
EP: Asmara Dansa
Persembahan: Rossa
Produser: Dipha Barus
Tidak pernah betah dan selesa dengan karya-karya sedia ada, meneruskan sebuah kelangsungan bermuzik dengan idea dan pemikiran yang sentiasa baru untuk penggemarnya. Itu Rossa yang saya kenal sejak dia muncul di persada muzik tempatan dengan “Tegar”.
Perjalanannya tidak pernah perlahan, malah akan ada sahaja hal-hal baru yang mahu dikongsikan. Jika tidak perlu hadir dengan album penuh pasti akan ada single baru atau rakaman ulang lagu terdahulu yang menjadi pertaruhan untuk terus kekal relevan.
Bulan lalu “Bertengkar Manis” membawa kemenangan buatnya saat dinobat sebagai Lagu Bahasa Melayu Terbaik Artis Luar Negara di acara Anugerah Industri Muzik yang menjadi satu lagi penanda aras buatnya utuh sebagai penyanyi luar yang kuat di Malaysia.
Terkini, beriring empat lagu yang diramu semula, Rossa menzahirkan EP “Asmara Dansa” bersama produser muzik Dipha Barus. DIbuka dengan “Serasa x Juwita” yang menggabungkan dua lagu sebagai satu naskhah baru dan segar.
Ilham Disko, City Pop dan Synth menjadi penggerak lagu ini sekaligus membentuk keseluruhan EP. Apa yang cukup menarik, biar pada usia bermuzik lebih dua dekad, suara Rossa sentiasa muda dan menyenangkan. Tiada hal yang janggal dalam menikmati Rossa yang baru ini.
Hal ini jelas dalam persembahan sederhananya menawan melodi malar segar yang sudah memiliki hayat panjang sebagai lagu malar segar. Rossa tidak berlebihan dalam penyampaian dan dia tahu mengikut rentak sepatutnya agar dia kedengaran cukup untuk memberi justifikasi pada kemasan muzik yang baru.
“Sinaran” menjadi focus track album ini dengan penampilan MK sebagai rapper undangan. Klasik dan tidak diusik untuk mengubah tetapi ditinggikan standard muziknya. Lagu ini kedengaran baru, segar dan timeless di tangan Rossa.
“Asmara Dansa” bergerak sebagai satu projek istimewa untuk peminatnya dan saya percaya ini juga satu usaha untuk Rossa menjerat penggemar yang baru. Ilham ini saya sudah perhatikan ketika dia merakam lagu “Kau” bersama Boy William di album “Another Journey”. Ia mengena dengan attitude yang ada pada Rossa.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN