
Selain tahun 1999 yang sudah kami kupaskan sebagai sebuah tahun cemerlang muzik tempatan dengan kepelbagaian muzik yang diraikan dengan begitu meriah dan seadilnya (Baca di sini: 1999) satu lagi tahun yang begitu menarik dikembalikan kegemilangannya adalah 2001.
20 Tahun lalu di mana kita diraikan dengan rangkaian lagu-lagu hebat bukan sahaja dari segi komposisi muzik dan idea malah disambut terbuka pendengar muzik ketika itu.
Memperlihatkan karya-karya hebat malar segar seperti “Raikan Cinta” (M.Nasir), “Anak Ayam” (Too Phat), “Percayalah” (Siti Nurhaliza), “Demi Masa” (Raihan), “CD Bagasi Honey” (Pretty Ugly) dan “Seandainya Masih Ada Cinta” (Dayang Nurfaizah) antara yang paling dominan.
Itu belum lagi mendengar “Malayneum” persembahan Butterfinger yang mungkin bagi sesetengah pendengar Pop kedengaran asing dan evolusi muzik Camelia dan Syafinaz di album mereka “Mimpi” dan “Syhh…” yang merupakan album rakaman semula hits Datuk Ahmad Nawab.

Lagu-lagu popular ini tidak hanya singgah sebagai sebuah rilis lagu tetapi kesemuanya beriring produksi album yang besar jiwanya, ideanya.
Menyorot kembali album terbaik M.Nasir sepanjang ia bermuzik, “Phoenix Bangkit” terhasil cukup solid sebagai naskhah Nusantara Pop yang cukup matang penghasilannya. Lihat sahaja bagaimana hebatnya lagu-lagu “Phoenix Bangkit Dari Abu”, “Masirah”, “Langgam Pak Dogo” dihasilkan dengan satu sifat tersendiri yang dimiliki M.Nasir.
Idea besar M.Nasir ini satu daripadanya yang sehingga hari ini masih didengar, dikaji isi ceritanya, dicari fizikal CD nya. Kosmik Pop M.Nasir dalam mempersembahkan sesuatu yang cukup berdiri sendiri dalam ideologi muzik fusion yang disatukan baik dengan sound baru menjadikan setiap lagu terhasil cemerlang sekali sifatnya.
Idea bebas juga radikal anak muda di pasaran urban menciptakan sesuatu yang cukup berani – Saya berbicara tentang Too Phat dan Innuendo. Dua nama cukup besar dalam memberi sentuhan muzik global dalam pasaran muzik lokal.

Too Phat menerusi “Plan B” menzahirkan kembali ilham lagu rakyat Anak Ayam sebagai sample melodi baru yang dibikin serba unik tanpa terasa mengganggu keaslian melodi “Anak Ayam” tetapi meletakkan standard baru lagu lama tersebut dengan begitu ke tahap yang lebih tinggi sifatnya.
Menerusi album serupa mereka mengundang Biduanita Sharifah Aini di single berjudul “You” yang sekali lagi ketika itu hadir sebagai sebuah naskhah genius dalam menyatukan dua generasi Pop dalam pasaran muzik semasa.
Tidak hanya bergantung pada dua single itu sahaja, “Plan B” dilihat sebagai sebuah killer album dengan hadirnya single lain seperti “Just a Friend”, “Boogie Down” dan “Clap To This”. yang sehingga hari ini diingati dan didengari.

Innuendo sebuah lagi Pop group yang sentiasa tampil dengan sound yang cukup moden dan current
Album berjudul “BrandNuEndo” yang merupakan album kedua pop group yang cukup diingati dengan rendisi baru “Belaian Jiwa” merilis sebuah lagi album yang cukup boleh dibanggakan pasaran muzik tempatan.
Terhasil sebagai sebuah rangkuman idea kreatif memanipulasi R&B, Pop dengan pengaruh muzik di era 70’s, 80’s dan 90’s – menjadikan “BrandNuEndo” sebagai sebuah naskhah yang melangkaui batas masa dalam sebuah idea baru dalam meninggikan standard bermuzik mereka.
Saya sangat tertarik untuk memberi kredit bagi beberapa lagu yang cuku bagus sekali penghasilannya di album ini. Selain “Only Dancin” yang menjadi single perdana album ini bersama “Gemawan” dan “Nanti” yang menampilkan Ruffedsge bersama V.E antara lagu penting di album ini.
“Body Song” tampil cukup kuat spirit R&B antara yang terbaik pernah dihasilkan Innuendo. Biar sehingga hari ini setiap kali saya mendengar lagu ini akan menerbit rasa remang bangga menikmatinya.
Kolaborasi bersama Adibah Noor menerusi “I,2 The movie” hadir dalam alunan Jazz yang complete sebagai sebuah persembahan vokal yang begitu puas untuk kita sebagai pendengar nikmati. Dan pernah dengar “Trois” ? yang dikatakan sebagai kisah “3 sum” dalam perhubungan.

Syafinaz hadir berevolusi dalam memberi warna baru karya Ahmad Nawab menerusi Syyh…
Setelah meraih populariti dengan orinality vokal luar biasanya menerusi hits “Ingin Bersamamu” Syafinaz mengambil masa meramu kembali karya-karya Datuk Ahmad Nawab menerusi album solo keduanya bersama EMI pada tahun 2001.
“Rindumu Rinduku” yang berasal sebagai naskhah Balada diubah kemas dan moden muziknya oleh Ahmad Izham Omar menjadi sebuah naskhah R&B yang cukup dasyat sekali vibe nya. Hip-Hop ditambah sebagai bahan perasa yang menyedapkan lagi naskhah asal nyanyian Broery Marantika.
Album ini berisi 12 lagu termasuk sebuah lagu bari tribute Ahmad Nawab ini mengubah struktur muzik asal dengan idea baru, intepretasi baru dalam sebuah persembahan baru.
Banyak yang suka dengan apa yang Syafinaz lakukan namun tidak kurang yang memandang ia sebagai sebuah usaha yang memusnahkan idea lagu asal.
Namun inilah yang saya maksudkan dengan kebebasan bermuzik yang menguji kreativiti bukan sahaja pada penggubah tetapi buat kita sebagai pendengar dalam meraikan keterbukaan serta kepelbagaian bermuzik. Rakaman album ini cukup kemas dan bersih sound nya.
Mendengarkan “Syyh..” setelah 20 tahun diterbitkan tidak terasa lapok malah saya kira ia sangat masih kedengaran segar dan relevan untuk pasaran muzik hari ini. “Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu”, “Kemesraan” dan “Ku Sangka Siang Kiranya Malam” sudah dihasilkan dengan ilham muzik yang cukup hebat sekali.

Rakaman langsung dari konsert “Perjalanan Seni” Tan Sri S.M Salim bersama orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra dengan rangkaian lagu yang disusun semula Ramli M.S terhasil sebagai sebuah sejarah konsert paling akan diingati sepanjang zaman. Mungkin bukan buat generasi hari ini tetapi untuk semua yang faham dan dekatnya dengan ilham muzik yang tinggi santun dan budinya dalam sebuah repertoire muzik Melayu yang ditinggikan martabatnya.
Biar tidak berkesempatan ke konsert tersebut saya kira hanya untuk mendengar persembahan serba sederhana Tan Sri S.M Salim yang disulam dengan jenakanya mengusik penonton menjadi satu pengalaman yang cukup besar di ruang visual saya sendiri.
Lagu-lagu seperti “Pandang-Pandang, Jeling-Jeling”, “Kalau Ku Tahu”, “Tak Seindah Wajah” dialun dalam pengalaman bermuzik Tan Sri S.M Salim yang cukup matang sebagai senior dalam radar Pop tempatan. Kredibiliti dan keampuhannya sebagai seorang penyanyi pentas itu terlalu banyak yang boleh dipelajari bakat muda hari ini hanya dengan menghayati album ini.

Bakat baru ketika itu yang cukup mencuri tumpuan hadir dengan ilham muzik yang tidak terikat Pop semata. Yasin hadir dengan pesona Pop Padang Pasir dalam jelmaan sebagai Amr Diab Malaysia, Flop Poppy cukup mempesona dalam Alternatif “Cinta” yang cukup original dan masih ingat Sarimah hadir dengan cukup yakin yakin dalam pesona Pop Britney menerusi “Kini Kau Tiada / Now That Youre Gone”?
Sekadar menyebut tiga nama ini sahaja sudah jelas betapa bebasnya pemuzik dahulu berkarya dalam idea yang pelbagai. Dan apa yang lebih penting penerimaan pendengar ketika itu sangat terbuka dalam meraikan kepelbagaian dalam bermuzik.
Sarimah, Flop Poppy dan Yasin menjadi bukti muzik ketika itu cukup beragam dan bergerak cukup kreatif, tersendiri
Itu belum lagi kita menyebut bakat-bakat indie yang ketika itu hadir rebellious menolak ilham Pop semasa seperti Pretty Ugly menerusi “CD Bagasi Honey” dan Love Me Butch dalam ilham Hardrock dan Alternatif seratus peratus bahasa Inggeris yang ketika itu masih terlalu kecil pasaran muziknya.
Namun dalam bermuzik tiada apa yang menghalang nama-nama ini terus melakukan apa yang mereka percaya dengan sokongan penuh pendengar dan Love Me Butch sendiri sudah diangkat sebagai Artis Inggeris Tempatan Terbai di pesta muzik AIM Ke-9.

Butterfingers menerusi album keempat mereka berjudul “Malayneum” meramu elemen Klasik dan Nusantara yang diadun baik dalam elemen Rock mereka mencipta satu kosmik muzik yang cukup menarik untuk dihayati. Kerasnya muzik mereka dalam lagu seperti “Malayneum” dan “Pacific” antara yang cukup menarik untuk didengari sehingga hari ini.
Kraf muzik Butterfingers bergerak cukup ke depan ketika itu dengan pengaruh muzik rock barat dalam signature muzik mereka yang melekakan. Keras riff gitar dan derum deram laju menguja adrenalin pendengar memberi satu nafas kekinian muzik tempatan ketika itu.
Di pasaran Pop dan Balada pertaruhan R&B Dayang Nurfaizah bersama album “Seandainya Masih Ada Cinta” menjadi antara yang paling dominan 2 dekad lalu. Diikuti album “Aku Cintakan Mu” oleh Ziana Zain dengan hits “Menadah Gerimis” juga Fauziah Latiff menerusi album “Yang Lebih Kau Cinta”.
Siti Nurhaliza menerusi single “Percayalah” di album Safa meneruskan formula Pop yang cukup sebati dengan kosmik Pop yang sudah dia hidangkan dalam album-album sebelumnya. “Safa” mungkin bukan hasil terbaik Siti tetapi “Percayalah” sudah boleh kita letakkan sebagai salah satu naskhah Balada terbaik yang pernah dicipta sepanjang zaman.
2001 Sebagai tahun paling istimewa pasaran muzik tempatan
Kehebatan muzik M.Nasir menerusi melodi “Raikan Cinta” tercabar dengan kehadiran Yasin yang bergerak secara solo menerusi hits “Mimpi Laila” yang meraih gelaran Juara Lagu. Dan “Raikan Cinta” juga tewas di tangan “Seandainya Masih Ada Cinta” sebagai Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik.
Persaingan sengit tetapi cukup sihat bagi perkembangan muzik tempatan. Meraikan kepelbagaian dalam muzik tanpa mengira apa jua genre muzik. Siapa yang berani ketika itu hadir dengan idea berjiwa besar dan keluar dari acuan muzik yang biasa akan diangkat.
Namun bukanlah maksud saya di sini menidakkan kehebatan “Raikan Cinta” – Lagu dan album tersebut sehingga hari ini masih boleh dibanggakan sebagai naskhah yang cukup cemerlang sifu M.Nasir.
Camelia menerusi albumnya berjudul “Mimpi” is another story yang harus dibicarakan. Camelia keluar dari kepompong Balada biasa yang sering dibawa. Camelia mencabar dirinya dengan menghasilkan sesuatu yang lebih berat arah muziknya.

Fusion Pop di album ini dengan elemen Jazz “Bukan Yang Terbaik”, R&B “Bawa Cinta”, Fusion Etnik di lagu “Mimpi” dan kemasan string di lagu “Erti Kehidupan” itu menolak terus idea lapok dan lama. Landskap Pop Camelia berubah dan memperlihatkan dia betapa matangnya sebagai seorang penyanyi yang mahu evolve dengan sound2 yang baru.
Dan masih ingat produksi muzik “Natural Woman” oleh Ning Baizura yang dibikin di Jepun? Biar tidak semua menikmati album tersebut, “Natural Woman” menjadi antara album terpenting Ning sepanjang karier muziknya.
Menyorot kembali kalendar Pop tempatan di tahun 2001 saya kira memberi satu pengalaman mendengar dan menikmati muzik yang cukup berwarna. Sayangnya tidak semua album-album hebat ini ada di gedung muzik digital untuk didengari anak muda hari ini.
But again saya tidak pasti juga mengulang dengar dan belajar sesuatu daripada naskhah-naskhah hebat ini penting buat mereka. Anda bertuah jika muzik di era ini masih penting untuk didengarkan dan dihargai.
Terlalu banyak elemen-elemen muzik yang boleh dipelajari dan dikembangkan bagi menghasilkan sesuatu yang baru hari ini. 2001 tahun yang sangat berwarna cerita muzik tempatan. Exists hadir dengan album “Ada” dengan sound Brit Pop yang dasyat penghasilannya dan kosmik Pop Rock baru Ella menerusi “Ilham Bicara”. Semuanya terhasil sebagai naskhah muzik yang harus dibanggakan.
Dengarkan senarai lagu 2001: MALAYSIA di Spotify Muzik Kita:
ARTIKEL BERKAITAN
Beredar Balik Ke Pasaran Muzik 20 Tahun Sebelum, Ini 10 Lagu Terbaik Di Tahun 1999