
Pasaran album tempatan ternyata agak perlahan berbanding pasaran luar yang masih melihat pentingnya penghasilan sebuah album itu sebagai bukti keseriusan bermuzik pemuzik juga penyanyi dalam mempersembahkan idea, konsep dan attitude dalam muzik.
Kurangnya penghasilan album ini tentu sahaja kerana faktor fast music business yang dimonopoli kuasa pemasaran berkiblatkan digital yang ternyata hanya mahu menghasilkan sesuatu cepat dan mudah dari segi impaknya. Muzik menjadi semakin ringan, keseriusan untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza semakin kurang kerana mengikut template apa yang kononnya pendengar hari ini mahukan.
Hal trend ini saya kira biasa di zaman mana sekalipun. Namun hal estetika bermuzik itu bukan sesuatu yang harus dikompromi. Kualiti harus seiring populariti bagi mencipta impak berbeza dan yang paling penting adalah untuk meninggikan standard muzik tempatan ke tahap yang boleh dibanggakan dan dibawa ke pasaran luar.
Keseimbangan dalam meraikan mereka yang menghasilkan muzik berkualiti sangat sukar dicapai. Menyedihkan namun itu realitinya. Tiadanya creative control individu atau organisasi tertentu menyebabkan hal ini semakin kronik. Syarikat rakaman hanya mahu mengaut keuntungan, mengedarkan single secara digital itu lebih mudah, lebih jimat, untung (?) dan cepat pastinya.
Fungsi RIM juga semakin kabur, saban minggu hanya mengemaskini carta lagu dengan jumlah strim tertinggi dan meminggirkan lagu-lagu yang berkualiti untuk diraikan sama rata. Data-data yang kita boleh dapat dengan mudah di internet dikongsi untuk apa?. Fungsi mereka dalam meninggikan standard muzik tempatan semakin tiada. Kenapa hanya meraikan yang popular? Bagaimana nasib pemuzik yang serius bermuzik, berkerah ilham fikiran, bermodal wang yang besar, Kenapa tidak disokong? Setidaknya mewar-warkan di platform Instagram sudah memadai.

Kebanjiran bedroom producer yang bergantung pada kuasa mesin menghasilkan muzik ada baik dan tidaknya. Muzik yang pasti semakin kurang kurang hidup. Vokal juga semakin hari semakin dikuasi kuasa mesin. Orang dulu sebelum masuk studio sudah memahami kehendak lagu by heart jadi bila berpentas semuanya flawless.
Bakat sekarang di studio menyanyinya part by part, disunting – disambung – disusun dan dikemaskan produser. Pabila harus berpentas secara langsung, keupayaan menyanyikan dengan baik memang tiada.
Penghasilan album sangat penting sebagai bukti keseriusan bermuzik. Bukan sahaja pada penyanyi tetapi syarikat rakaman. Album adalah portfolio, jadi ia penting dalam susur masa seseorang artis. Kredibiliti muzik hari ini yang dilihat daripada segi ‘numbers’ di YouTube dan Spotify tidak memberi makna jika penghasilan lagu-lagunya bersifat sementara.
Dan dalam hal ini album akan bergerak dalam hayat yang panjang, yang akan terus dicari di masa mendatang biar berganti generasi. Lihat sahaja value album-album Butterfingers, Sheila Majid, Aishah pada hari ini. Masih dicari dengan harga yang meningkat 3-4 kali ganda. What if one day tiada Spotify, Apple Music dan YouTube – yang akan dicari tetap album fizikal.
Dan keseriusan dalam penghasilan album ternyata masih ada pada bakat yang benar-benar melihat ia sebagai medium penting dalam muzik. Maka terhasillah beberapa album tahun ini yang selayaknya diangkat sebagai Album Terbaik Sepanjang Tahun seperti berikut:

BELAGU – DAYANG NURFAIZAH
DN & AD Entertainment Sdn. Bhd.
No doubt, this is the best album of the year. Dengan sebuah ilham menghasilkan album rakaman secara langsung dalam kekangan musim pandemik, Dayang Nurfaizah bersama batalion muziknya yang dikepalai Aubrey Suwito memberikan sebuah pengalaman menikmati muzik dengan cukup mewah. Kualiti muzik yang dipersembahkan sangat kemas tanpa perlu terlalu mengubah ilham asal semuanya ditinggikan standard muziknya dengan cukup baik dan bersifat malar segar.

DI PERSIARAN CAKRAWALA – RAMAYAN
Luncai Emas Sdn. Bhd.
Ramayan menakluk pasaran muzik mereka dengan memberi kita sebuah pengalaman menikmati muzik alternatif psikedelik dengan cukup ampuh. Daripada penghasilan melodi, lirik yang ditulis cukup puitis berisi sehingga kualiti rakaman muziknya dan visual di sampul album mereka – semuanya terhasil dengan satu konsep yang tepat, pasti dan solid. Kualiti yang mereka hasilkan dalam lagu seperti Puas, Lamunan Anak Bulan dan Permulaan Cinta Intan sangat harus diangkat sebagai naskhah terbaik.

PUNK GONG / NO GOOD
1837453 Records DK
Setelah cukup cemerlang dengan EP “Demo Kawe” tahun lalu, No Good tidak mahu menghentikan langkah bermuzik mereka. Ilham Punk Rock n Roll yang bersulam penulisan lirik dalam loghat Kelantan memberi satu keunikan yang cukup mengujakan untuk kita sebagai pendengar explore lebih lagi keupayaan bermuzik mereka. “Punk Gong” menjadi bukti dengan kreativiti dan pengalaman yang ada mampu menghasilkan sesuatu yang cukup tersendiri. A whole new experience.

PROMISED LAND / MAYABAYU
Mayabayu
Mayabayu cukup tersendiri dalam mempersembahkan idenya dalam bermuzik. Penghasilan “Promised Land” tidak langsung terikat dengan ilham pasaran muzik semasa tempatan tetapi terhasil cukup komersial. Dengan kreativiti bermuzik dengan caranya yang tersendiri, Mayabayu mengadun kontemporari Folk, Fusion Etnik dalam persembahan Pop yang sebetulnya tidak sukar untuk dinikmati. Lagu-lagu seperti “O Sayang”, “Huminodun”,”Masih” dan “Predator” bukti kesungguhan Mayabayu dan tenaga produksinya dalam memberi sesuatu yang berbeza untuk pendengaran tempatan.

YONNY – YONNYBOII (DELUXE EDITION)
Def Jams Recordings Malaysia
Yonnyboii antara bakat muda tempatan yang tersendiri, kreatif dan cukup current. Penghasilan “Yonny (Deluxe Edition)” ini sangat penting untuk bergerak sebagai siren kepada pemuzik muda lain untuk menghasilkan album penuh tanpa perlu bergantung pada penghasilan single sahaja. Dan apa yang penting album ini diterima cukup meluas. Melayani album ini lagu demi lagu terlihat attitude bermuzik Yonny dengan cukup jelas. Poetic in his own way, refleksi bunyi dan cerita anak muda hari ini.

SKY SONGS – ALENA MURANG
Alena Murang / WIND Music International Corporation
Alena Murang menerusi album “Sky Songs” berkongsi dengan pendengar ilham muzik Etnik Sarawak dengan approach yang sangat grand. Ilham muzik Etnik di album ini dipersembahkan dalam sebuah pelayaran bermuzik yang bersifat global dan memiliki hayat yang cukup panjang sebagai rujukan muzik di masa mendatang. Di saat bakat muzik Pop Etnik lain sibuk menyatukan Hip-Hop untuk kedengaran current, Alena Murang membuktikan harapan muzik Etnik berdiri sendiri untuk dikomersialkan secara global itu sesuatu yang tidak mustahil.

QIBLA – FAIZAL TAHIR
Faithful Music Sdn. Bhd.
“Qibla” hadir sebagai sebuah album spiritual dengan approach yang cukup ringan dan santai. Keratan ayat Al-Quran diambil dan diceritakan FT dengan pengalaman yang dia ada dalam bahasa yang cukup dekat dengan pendengar. Dua lagu terisi di album ini “Syahadah” dan rakaman semula “Aku Tanpa Cintamu” sebagai pemikat utama “Qibla” dalam menarik minat pendengar untuk mendengar cerita FT di trak lainnya.

SECOND VOYAGE – SEKUMPULAN ORANG GILA
Sekumpulan Orang Gila
Sebuah album Metal yang menyatukan jiwa Melayu dalam penghasilan melodinya. Elemen syair yang membuka album ini dengan baik sebelum keras gitar dan derum deram memonopoli bunyi di album ini. Sekumpulan Orang Gila bereksperimentasi dengan muzik mereka dengan cukup baik. Ia bergerak sebagai sebuah transisi muzik yang seolah sebuah satira panjang muzikal yang kadang menguji pendengaran tetapi cukup melekat dan terikat tanpa membenarkan kita skip walaupun satu lagu di dalamnya.

SILIKA – LUST
LUST / TONGTONG Asia
Eksperimental Lust bersama Krew Filem Sek Kito menghasilkan sebuah album visual menerusi “SILIKA” terhasil sebagai sebuah pengalaman menikmati muzik dalam durasi 14 Minit 29 Saat dengan cara berbeza. Melayani album ini akan membuat anda lost tetapi saya kira that’s the beauty dalam meraikan muzik. Kepelbagaian yang dihidangkan dalam “SILIKA” akan menjadi satu apresiasi berbeza terhadap kerja kreatif dalam sesebuah muzik. Album ini sebuah pelayaran emosi, pemikiran dan attitude anak muda yang radikal dalam bermuzik. Nikmati album ini dengan visual filem pendek di YouTube LUST.
NOTA: Artikel 50 RILIS TERBAIK 2021 akan menyusul 29 Disember 2021 (InsyaAllah)
ARTIKEL BERKAITAN