
Sejak mengedarkan sebuah rakaman semula “Sesungguhnya” lagu asal yang dimuatkan di album perdana Raihan “Puji Pujian” pada tahun 2019 – Alif Satar bersama pasukan pemasaran muziknya semakin aktif merangka ilham tersebut sebagai sebuah projek tahunan. Selepas kejayaan perdana itu Alif meneruskan kelangsungan projek rakaman semula “Damba Cintamu”.
Tahun ini bergerak dalam skala yang lebih luas menzahirkan EP rakaman semula lagu-lagu Raihan, Alif Satar yang kini bergerak bersama The Locos, kugiran muziknya menerbitkan lima lagu popular grup nasyid tersebut dengan sentuhan muzik baru yang lebih ringan dan menghiburkan.
Dibuka dengan trak “Bismillah” sebelum diteruskan dengan “25 Rasul” dihasilkan dengan pertembungan Pop dan Nasyid yang terhasil menyenangkan. Pendekatan yang saya sifatkan sebagai lebih mesra pendengaran bagi memikat minat peminat muzik yang lebih muda.
Saya lebih tertarik dengan medley “Puji Pujian x Syukur” kerana penyatuan dua lagu ini melengkapi antara satu sama lain. Transisi dari satu lagu ke lagu kedua bagai tidak terasa bergerak sebagai dua lagu berbeza. Kemasan muziknya memberi justifikasi yang bagus untuk meninggikan standard lagu asalnya. Cukup fun dan seronok untuk dihayati.
Projek “The Sunnah The Better” ini saya kira sebuah inisiatif meninggikan kembali hits terdahulu dengan baik sebagai sebuah kelangsungan buat generasi baru yang mungkin mengenal lagu tetapi tidak mengenal penyanyi asalnya.
Dua lagu menutp EP ini. “Asollatuwassalam” dan “Rayuan Rindu” memberi sedikit rasa syahdu yang memberi keseimbangan keseluruhan projek ini.
ARTIKEL BERKAITAN