawa Black / Kelana / Adi Pawana / Black Hanifah)
  2. Lemah (Hael Husaini / Dayang Nurfaizah)
  3. Tak Adil (Aisha Retno / Radi)
  4. Nostalgila (Haqiem Rusli / Fahmi Zafran)
  5. F (Acai / Hemo / Zai Hamzah / Floor 88)
  6. Seribu Tahun Lagi (Amylea Azizan / Imran Ajmain)
  7. Semacam Pandora (Hazama / Zimi / Genervie Kam / Ritz Metalasia / Zel)
  8. Kamu (Aina Abdul)
  9. Cak Cak Cekuk (Iqie Hugh / Shane Kennedy / Karim Karam / Wani Kayrie
  10. Tangisan Seorang Pendosa (Marsha / Hazama)

ARTIKE BERKAITAN

Terkini,

Senarai 15 Lagu Undian Tertinggi ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 40

[SIARAN MEDIA OLEH TV3]

Pentas paling berprestij muzik tanah air, Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40), kembali menjadi tumpuan dengan pengumuman 15 lagu raih undian tertinggi sepanjang carta Muzik Muzik 40 (MM40) pada jam 12.00 tengah hari tadi menerusi program Muzik Muzik.

Pengumuman ini menjadi titik permulaan dalam mengenal pasti karya terbaik tempatan yang bakal bersaing untuk menempatkan diri ke Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA).

Istimewa sempena penganjuran edisi ke-40, hanya 20 lagu akan dipilih berdasarkan penjurian juri profesional untuk dipersembahkan di peringkat separuh akhir, sekali gus menjadikan persaingan tahun ini lebih sengit.

Menampilkan gabungan nama besar industri serta bakat baharu yang semakin menarik perhatian, 15 lagu ini memperlihatkan kepelbagaian genre, emosi dan identiti muzik yang mencerminkan evolusi landskap muzik Malaysia masa kini. Daripada balada menyentuh jiwa hingga ke karya berenergi tinggi, setiap lagu hadir dengan kekuatan tersendiri dalam mencorakkan saingan menuju pentas berprestij AJL40.

1.
Hijab RinduBlack HanifahRudy Nastia, Nyawa Black, Kelana & Adi PawanaAdi Pawana & Rudy Nastia
2.Seribu Tahun LagiImran AjmainAmylea AzizanAmylea Azizan
3.Pernah Punya AkuShila AmzahShila AmzahShila Amzah
4.Tangisan Seorang PendosaMarsha MilanMarsha MilanHazama
5.TiwikarmaK.O.IZai Hamzah & Hemo GlobinAchoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam
6.PuaskahAmeerais & Mariam SaimIqie Hugh & Shazriq AzemanIqie Hugh & Shazriq Azeman
7.Semacam PandoraHazamaHazama, Zimi, Genervie Kam & Ritz MetalasiaZel Hadauan
8.Rasa & TakdirAmira Othman & Irfan HarisSyafiq RashidSyafiq Rashid
9.Hilangmu Tak TergantiTajul & Afieq ShazwanHaqiem RusliHaqiem Rusli
10.KamuAina AbdulAina AbdulAina Abdul
11.Ke Mana NiLuca Sickta, KMY KMO & SalammusikKMY KMO, Luca SicktaKMY KMO, Luca Sickta, Salam
12.MusnahDanial KifliAmir Hariz, Danial Kifli, Knight Cydeen, Hawa ZulaikhaAmir Hariz, Danial Kifli, Knight Cydeen, Hawa Zulaikha
13.Bunga KembojaIman TroyeEzra KongEzra Kong
14.KetagihCherry On Top feat. Datuk Syafinaz SelamatKushamSyafinaz Selamat
15.Lumrah CintaPuteri KhareezaSyamel & Aepul RozaSyamel & Aepul Roza
Highlight, Review, Terkini,

Kelangsungan Irama Tradisi Hidup Lewat Penciptaan “Minta Ampun”

Lagu: Minta Ampun
Persembahan: Shiha Zikir
Komposer Lirik: Hafiz Hamidun / Ahmad Fedtri Yahya
Produser: Hafiz Hamidun

Pasaran muzik tradisional banyak digerakkan bakat-bakat Pop hari ini. Daripada ilha lagu-lagu rakyat Faizal Tahir (Santai, Ragaman) dan fusion traditional pop “Cak Cak Cekuk” daripada Wani Kayrie meneruskan kelangsungan lagu-lagu tradisi dengan cara berbeza.

Tahun lalu, Siti kembali dengan album penuh tradisional berjudul “Gema Bumantara” yang terhasil cemerlang baik penciptaan melodi yang berevolusi namun masih terjaga sehingga produksi muzik yang cukup kemas.

Dan nadi muzik tradisi moden ini terus dihidupkan Shiha Zikir bersama komposisi muzik Hafiz Hamidun menerusi “Minta Ampun” yang membawa teras Zapin dalam pesona yang lebih kekinian. Melodi yang dihasilkan mengikat dengan sekali pendengaran.

Melayani lagu ini mengingatkan kembali saya pada saat gemilangnya lagu-lagu Melayu tradisi yang banyak di awal era 2000. Shiha menzahirkan alunan pada lagu ini secukupnya. Tiada hal yang terlalu berlebihan, dia sebagai penyanyi bijak mengawal lenggok-lenggok agar tidak berlebihan tetapi cukup untuk menikmati merdunya.

Penulisan lirik Fedtri Yahya mengalir dan bercerita. Bait “Minta ampun // Mohon ampun // Tiada ampun sendenglah hati hamba,” Membuka baik membaluti melodi lagu ini. Kosa katanya luas dengan penggunaan perkataan ‘sendeng’ yang jarang diguna dengar dalam penulisan lirik setidaknya membuat saya membuka Kamus Dewan mencari ertinya.

“Minta Ampun” terhasil cukup sebagai sebuah penciptaan lagu Zapin yang lama tidak kedengaran (kecuali hari raya). Shiha saya kira sangat sebati dalam lagu-lagu tradisi sebegini dan sejujurnya saya lebih menyenangi personanya dalam penyampaian lagu tradisional kerana jiwanya kuat memegang irama dan bait lirik bertepatan dengan penyampaian.

7.5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“Lembayung Tari” Percaturan muzik kini Wany Hasrita

Lagu: Lembayung Tari
Persembahan: Wany Hasrita
Komposer Lirik: Hael Husaini / Iqie Hugh
Produser: Iqie Hugh

Seperti sekejap masa melihat gagasan penyanyi era 2015 bertumbuh menjadi matang seiring usia bermuzik. Wany yang kita kenal dengan “Menahan Rindu” bersama rakan-rakan bakat muzik FMC lainnya seperti Tajul, Haqiem Rusli, Ernie Zakri antaranya bertumbuh dewasa dan jelas dengan muzik yang mereka mahu ketengahkan.

Atas perjalanan itu ada percubaan mengena tidak kurang juga yang semakin dilupakan. Namun Wany memiliki rangkaian lagu-lagu yang kuat juga sebenarnya. “Canggung”, “Terlalu Memuja” dan “Belenggu Rindu” bersama Jamal Abdillah melengkapkan portfolionya sebagai penghibur Pop.

Namun itu mungkin sebahagian sahaja kekuatan Wany sebagai penyanyi yang dikenali. Ruang untuknya bertumbuh (evolve) masih banyak tetapi bagai tersekat perjalanannya. Sejak dua tiga tahun kebelakangan Wany agak struggle dalam mendapatkan hits yang membantunya untuk berada di tahap lebih baik.

Penghasilan lagu-lagu seperti “Madu Dua”, “Makan Cintaku” sehingga duet bersama Khai Bahar menerusi “Berbagi Hati” kurang daya tarikannya untuk kita sebagai pendengar meraikan bakat Wany. Tapi saya itu fasa, Wany bagaimanapun tidak berhenti menghasilkan lagu dan itu hal yang lebih penting sebetulnya.

Sebulan lalu, “Lembayung Tari” menjadi pertaruhan baru Wany untuk mengembalikan minat pendengar pada muziknya. Menjadi single ketiga karya cipta Hael Husaini, kali ini Wany tampil lebih menjerat dan mengikat. Pesona pada persembahan keseluruhan nyata lebih menarik dan mengusik keterujaan saya untuk menikmati lagu ini.

Hael seperti biasa memiliki ilham baik untuk pendengar terikat dengan melodi penciptaannya. Lagu ini sebetulnya memiliki formula serupa dengan apa yang ada pada “Canggung”, “Anta Permana” dan “Belenggu Rindu” tetapi dengan versi yang ditinggikan kemasan bunyinya untuk kedengaran lebih organik dan langsung tanpa kedengaran terlalu programming (walaupun ya sebahagiannya saya pasti ia terhasil diprogram) namun setidaknya ia tidak superficial seperti “Canggung”.

Selain kekuatan pada keseluruhan melodi dengan korus yang begitu sangat baik dan sedap – Lagu ini benar-benar digerakkan persembahan vokal Wany yang semakin matang. Setiap butir pada pengucapannya jelas memaknakan bait lirik yang ditulis.

Lenggok dan feel Wany juga beralun seiring kehendak lagu tanpa kedengaran berlawan dengan kemasan muzik yang disiapkan. “Lembayung Tari” mampu menjadi satu pertaruhan yang baik mengembalikan ingatan kita yang mungkin sudah lupa pada Wany. Melod, vokal, lirik menyatu sempurna dalam sebuah produksi muzik yang memiliki momentum, dinamik dan terhasil cukup kemas.

7.5/10


ARTIKEL BERKAITAN