
EP: Markers And Such
Artis: Sal Priadi
Produser: Petra Sihombing / Mahatamtama Arya Adinegara
Jurang Pop yang dikendong Sal Priadi dalam persembahan Folk dalam memikat penggemar muzik mainstream sudah berjaya dia lakukan dengan beberapa rilis popularnya sebelum ini seperti “Amin Paling Serius”,”Kultusan” dan “Ikat Aku Di Tulang Belikatmu”.
Nama Sal Priadi setelah itu berjalan dengan mudahnya mengikat pendengaran peminat muzik Indonesia dengan caranya yang sendiri. Tanpa perlu terlalu mengikut template muzik semasa Sal berjalan sahaja dengan santai dalam persembahan muziknya.
Terakhir kali muncul dengan lagu “Serta Mulia” tahun lalu, Sal mengambil langkah perlahan dalam menyusun kembara muziknya. Dan dengan kehadiran EP terbarunya “Markers & Such” membuktikan “Serta Mulia” itu adalah bunyi barunya untuk meneruskan kelangsungan bermuzik.
“Markers & Such” berisi 3 lagu keseluruhannya yang menyaksikan kerjasama Sal bersama Petra Sihombing dan Mahatamtama Arya Adinegara yang bertindak sebagai produser di EP ini.
Sal Priadi bergerak dalam gelombang berbeza dalam penulisan liriknya. Tiada lagu kisi-kisi emosi yang meresahkan dan meruntun. Dia di EP ini lebih santai berbahasa tanpa terlalu terikat dengan ilham ortodoks puitis sang pemuisi.
“Kita Usahakan Rumah Itu”, “Mesra-mesraannya Kecil-kecilan Dulu” dan “Lewat Sudah Pukul Dua, Makin Banyak Bicara Kita” ditulis dengan cara paling mudah untuk kita dengar dan tersenyum. Hal-hal ini jelas dalam bait “Urusan perabotan dan wangi-wangian, Kuserahkan pada seleramu yang lebih maju, Tapi tata ruang aku ikut pertimbangkan.”
Dia menjadi lebih santai seperti bercakap-cakap dengan pasangannya “Malam tetap kumpul di meja, Panjang ruang makan kita, Berbincang tentang hari yang panjang.” Berbanding Sal yang kita kenal di “Ikat Aku Di Tulang Belikatmu” atau “Kultusan” yang bahasanya berbalas emosi, Sal ternyata menjadi realist kali ini.
Saya enjoy dengan sisi baru Sal di EP ini yang akan disambung dengan penghasilan dua lagi EP setelah ini iatu “Pens” dan “Flashdisk” yang akan diedarkan di tahun ini juga.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN