Dua puluh lapan tahun diharungi tanpa lelah dan penuh minat. Berbual dengan Ratu Rock ini memberi bayangan cukup jelas bidang muzik yang dipilih adalah jiwa dan kehidupannya. Album Pengemis Cinta yang diterbitkan Ramli Sarip pada 1989 menjadi titik tolak pembabitan Ella dalam bidang muzik dan dengan pantas dia mencuri tumpuan dengan hit-hit hebat seperti Permata Biru, Sembilu, Layar Impian, P.P.P, Retak, Simbiosis dan Oh! terlalu banyak kiranya jika saya mahu tulis di sini. Hal ini menjadi bukti bahawa pengaruhnya cukup luar biasa kerana jika anda bukan peminat tegarnya sekalipun setidaknya bila disebut namanya pasti akan ada satu trak all time favorite yang akan kita hafal.
Soalan pertama saya padanya, apakah album kegemarannya sepanjang merakamkan album dia pantas menjawab EL (1998) sebelum menyebut Ella U.S.A (1994) dan 30110 (1992). “Album EL begitu personal dan Ella puas dengan kualiti rakamannya. Pada waktu itu teknologi rakaman muzik tidak secanggih sekarang dan untuk mendapatkan hasil yang sebegitu bagus menuntut kreativiti yang cukup tinggi juga kesabaran untuk menyiapkannya.” Tambah Ella lagi peluang bekerjasama dengan pemuzik undangan Slash dari Gun N’ Roses, Richard Marx serta Jascha Richter (Michael Learns to Rock) antara yang paling dia tidak akan lupakan.
Apa yang Ella mahu tawarkan pada peminat tahun ini? “A brand new album. Ella sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu terbaru ini dengan peminat. Kali terakhir Ella muncul dengan album penuh pada 2007 menerusi album Rama-Rama dan apa yang boleh Ella katakan album terbaru ini merupakan satu persembahan muzik yang cukup segar dan terkini.” Dan saat ditanya apa yang dimaksudkan dengan sesuatu yang segar Ella berkata dia kali ini berkerja dengan bakat muda seperti Sam Bunkface dan Omar K bagi memberi suntikan terkini selain masih menggunakan khidmat penerbit senior seperti M.Nasir dan Edrie Hashim.
Menjadi living legend sepertinya pasti akan punya permintaan tinggi baik daripada peminat sehingga orang sekeliling. Bagaimana Ella mencari kepuasan dalam berkarya soal saya padanya
“Menjadi penyanyi buat Ella belajar untuk melepaskan. Sesetengah perkara we should let go and be positive. Ya memang Ella ada banyak perkara yang nak dicapai tapi Ella tak boleh nak kawal semuanya. Ella hanya perlu fokus pada apa yang patut dan selebihnya percaya pada tenaga pakar yang bekerja dengan Ella. You cannot be selfish all the time.”

Tambah Ella lagi setiap kali dia harus berkerja untuk sebuah album baru dia akan sentiasa punya rujukan yang dijadikan sebagai panduan dan meletakkan syarat utama kepada produser untuk menghasilkan sesuatu yang punya keaslian dalam penciptaan.
“Rujukan penting bagi Ella supaya apa yang ingin dicapai itu jelas dan menjadi. Ella tak mahu menghasilkan sesuatu bercampur aduk tanpa punya arah yang jelas.” Dan jujur saya setuju dengan apa dikatakan. Sepanjang berbual dengannya dia tidak putus menyebut perkataan minat dan jujur. Katanya tanpa minat yang mendalam dia takkan bertahan sampai hari ini dan tanpa kejujuran orang tidak akan dapat rasa apa yang cuba dia sampaikan.
Jika dilihat cara dia mengadaptasi lagu-lagunya agar relevan dengan trend semasa sentiasa menjadi. Saya beri contoh ketika dia era kugiran indie mendominasi pasaran dia muncul dengan trak Pop Alternatif seperti Nan Berbeza, Teruja dan Simbosis kemudian melodi kugiran Pop Indo menguasai carta radio seperti Radja dia tampil dengan ilham Retak dan Rama-Rama. Malah dia juga pernah merakam trak Melayu asli Jauh Di Mata.
Namun semuanya dicipta cukup tersendiri agar ramuan ‘Ella’ dalam setiap lagu yang diterbitkan tidak terlalu dibayangi trend semasa. Dan saya kira itulah alasan mengapa dia masih lagi kekal relevan sehingga hari ini selain kalimat jujur dan minat yang menjadi bahan fikir saya petang itu.
DISKOGRAFI
Pengemis Cinta (1989)
Puteri Kota (1990)
Identiti (1990)
30110 (1992)
Kesal (1992)
U.S.A (1994)
Demi (1996)
EL (1998)
Ilham Bicara (2001)
Simbiosis (2003)
Rama-Rama (2007)
*Artikel ini pernah diterbitkan di majalah EH! Isu Mei 2015 oleh Hafizan Mohd.