
Album: CAN MACHINES FALL IN LOVE?
Artis: MALIQ & D’Essentials
Produser: MALIQ & D’Essentials
MALIQ & D’Essentials mengemudi muzik mereka dengan cara yang tersendiri. Evolve dengan sound yang tidak terikat idea serupa tetapi semakin matang seiring usia bermuzik. Daripada persembahan Jazz penuh soulful di empat album pertama sehingga peralihan bunyi dan idea di album “Sriwedari”, MAD utuh sebagai sebuah kugiran yang sentiasa datang dengan idea besar.
Tiada lagi sound Jazz yang dominan di album “Musik Pop” dan “Senandung Senandika” – mereka mengeksplorasi pula bunyian Synth, elektronik dengan sebuah sudut pandang bermuzik yang merubah ilham album-album terawal mereka.
Dan kelangsungan idea mereka bergerak dengan ilham Motown di single “Senja Teduh Pelita” yang mengembalikan rasa-rasa yang saya mahu daripada mereka. Lagu tersebut bergerak sebagai sebuah persembahan yang cukup solid. Ilham yang sama diteruskan MAD menerusi EP “Raya” dengan ilham 70-an Soul, Motown yang groove nya berbeza dengan apa yang ada di alabum “Sriwedari”, “Musik Pop” juga “Senandung Senadika”.
Sebagai pendengar, saya semestinya bahagia melihat pemuzik yang saya gemari bertumbuh sebagai satu gagasan bermuzik yang berani mencuba hal baru dan tidak hanya mahu kekal di ruang selesa mereka. Mengapa? Kerana untuk mencipta satu sound yang matang saya percaya setiap artis itu harus berani keluar daripada keterbiasaan mereka.
Dan MAD membuktikan hal ini di album terbaru mereka “Can Machines Fall in Love?”
SOLID. Itu mungkin satu kata yang mentafsirkan kematangan bermuzik MAD di album ini. Terisi hanya 7 trak dengan sebuah interlud juga dua single yang beredar lebih awal (Aduh & Kita Bikin Romantis). Apa yang dibawa di album ini adalah pelayaran perasaan – “Can Machines Fall in Love?” menjadi sebuah metafora pada persoalan – di dunia AI masihkah ada rasa untuk kita sebagai manusia berekspresi?
Dan hal ini dikendong sebagai idea utama menggerakkan album ini. Persoalan yang pada judulnya dijawab dengan enam lagu yang terisi benar dengan seluruh perasaan cinta, kasih sayang, keresahan, pengharapan, kehilangan dan segalanya. MAD menggugah segala idea artificial intelligent dengan mengembalikan kesemua rasa-rasa ini di lagu-lagu mereka.
Dibuka dengan rasa cinta yang membunga-bunga lewat “Dadidu Di Dada” membuat saya ingin menari, tersenyum dan berasa bahagia terbawa perasaan. Feel Motown di lagu ini dengan segala groove juga soul yang dibaluti korus yang sangat catchy terhasil cukup sempurna. Saya mengulang dengar lagu ini berkali-kali sejak ia dirilis tanpa lagi berasa jemu.
“Dadidu Di Dada” benar-benar membawa memori saya pada lagu-lagu MAD seperti “Menari”, Terlalu” dan “Pilihanku” dengan idea muzik yang lebih baik dan mengikat dengan sekali pendengaran. Such a fun song to play on weekend.
Album ini diteruskan dengan rasa-rasa yang lebih berbunga di single “Aduh” yang sudah beredar lebih awal sebelum diteruskan dengan “Terus Terang” yang menimbulkan rasa resah dalam lirik yang cemerlang ditulis lewat melodi yang membaluti sebaik-baiknya.
“Oh sialnya kamu sungguh cantik // Dalam tidur pun kudengar kau berbisik.” menjadi killer di lirik lagu ini. Pengharapan yang ditulis lewat ceritanya saya kira cukup relatable dengan banyak orang. Melodinya dihasilkan sangat sedap dalam momentum dan susunan muzik yang cukup kemas.
“Kita Bikin Romantis” sebagai massive hits MAD tahun ini merayakan kembali hal-hal yang sederhana dalam hidup. Saya sudah menulis panjang tentang betapa sempurnanya lagu ini di artikel sebelum ini.
“Begini Begitu” menjadi focus track di album ini. Melodinya sekali lagi membawa memori penggemar MAD di album-album awal mereka. Melodinya menyenangkan seperti menanti senja sebelum dibawa malam – satu lagi perasaan yang dibawa MAD setidaknya untuk saya sebagai pendengar album ini.
“Duhai rembulan // Tahan dulu matahari datang // Malamnya indah // Ku tak ingin cepat berakhir sudah.” Melodi cinta yang cukup bahagia dan melekakan. “Biar semua melihat aku kamu // Berdansa di taman ria // Romansa hati dimanja // Amin untuk kita, ucap iya biar nyata.” MAD membuat pendengar senang, bahagia dan berbunga-bunga melewati lagu ini.
Saya terjerat lewat perasaan sendiri dengan melodi juga liriknya mengasyikkan.
Album ini ditutup dengan sebuah melodi perpisahan lewat lagu “Hari Terakhir”. Masih kental feel Motown R&B / Soul yang kuat. Diilhami pula dengan penulisan lirik yang berbalut kesayuan menjadikan lagu ini sebagai penutup yang sempurna buat album ini.
I have no complaints. CAN MACHINES FALL IN LOVE? Saya letakkan sebagai pengalaman terbaik menikmati muzik MAD. Apa yang dihasilkan di album ini adalah pengalaman muzik mereka yang berusia lebih dua dekad. Fasa awal bermuzik dan fasa eksperimentasi dengan sound baru disatukan di album ini. Hasilnya? Sebuah persembahan Pop Maliq & d’Essentials yang sempurna sebagai seorang pendengar mereka.
10/10
ARTIKEL BERKAITAN