
Berawal dengan minat terhadap Tupac Shakur membawa rapper dan produser muzik menggelar diri MCZOQQ dalam lapangan muzik Hip-Hop dengan menghasilkan lagu pertamanya berjudul L.A.M.F.E.M.O pada tahun 2004.
Langkah awal yang agak perlahan tidak menghentikan MCZOQQ untuk fokus terhadap apa yang diawalinya dengan minat biarpun mengambil masa hampir lapan tahun untuk menghasilkan naskhah keduanya Aku Siapa? secara indie pada tahun 2012.
Rezeki dan tuah yang beriring usaha keras membuka langkah lebih luas MCZOQQ tahun ini pabila buat pertama kalinya dia dapat berkolaborasi bersama rapper handalan yang cukup heboh kini, Altimet.
Lagu berjudul Awal Akhir ini merupakan hasil karya MCZOQQ bersama Dedeq (Hikayat Benladen, Pejamkan Mata & Rahsia) dan lirik ditulisnya sendiri bersama Altimet.
“AWAL AKHIR” menceritakan tentang perjalanan karier dua rapper yang berada di fasa karier berbeza.
Awal sebagai cerminan perjalanan kariernya dalam pembabitan bidang muzik secara komersil dan Altimet berada di peringkat akhir perjalanan kariernya sebagai seorang Rapper.
Tambah MCZOQQ “Penghasilan lagu ini pada masa yang sama mahu menjawab “people’s perception” tentang impian yang dikejar, kerja keras dengan percubaan demi percubaan bagi merealisasikan impian yang dicita tanpa putus asa.”
Awal Akhir kini tersedia di semua gedung muzik digital dan muzik video rasminya sudah beredar di YouTube rasmi MCZOQQ.