
Alyah dalam lapangan muzik Balada tempatan sudah menjadi satu nama yang sentiasa dinantikan kemunculannya. Jalannya untuk mendapat tempat di pasaran massa cukup panjang sehingga tuah “Tak Mungkin Kerna Sayang” karya cipta Ajai membawa namanya cukup dikenali sehingga hari ini.
Magisnya dalam menampilkan hits malar segar nyata bukan lagi persoalan. Saya kira melodi dalam lagu-lagu seperti Kisah Hati, Sesal Separuh Nyawa, Kau Yang Terindah sehingga Jutaan Purnama sudah layak dilabel sebagai naskhah malar segar.
Pergilah ke mana-mana sahaja pusat karaoke atau pertandingan nyanyian, “Kisah Hati” bagai sudah menjadi lagu wajib untuk semua nyanyikannya. Dan bagi meneruskan kelangsungan balada indahnya, Alyah tidak hanya mahu berhenti pada kejayaan lagu-lagu tersebut.
Tampil dengan lagu berjudul “Meluruh” ciptaannya bersama Helen Yap dan lirik tulisan Slen, Alyah sudah siap sedia menawan lebih ramai lagi penggemar muzik Balada tempatan dengan lagu yang beredar hari ini 19 April 2019.
Meluruh disusun dan diterbitkan oleh Helen Yap.