
Lagu: Antara Seribu
Artis: Fairuz Hussein
Komposer / Lirik: Zul Nadzar / Fairuz Hussein
Produser: Zul Nadzar
Pasaran muzik Jazz tempatan bergerak cukup buram dan tenggelam dalam aliran muzik semasa. Yang menjadi antara sebabnya saya kira kerana kurangnya minat anak muda kita untuk menerokai keindahan muzik ini selain apresiasi secara komersial itu begitu sedikit.
Maka terpinggirlah bakat-bakat Jazz seperti Noryn Aziz, Atilia, Najwa Mahiadin untuk bergerak seiring dalam pasaran muzik semasa. Lagu-lagu mereka ternyata tidak akan masuk radio jauh lagi menjengah ruang Tik Tok untuk digunakan anak muda sebagai content mereka.
Fairuz Hussein antara the OG dalam lapangan Jazz tempatan sejak penghujung 80-an ketika dia booming dengan “Kali Pertama” yang mendapat perhatian cukup luas tidak hanya didengar di Malaysia namun namanya mekar ke Indonesia sehingga diundang berduet bersama Harvey Malaiholo dan berserta rakaman semula ” Night in Barcelona” persembahan asal Fariz RM.
Biar tidak bergerak sebesar Sheila Majid yang menembus pasaran Pop, nama Fairuz Hussein tidak pernah lekang daripada bicara penggemar muzik 80-an tempatan yang sentiasa meletakkan namanya sebagai barisan penting gerakan muzik Urban tempatan selain beberapa nama lain seperti Mazlan Hamzah antaranya.
Penghujung tahun lalu Fairuz Hussein siap mengedar single “Without U” yang terhasil dalam feel Urban Pop / Jazz. Dan dengan penhasilan single tersebut saya pasti dia sudah siap sedia untuk benar-benar meneruskan apa yang dia percaya sejak awal bermuzik.
Terkini, bersama Zul Nadzar – Jazz sensation ini hadir dengan sebuah lagi single berjudul “Antara Seribu” yang meneruskan gerakan muzik Jazz nya setelah lebih tiga dekad bermuzik.
Lagu ini terhasil dalam garapan muzik yang saya harapkan. Melodinya punya daya pemikat yang tersendiri dengan kemasan muzik yang cukup matang dalam standard teks Jazz yang biasa kita dengar.
“Antara Seribu” banyak mengingatkan saya pada beberapa lagu Noryn Aziz di album “Alam Maya” hook nya memikat, groove terhasil dalam feel penyampaian Fairuz Hussein yang cukup bersahaja dan menyatu baik dengan penghasilan muziknya. Jiwa sebenar penghibur ini benar-benar dapat kita rasakan.
Jazz begini saya kira bukan untuk pendengar massa tetapi buat anda peminat muzik yang sentiasa mahu dicabar dengan sound berbeza. Lagu begini amat jarang ada dalam pasaran muzik tempatan but much needed.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN