
Meneliti pasaran muzik niche seperti indie dan urban lokal saya kira Malaysia tidak pernah haus dengan anak-anak muda yang sentiasa mahu melakukan sesuatu yang keluar daripada kepompong muzik Melayu yang tipikal.
Mungkin daripada segi skala evolusi muzik kita agak kecil berbanding negara seberang Indonesia yang hari ini mampu bangga dengan Dipha Barus, Adrian Khalif, Teddy Adhitya, Teza Sumandra, Eva Celia dan Rinnie Wulandri umpamanya.
Namun saya kira kita masih bertuah memiliki syarikat rakaman lokal seperti Yuna Room Records yang sentiasa mahu memasarkan karya-karya yang datangnya daripada anak muda seperti Bil Musa ini umpamanya.
Setelah debut self-titled yang diedarkan sekitar tahun 2015, Bil tahun lalu muncul dengan dua single perdana yang turut dimuatkan dalam album keduanya berjudul Young Adults ini. Dua single yang saya maksudkan adalah No More Excuse dan Adakah Ini yang cukup kuat pengaruh Yuna sebetulnya. But that’s really ok Bil.
Album ini dibuka dengan trak No More Excuse yang begitu Mannequin sekali acuan muziknya diikuti trak Owe It All to You yang ada semua elemen magical, fantasy feel sampailah masuk ke korusnya yang betul-betul buat saya melayang dengan struktur melodi lagu ini. This is definitely my repeat mode track dalam album ini.
Adakah Ini pure ballad yang saya kira agak predictable tetapi saya sangat sukakan penulisan lirik lagu ini. Seawal bait “Berbual hingga larut malam, Tiada malu tiada segan, Diselimuti dengan keselesaan, Keadaan ini sungguh mengancam.” Saya sudah khayal dengan pengucapan Bil yang betul-betul masuk jiwanya. Segala magis keindahan Adakah Ini diteruskan dalam sebuah lagu lagu terbaik album ini berjudul Sejarah yang juga begitu baik penghasilannya.
Saya begitu sukakan transisi daripada satu lagu ke satu lagu yang lain. Ia ibarat satu journey perasaan dalam melodi-melodi yang indah dan sedap didengar berserta cerita cinta, angan-angan muda-mudi dalam penulisan liriknya. Hal-hal ini anda boleh dapat dalam hampir kesemua lagu terutama sekali track I Wanna Dance, 4 AM, Lay Me Down dan Nineteen.
Apa yang pasti Young Adults membuktikan Bil semakin jelas dengan arah muziknya. Album ini kalau kena percaturannya dan pada masa yang sama mendapat sokongan skala besar pasaran massa saya kira Bil boleh merasa setidaknya masuk carta lagu 10 teratas radio.
Tapi bila saya fikir lagi, sebetulnya Bil boleh pergi jauh ke pasaran nusantara daripada fokus pasaran lokal sahaja sebab jadi juara dekat Malaysia ni apresiasinya sekejap sahaja. I do hope that Young Adults boleh bawa Bil keluar daripada pasaran lokal. Tak kisah sekecil mana pun festival muzik luar sana dan evolve lah menjadi pemuzik yang lebih matang dan bijak di masa depan. Sungguh!