
Lagu: Nadi
Artis: Yonnyboii / Jobranko
Komposer / Lirik: Yonnyboii / Amy Bong
Produser: Amy Bong
Yonnyboii bakat muda yang begitu unik dan tersendiri sebetulnya. Sejak awal dia mencuri perhatian dengan single “Salahku” dan “Sakit” Yonny dengan mudah mengalihkan pendengaran pendengar tempatan dengan kualiti yang dia miliki.
Dan setelah itu perjalanannya mudah, kredibiliti bermuziknya juga diakui. Debut albumnya seperti dijangka, meraih trofi Album Terbaik di majlis Anugerah Industri Muzik Malaysia. Berserta kemenangan tersebut juga Yonny tidak membuang banyak masa untuk menghasilkan album kedua yang beredar tahun lalu.
Namun seperti kebanyakan pemuzik, faktor usia dan peralihan dalam kehidupan membentuk pemikiran yang lain. Fasa depresi di lagu-lagu awalnya beredar ditutupi dengan cerita cinta dan bahagia lewat album keduanya. Hal ini jelas di lagu “Dilamun” khususnya.
Penulisan Yonny juga semakin kemas dan tidak kedengaran terlalu bersifat remaja mencari diri lagi seperti apa yang dia lakukan dulu. Adakah ini hal yang baik untuk perkembangan kariernya? Ya dan tidak juga jawapannya. Yonny mungkin lebih digemari di fasa depresinya jika mahu dilihat jumlah strim dan pengaruhnya.
Namun seperti yang saya kata di awal tadi ini adalah peralihan yang akan dilalui kebanyakan artis. Ia hal yang baik untuk mematangkan Yonny sebagai pemuzik juga individu. Dan hal-hal kematangan dalam penghasilan lagu serta penulisan lirik ini cukup diperlihatkan lewat single terbarunya “Nadi”.
Lagu ini disebut-sebut sebagai lagu yang sangat bagus oleh Saniboey menerusi ulasan panjangnya di Harian Metro. Dan seperti selalu dan dulu, apa yang Saniboey perkatakan akan saya perhatikan kerana dia jugalah saya mahu menjadi music critics.
But unfortunately kali ini saya harus tidak bersetuju dengannya. “Nadi” ciptaan bersama Amy Bong terhasil dalam idea berulang sebetulnya. Apa yang ditawarkan di lagu ini sudah dilakukan Naim Daniel ketika mengendeng Man Keedal lewat lagu “Sembah”.
Saya tidak menolak lagu ini sebagai naskhah yang baik cuma ia tidaklah terlalu baru dan sebegitu bagus untuk benar-benar membuat andrenalin saya melejit. Melodinya juga terlalu 90’s bagi saya, tiada kesegaran dan sejujurnya saya tidak menduga juga Yonny akan terikat dengan ilham begini.
Namun saya masih sukakan stail dalam nyanyian Yonny, dia memiliki attitude bermuzik yang cukup bagus. Cuma itulah, saya gagal mencari hal yang istimewa di lagu ini. Lagu ini juga mengingatkan saya pada penghasilan “Kelabu” kolaborasi Yonny bersama Azlan dulu.
Yonnyboii definitely seorang pemuzik yang baik cuma saya kira dia harus mencabar pendengarannya dengan lebih banyak lagi jaluran muzik kerana one thing that he should know, he got the magic untuk menghasilkan apa juga jenis muzik dengan acuannya. It’s just that “Nadi” bukanlah acuan yang sempurna untuk melengkapkan apa yang sudah dia hasilkan sebelum ini.
6.2/10
ARTIKEL BERKAITAN