
Lagu: Nostalgia
Persembahan: Ernie Zakri
Komposer / Lirik: Allan Andersn
Produser: Allan Andersn
Ernie Zakri sudah melayari satu perjalanan bermuzik yang cukup selesa saya kira. Barisan hits yang diterima meluas, fan base yang kuat dan keterbukaan dalam meneroka ilham Pop yang pelbagai. Dan atas semua hal ini menjadikan Ernie sebagai bintang Pop yang akan meneruskan satu legasi yang baik dan berterusan pastinya.
“Masing-Masing” seperti yang pernah saya katakan dulu, sebagai her best decision untuk bertumbuh sebagai penyanyi yang ada kepelbagaian dalam katalog muzik sekali gus menjadi satu jambatan untuk dia meneruskan kelangsungan bermuzik.
Terkini “Nostalgia” menjadi pertaruhan yang datang dengan kejutan manis. Lari daripada kebiasaan, Ernie menjengah pasaran muzik Motown, Retro dan City Pop yang semakin meriah di Indonesia. Dan kali ini bersama komposer muda yang juga penyanyi Allen Andersn maka terhasillah “Nostalgia”.
Dihasilkan cukup segar dalam mengendong ilham Motown, berbalut sempurna feel Soul Ernie yang melatari keseluruhan lagu ini. Pengaruh muzik lewat 70-an dan 80-an di lagu ini dibentuk sebaiknya dengan kemamsan muzik yang menjadikan ia kekinian.
Persembahan vokal Ernie seperti biasa, cemerlang dan menyenangkan. Tiada bahagian di lagu ini yang tidak kemas persembahannya. Mendengarkannya buat kali pertama saja sudah mampu membuat saya terikat dengan penghasilannya.
Momentum lagu ini semakin baik di penghujung lagu dengan modulasi vokal yang dihidupkan sederhana namun kreatif menjadikan ia semakin menarik dinikmati. Lagu yang saya kira semakin pasti akan meneruskan hits malar segar Ernie Zakri.
8.2/10
ARTIKEL BERKAITAN