Album: Camelia (1998)
Artis: Camelia
Produser: Camelia
Ketika namanya disebut sebagai pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-5 menewaskan nama besar lain seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Siti – Mata mula teralih pandangan buat persona ini.
Hadir dengan ilham Pop yang sedikit berbeza dengan pendekatan R&B Ballad dan Pop, Camelia membuktikan vokal terbaik tidaklah semestinya hadir dalam kebolehan menyanyi nada tinggi semata-mata. Dengan kelembutan dan keunikan tersendiri dia mencuri perhatian pasaran muzik semasa ketika itu.
Single “Dengarlah Kasih” (Azlan Abu Hassan) dan “Rindu Padanya” (Adnan Abu Hassan) menjadi pertaruhan yang saya kira cemerlang untuk seorang artis baru ketika itu.
Kelembutan, clarity dan feel Camelia berdiri sendiri. “Dengarlah Kasih” saya kira sebagai anthem muzik yang cukup cocok dengan karakter suaranya.
“Rindu Padanya” yang bergerak atas asas Pop memberi satu variasi berbeza pasaran muzik ketika itu yang dimonopoli Balada meruntun jiwa.
Lapangan muzik R&B Camelia diteruskan dalam beberapa lagu yang cukup terhasil baik di album ini. “Erti Kehidupan” nyanyian asal Mus Mujiono dimodenkan susunan muziknya menjadi feel R&B yang cukup baik sekali.
Feel Camelia sebagai penyanyi R&B terbukti di sebuah lagi lagu ciptaan Azlan Abu Hassan berjudul “Menuju Usia”. Di lagu ini anda dapat betul-betul mendengar jelas sebutan Camelia dalam penyampaiannya. Lagu ini cukup cocok dengan karakter suaranya.
Kelebihan Camelia sebagai penyanyi adalah kerana clarity dalam penyampaian vokal serta styling yang cukup tersendiri tanpa kedengaran seperti mana-mana penyanyi lain yang ada di pasaran ketika itu.
Dan kebijaksanaan Adnan Abu Hassan, Azlan Abu Hassan dan komposer lain di album ini seperti Johan Nawawi juga Helen Yap adalah mencipta melodi yang cocok dengan karakter vokalnya. Yang bukan tiada di pasaran semasa ketika diedarka tetapi kurang mahu diketengahkan.
Sepanjang bermuzik Camelia sempat melahirkan beberapa album lain seperti “Memori” dan “Mimpi” juga sebuah kompilasi berjudul “Untukmu”. Lagu-lagunya bergerak tersendiri tanpa perlu bergantung dengan apa yang pasaran mahukan.
Kraf muzik Pop yang tersendiri dibawanya dengan caranya sendiri. Lihat saja beberapa lagu lain yang cukup cemerlang seperti “Akhirnya”, “Erti Kehidupan”, “Pisah”, “Kini Bebas” yang masih memiliki penggemarnya yang tersendiri.
Debut ini sebuah kejutan manis pasaran muzik tempatan. Kelibat Camelia sebagai penyanyi akan sentiasa diingati dan dikenang biarpun hari ini dia memilih untuk tidak menyanyi lagi.
ARTIKEL BERKAITAN
“Aku Dan Dia” Sebuah Pengenalan , Kenangan & Hits Malar Segar Erra Fazira