
MK Melewati katalog muzik tempatan sepanjang Januari – Februari tahun ini dan menyenarai pendek 10 Rilis Terbaik!
Januari berawal dengan beberapa rilis digital yang dimulakan dengan rangkaian Pop yang beredar sepanjang Disember seperti Hati (Hael Husaini), Shh (Elizabeth Tan), Selalu Denganmu (Kaer & Amylea) antaranya.
Barisan penyanyi senior yang sempat menghadirkan single terbaru mereka seperti Alyah denga balada “Cintaiku”, Asmidar hadir dengan 3 single serentak dalam masa dua bulan ini – rakaman semula “Sireh Pinang” yang cukup mempesona sekali penghasilannya dan dua lagi Balada formula berulang “Memoir Rindu” (Sharon Paul) dan “Separuh Hatiku” (Natasyah Annes).
Siti Sarah lebih memberi keterujaan dengan single “Dap Dap Dap” yang datang dengan sound cukup current dan cukup cocok sekali dengan feel vokal yang dia miliki. “Dap Dap Dap” saya kira meneruskan formula fast number Sarah sebelum ini seperti “Jangan Kau Mimpi”, “Menari Denganku” dan “Pesan Mamaku”.

Di pasaran yang lebih dominan single Sakit (Zynakal & YonnyBoii) cukup mendapat perhatian. Dengan jumlah view melebihi 11 Juta di YouTube dan sudah di strim lebih 1.5 Juta di Spotify menjadi bukti pasar besar muzik tempatan sudah berubah landskapnya.
Andi Bernadee masih bernadi dengan nuansa Raggaeton Pop di bawah kendalian muzik ALIF (Magic Portion) setelah kejayaan “Donde” dan “Hello” bersama Ismail Izzani tahun lalu. Lagu berjudul “Shimmy” ini dengan tidak sukar sudah meletakkan nama Andi sebagai bakat baru yang memiliki masa depan bermuzik yang cukup baik.
Selain Andi, tentu sahaja nama Naim Daniel menjadi bualan hangat setelah kejayaan bergelar juara di Anugerah Juara Lagu 33 yang lalu. Seperti sudah diduga “Sumpah” yang beredar tahun lalu memberi tuah besar buatnya.

Dan tanpa membuang banyak masa, Naim bersama pengurusan WP Entertainment merilis “Sembah” (Iqie Hugh / Naim Daniel) menampilkan gitaris legenda Man Kidal yang mendominasi “Sembah” dengan cukup berkelas.
Dua nama baru penyanyi wanita yang harus diberi perhatian – Khodi (Ke Mana) dan Aisha Retno (Mengikat Jiwa) yang kedua-duanya bernaung di bumbung Sony Music (M) hadir dengan citarasa muzik yang cukup baik.
Jazz feel dalam single Khodi bersama Razqa berjudul “Ke Mana” cukup baik sekali penghasilannya dan pesona Indo Ballad Aisha Retno dalam “Mengikat Jiwa juga hadir cukup menyenangkan.
Siti Nurhaliza masih belum mahu berehat daripada merilis single. Terbaru selepas “Terang” Siti hadir dengan kolaborasi bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta “7 Nasihat” resemblance feel Ahli Fiqir dan Ala Canggung Too Phat bersama Yusni Hamid. Suara Siti punya merdu sepuluh bintang namun tiada apa yang segar dan terkini tentang penghasilan muziknya.

Di pasaran urban pula menyaksikan single terbaru Lunadira (Crazy Dizzy), Airliftz (Nice To Know Ya), Ali Aiman (One Day) dan Talitha. (Don’t You See Me) antara yang masih bergerak cukup tersendiri.
Dan Bunkface hadir penuh kontroversi menerusi single “Akhir Zaman” sebagai sebuah satira kritikan sosial yang menerima respons yang berbeza-beza.
Menutup kalendar Februari, Dayang Nurfaizah hadir dengan single yang cukup solid untuk dibilang sebagai benchmark Pop 2020. Bersama Faizal Tahir, YonnyBoii dan Tuju mereka bertiga menghasilkan “X MISSING U”.
Percaturan Pop Dayang setelah “Haram” (Bersama Hael Husaini) dan “Sebentar” yang beredar tahun lalu meletakkan standard yang tinggi portfolio kerjayanya yang sebelum ini berpegang pada ilham Balada di album penuh terakhirnya pada tahun 2017.
- X MISSING U – Dayang Nurfaizah / FT / Tuju / YonnyBoii (FT / Ja’a / Mage / Mike Chan / Tuju / YonnyBoii)Darren Ashley)
- Dap Dap Dap – Siti Sarah (YonnyBoii)
- Sembah – Naim Daniel (Iqie Hugh / Naim Daniel)
- Shimmy – Andi Bernadee (Alif)
- Let Me In – Bil Musa & Alex Ungku (Alex Ungku / Bil Musa)
- Panggung – Apex Tajuddin (Faizal Tahir / Karim Karam / Mage / Mike Chan / Romeo)
- Menunggu – Orkes A. Hizadin (Amiruddin Hizadin)
- NiNiNi – Abubakarxli (Abubakarxli)
- Crazy Dizzy – Lunadira (Ahmad Nadzmi Ali / Nadira Mohamad Diah)
- 7 Nasihat – Siti Nurhaliza / Kmy Kmo / Luca Sickta (Kmy Kmo / Luca Sickta)