
Album: Kembali
Artis: Amir Jahari
Produser: Amir Jahari / AG Coco / Zack Emptypage / Haziq Harith / Adlan Syahin / Zikri Zakaria / Fai
Amir Jahari menggunakan sebaiknya peluang yang diberikan untuk dia kembali benar-benar bersinar dengan lagu “Hasrat” dengan penghasilan album kedua ini. Saya kira jika tanpa kejayaan “Hasrat” album ini mungkin juga hampir mustahil untuk Amir hasilkan.
Hal ini buat saya terfikir semua pemuzik / penyanyi (yang berbakat) seharusnya diraikan sebaiknya kebolehan mereka, karya mereka. Ini menjadi pemangkin sebetulnya untuk meneruskan hayat dan nyawa seseorang pemuzik itu untun terus bernadi.
“Kembali” sebuah pertaruhan yang menyeimbangi apa yang Amir mampu lakukan dengan apa yang penggemar muzik mahukan daripadanya. Lima belas lagu yang terisi di album ini bergerak sebagai sebuah pemikiran, idea dan kemampuan Amir sebagai karyawan.
Setiap satu diisi sebagai sebuah naratif yang menggabungkan pengalaman Amir sebagai pemuzik selama ini. Saya tidak akan mengulas kesemua lagu yang ada di album ini kerana banyak masa yang saya perlukan untuk itu. Selama dua minggu menikmati album ini ada beberapa lagu yang sangat kuat dihasilkan baik penciptaan melodi sehinggalah penceriataan Amir dan produksi muziknya
“Aku Rindu” menjadi focus track album ini is one of the best song yang Amir pernah hasilkan sepanjang kariernya. Saya sukakan elemen nusantara yang disuntik di lagu ini. Kemasan muzik Haziq Harith benar-benar menghidupkan asas melodi lagu ini menjadikan sound terhasil cukup mewah. Hal ini jelas di minit 2:07 saat yang bergerak dengan sebuah transisi muzik yang momentumnya sangat menarik dinikmati.
Bait liriknya ditulis dengan penuh spiritual. “Setiap langkah dijaga // Demi kaumnya // Saat mendengar suaranya // Terdiam semua.” dan penulisan yang hebat ini diteruskan dengan “Kini engkau tiada // Semua rasa gelisah // ada yang menderita // Ada yang gilakan kuasa // Yang sebenar // Hanya Dia.”
Amir saya kira benar-benar memaksimakan kemampuannya dalam penulisan melodi juga menyusun naratif muziknya dengan cara yang paling menarik sekali. “Aku Rindu” mengingatkan saya pada penghasilan “Nafas” di album keduanya yang juga antara all time favorite daripada Amir.
Mellow dalam ilham Folk “Belasungkawa” menyerlahkan emosi Amir sebagai pelantun. Lagu ini memiliki vibe serupa “Hasrat” dengan penulisan lirik yang berbalut kisah kemanusiaan yang begitu dekat dengan kebanyakan kita hari ini. Seperti sebuah proses penyembuhan (Healing) lagu ini merasuk sekali. Emosi yang Amir salurkan tidak berlebihan, secukupnya untuk kita benar-benar lapang dan tenang dengan perasaannya. “Kau asung jiwa yang mulia // Untuk megenal erti cinta // Mata berkaca // Tanpa air mata.”
Amir semakin mengikat saya terus untuk melayani album ini dengan penghasilan “Dongak” yang membawa saya kembali pada penghasilan “Ingga” yang dimanipulasi ilhamnya kali ini dengan lebih menarik. Festive vibes di lagu ini benar-benar memberi nyawa berbeza dalam meniknati muzik Amir.
“Baginda” antara penghasilan yang cukup Pop. DNA AG Coco cukup di lagu ini dengan kemasan muzik yang biasa kita dengar dalam karya-karyanya sebelum ini. Lagu ini membawa pendengar pada trend muzik era pertengahan 2000. Muziknya mudah dinikmati dan ia terhasil baik dalam menyeimbangi album ini agar tidak terlalu berat.
“Cin-ta” yang terhasil lebih fun. Semangat Jazz yang ditanam di lagu ini memberi satu pengalaman berbeza menikmati album ini. “Percaya Padaku” juga terhasil cukup menarik. Kedua-dua lagu ini membawa kita kembali ke era permulaan karier Amir dulu.
Terlalu banyak hal yang menarik dan lagu yang kuat di album “Kembali” ini. Penulisan liriknya ditulis dengan naratif penuh kemanusiaan, melodi yang mengikat pendengaran – kesemuanya dihasilkan untuk kita menyelami buah fikiran Amir sebagai pemuzik. Keterbukaan Amir Jahari bekerjasama dengan produser muda membebaskan muziknya menjadi lebih berwarna tanpa menghilangkan identiti Amir Jahari sebagai pemuzik. Ini antara album terbaik tempatan yang harus diraikan berterusan.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN