Memulakan kembara bermuziknya setelah mengungguli pesta muzik Bintang RTM pada tahun 1985, Ramlah Ram menarik minat produser muzik Ahmad Nawab dengan kelantangan suaranya dalam melantun irama Pop Melayu dengan baik sekali.
Namanya mula meniti bibir peminat muzik ketika itu kerana potensi besar yang dia miliki untuk menjadi pelapis dalam bidang tarik suara setelah dominasi Sharifah Aini, Uji Rashid dan juga Anita Sarawak yang bergerak cukup besar ketika 70-an sehingga juga 80-an.
“Sabarlah Sayang” judul album perdana penyanyi ini beredar Julai 1986 menjadi penanda aras jika dia berjaya untuk terus mencuri hat pendengar. Dengan mengambil ilham Pop Melayu yang menyatukan Balada, Irama Malaysia dengan sedikit pengaruh Dangdut nama Ramlah Ram menyinar.
Namun album tersebut tidaklah terlalu memukau dan mencuri perhatian pendengar era 80-an yang saya kira ketika itu sudah evolve dengan sound yang lebih dibawakan Sheila Majid dan kumpulan Freedom antaranya yang datang dengan ilham Synth Pop, Disko.
Biar dipandang sepi, Nawab Production ketika itu tidak berputus asa untuk terus menerbitkan album buat biduanita ini. Maka terlahirlah album dengan hits “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu” yang cukup booming, dua tahun setelah kegagalan “Sabarlah Sayang” mencuri perhatian.
Ahmad Nawab ketika itu saya kira sudah menemukan satu formula tepat dalam menentukan sebuah konsep muzik yang lebih solid dan memberi justifikasi buat kemampuan menyanyi Ramlah Ram. Pendengar muzik juga ketika itu mungkin ada yang sudah dahagakan Balada beremosi dengan nada-nada tinggi pelantunnya.
“Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu” memberi kejutan manis buat Ramlah Ram dalam meneruskan kembara bermuziknya. Memberi lebih kejutan manis di album ini Ramlah Ram menjadi artis Melayu pertama yang berjaya menjual fizikal album sebanyak 300,000 unit.
Tidak hanya bersandar satu hits, album tersebut turut terisi beberapa hits malar segar lainnya seperti “Apa Khabarmu Di Sana” dan “Diam-Diam Jatuh Cinta” yang sekali gus menjadi lagu cari makan biduanita ini lebih tiga dekad lamanya.
Karya-karya Ahmad Nawab menerusi album ini saya kira benar-benar berubah mengikut jaluran terbaik buat Ramlah Ram. Tiada lagi formula “Hapuslah Air Matamu” yang menjadi signature chords dalam lagu-lagu yang beredar di era 70-an khususnya.
Kejayaan Kau Kunci mengilhami album Ramlah Ram seterusnya yang beredar pada tahun 1989 dengan judul “Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi” yang sekali lagi melonjakkan namanya di pasaran muzik semasa sekali gus meletakkan dia sebagai ratu Balada di era 80-an yang secara tidak sedar telah menciptakan satu kosmik Pop yang mengarahkan pasaran muzik tempatan ke arah Balada meruntun jiwa.
Maka lahirlah dengan banyaknya setelah itu lagu-lagu mengambil formula lagu-lagu meruntun begini terumata dari label muzik berbeza yang mahu menzahirkan Ramlah Ram versi mereka. Klhtom antaranya yang juga menjadi pesaing Ramlah Ram di pentas akhir Bintang RTM.
Album ketiga Ramlan Ram ini saya kira hadir dengan rangkaian lagu yang lebih solid komposisi muziknya. Saya paling terpikat dengan lagu lagu “Semoga Kau Masih Ingat” yang menyantum ilham Pop Melayu dengan cukup catchy sekali. Ramlah Ram turut dijui produser dalam menyerap roh irama Rock menerusi lagu “Rindu Kasih” yang ketika itu mungkin kerana mahu fit in pasaran rock yang mula mendominasi.
Album ini turut menampilkan sebuah lagi killer berjudul “Ku Terbakar Kepanasan Cintamu” yang sekali lagi menguji nada tinggi Ramlah Ram dalam terus mencuri perhatian penggemarnya.
Bersama Nawab Production Ramlah Ram menghasilkan lebih kurang 5 album studio yang memonopoli pasaran Pop 80-an sebelum kembara muziknya bergerak di label BMG di era 90-an dengan komposisi muzik komposer dan produser muzik lain. Namun esen Pop Ramlah Ram itu masih kuat dalam album-albumnya.
Ramlah Ram sehingga hari ini sudah melewati pasaran muzik tempatan melebihi 4 dekad dengan setiap satu era itu dia sentiasa konsisten hadir bukan sahaja dengan lagu baru tetapi tetap menghasilkan album-album baru yang memenuhi diskografinya sebagai Biduanita Pop yang masih lagi diperkatakan dan diperdengarkan.
Baru siap menghadirkan lagu terbaru berjudul “Aku Ubatinya Lagi” (Baca disini) ciptaan Ajai sebelum merilis sebuah lagu raya berjudul “Kemenangan” Jun lalu menjadikan dia antara bintang era 80-an yang masih aktif dalam pasaran muzik hari ini.
Album-album awal Ramlah Ram kini boleh dinikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia” Universal Music Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN
Mendekati Aura Bintang 3 Dekad Ramlah Ram Sebagai Biduanita Pop Tempatan