Penghujung 2016 dan 2017 tahun yang cukup seronok untuk saya sebagai pengikut tegar muzik lokal. Nama-nama besar seperti Anuar Zain, Faizal Tahir, Kopratasa, Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Sheila Majid, Atilia, Monoloque, Noh Salleh masing-masing menghasilkan album penuh yang cukup solid sekali.
Hal ini penting dan sihat untuk perkembangan muzik tempatan. Album penuh masih penting kerana album adalah portfolio seseorang penyanyi – baik secara fizikal mahupun digital. Sense of belonging pada pembeli lebih tinggi dan dirasai berbanding single yang akan dilupakan.
Dan apa yang lebih menggembirakan saya apabila mengetahui Ella akhirnya muncul dengan album penuh setelah 10 tahun selepas produksi Rama-Rama. Bermula dengan single Istimewah yang diedarkan 2 tahun lalu ciptaan Sam Bunkface sehingga single terbaru Ku Sedia (Faizal Tahir / Omar K / Ezra Kong) Ella pakejkan dalam sebuah album yang cukup hebat berjudul Peace Love Rindu.
Album ini dibuka sempurna lagu ciptaan sifu M.Nasir dan lirik Keon berjudul Raguku. Terus terang melodi lagu ini sekali dengar kita dah boleh dengar signature melodi M.Nasir namun ada tapinya – susunan muzik Firdaus Mahmud memberikan satu suntikan yang cukup segar, moden dan ke depan.
Kalau dibiarkan sahaja melodi ini dengan corak tipikal M.Nasir saya kira lagu ini sekadar another songs yang kita pernah dengar but again cara Firdaus mencorakkan lagu ini cukup segar sekali. Saya sangat sukakan lirik tulisan Keon. Masih puitis sepertimana lagu-lagu yang pernah ditulis sebelum ini.
“Ilhamkan aku cinta,
Datangkan aku setia,
Bagai Juli ke Romi nya”

Kesempurnaan Raguku diteruskan dengan sebuah lagi lagu ciptaan M.Nasir lirik Buddhi Hekayat (gabungan serupa menulis Awan Nano – Hafiz) yang cukup dan penuh dengan energy. Persembahan vokal Ella dalam lagu ini cukup rasa. Spontan, raw dan santai.
Namun saya lebih tertarik dan tidak salah saya katakan lagu Sujud ciptaan sepenuhnya Edrie Hashim antara lagu terbaik dalam album ini. Sempurna segala-galanya! Melodi yang baik, puitis lirik, susunan muzik hebat dan saya puas mendengar persembahan vokal Ella. Saya ulang saya puas!!!
Saya ulang dengar berkali-kali lagu ini! Ini contoh lagu yang sempurna untuk radio / pasaran semasa. Ini lagu terbaik untuk Ella push sebagai single seterusnya. Seni penulisan lirik Edrie yang mengangkat isu ketuhanan dan kemanusiaan dalam lagu ini membuatkan lagu ini bukan sekadar Pop yang biasa-biasa.
Comel (M.Nasir / Ad Samad) bermula dengan bait “Gincuku patah bila mendengar akan alasan yang kau beri.” Dan di korusnya “Walau sedap dipandang kau mudah jadi curang. Walaupun kau sedap dipandang ku tak rela dibaham.”
Saya jenis orang yang enjoy dengan penulisan lirik sebab itu saya suka beli album dan penulisan yang sebegini hanya Ad Samad sahaja yang tahu memberi justifikasi agar tidak kedengaran cheesy atau tidak kena dengan melodi.
Ku Sedia (Faizal Tahir / Omar K / Ezra Kong) saya sifatkan sebagai satu percaturan yang sangat bijak.
Pada saat lagu ini bermain di telinga saya, hati saya terdetik satu perkara – Ella nyata ada satu pasukan yang cukup smart untuk merencana Peace Love Rindu sebagai naskhah yang relevan, current, fresh dan moden tanpa menghilangkan segala esen muzik Ella sepanjang 32 tahun ini.
Ku Sedia adalah contoh terbaik dengan apa yang saya katakan. Konsep lagu ini sangat current yang ada esen lagu lagu-lagu popular hari ini tetapi tidak sedikit pun lari jauh meninggalkan corak muzik Ella. And to be frank awal mendengar lagu ini saya tak dapat tangkap langsung bayangan yang lagu ini ditulis trio Faithful Music. (Rujuk lagu Nastia “Rapuh” yang cukup kental soundFaizal Tahir).
Dan,
Ultimate song dalam album ini tentu sahaja Peace Love Rindu yang dicipta legendary rock tanah air Lord daripada kumpulan & The Boys yang turut bersama-sama Ella di awal penglibatan bintang rock ini. Lagu ini dikemudi AG Coco yang bertindak sebagai produser.
This is a love anthem! Lagu-lagu begini sememangnya sebab mengapa kita suka dan jatuh cinta dengan lagu-lagu Ella. Saya pantas teringat Gemilang, Pergilah Sayang, Demi, Pedih, Dua Insan Bercinta, Esok Lusa Selamanya dan Peace Love Rindu akan meneruskan kegemilangan lagu-lagu popular ini dengan rencah yang cukup moden dan sedap sekali.
Seawal bait
“Hello, Kuucap padamu, masa jauh berlalu terubat jua rinduku…”
sehingga korus
“I Wish you all the love I wish you happiness. Doaku untukmu sayang.”
Bikin saya melayang dengan persembahan cukup deep Ella. Saya kira ini lagu yang dicipta khusus untuk kotak suara Ella dan karakternya. Sejujurnya lagu sebegini kita tak dapat selalu dan tak semua orang tahu macam mana nak buat naskhah seperti ini. This is an evergreen piece yang kita akan selalu dengar macam kita masih dengar Pergilah Sayang.
Album ini sebuah album yang sangat solid. Setiap lagu memberi justifikasi pada karakter Ella dan paling penting sebagai ia disiapkan sebagai sebuah produksi yang bercitarasa tinggi dengan kualiti yang cukup hebat sekali.
Saya kira Peace Love Rindu sebuah naskhah yang cukup dahsyat dalam meneruskan kelangsungan 32 tahun penglibatan Ella dalam bidang muzik. Dan seperti posting saya di facebook tempoh hari, this album demands your good taste in music to enjoy it. Ya, ini album LIMA BINTANG!