
Lagu: Penawar Kita
Artis: Noraniza Idris / Hazama
Komposer / Lirik: Luca Sickta / Kmy Kmo
Produser: Luca Sickta
Noraniza Idris itu saya kira budayawan Melayu yang semangat juang dan keinginannya sangat tinggi dalam meninggikan terus tradisi Melayu. Tidak hanya dengan bergantung pada penghasilan lagu-lagu baru tetapi aktiviti budaya secara menyeluruh sudah dia laksanakan sebaik-baiknya.
Biar berganti jaluran muzik yang datang dan pergi, dia tetap utuh bergerak sebagai penyanyi tradisional Melayu yang tidak pernah kalah dengan infuisi Pop dalam karya-karyanya. Setelah kejayaan single bersama Bunga “Intan Payung” pada tahun 2021, Kak Ani meneruskan kelangsungan kerja-kerja seninya.
Namun untuk berhenti dalam penghasilan lagu baru itu tiada noktahnya. Terkini dia sekali lagi bersama Luca Sickta dalam kolaborasi kedua mereka menerusi “Penawar Kita” yang kali ini turut menampilkan ilham kreatif Kmy Kmo dengan paduan suara Hazama sebagai pendamping vokalnya kali ini.
Diilhamkan daripada asas melodi Zapin yang dimodenkan dengan cara biasa yang duo ini pernah hasilkan dalam ciptaan lagu-lagu mereka sebelum ini. Sejujurnya dengan sekali dua pendengaran saya tidak terikat pada penghasilan keseluruhan lagu ini.
Melodinya terlalu biasa, kadang terdengar terburu-buru. Transisi verse ke korusnya yang terlalu laju menimbulkan tanda tanya di mana titik kelembutan dalam melodi ini. Produksi muziknya juga saya kira terlau ‘keras’ untuk penghasilan sebuah lagu Melayu tradisional. Ada kala beberapa bahagiannya terlalu bingit sehingga saya hilang fokus untuk menikmati vokal Kak Ani atau melodinya yang kedengaran berlawan-lawan.
Saya faham akan akan idea serta keperluan suntikan muzik moden dalam lagu ini. Namun tetap untuk sebuah penghasilan muzik tradisional tanpa mengira apa juga infusi muzik yang bersilang, harus ada kelembutannya. Dan hal ini yang saya tidak dapat di lagu ini. Korusnya juga kurang daya pengikat sekali dengar untuk saya ingat dan melekat dengan melodinya.
Hal ini membuatkan pendengaran saya kembali teralih pada penghasilan lagu “Wangikanlah Hatimu” ciptaan bersama AG Coco dan Amir Jahari persembahan Kak Ani yang diedarkan sekitar 2017. Lagu ini sebetulnya yang bergerak sebagai wadah budaya dalam format muzik yang cemerlang.
Sound yang terhasil masih dijaga santunnya dan kelembutannya juga masih dirasai. Baik dalam penghasilan melodi juga persembaha vokalnya. Lirik juga masih berilham pesanan sosial tetapi disusun gaya bahasanya dengan sangat kemas.
Saya bukanlah mahu membandingkan tetapi mungkin atas faktor preference juga, saya masih mahukan penyatuan muzik tradisi dan moden itu terhasil dalam konteks yang tanpa terlalu melanggar kesantunan dan kelembutannya. Dengan manipulasi instrumentasi yang bijak saya pasti sound yang segar itu masih mampu dicipta tanpa menjadikan ia terlalu keras dan terburu-buru sifatnya.
6/10
ARTIKEL BERKAITAN