Persembahan muzik Rock tempatan lebih awal diperkenalkan di penghujung 70-an dengan kehadiran Sweet Charity yang lebih awal bertapak di Singapura sebelum melebarkan sayap bermuzik mereka di Malaysia. Diikuti kehadiran kumpulan Kembara yang sangat hits dengan “Hati Emas” di awal 80-an membentuk landskap Rock tempatan ke arah baru.
Hanya setelah kejayaan dua nama besar ini muculnya Search, Wings, Lefthanded, Rusty Blade juga Crossfire sebagai pelapis juga penerus kelangsungan muzik ini bernadi sepanjang era 80-a sehingga 90-an. Malah sehingga hari ini biar nama mereka menjadi sejarah penting muzik tempatan, lagu-lagu mereka masih diraikan berganti generasi.
Riff gitar yang keras dengan perembahan vokal garau juga lirik-lirik dalam kritikan sosial sering menjadi nadi muzik-muzik Rock. Namun dalam jaluran muzik yang satu ini masih ada jiwa sentimentalnya. Maka dengan terhasilnya penyatuan dua muzik ini – Rock dan Sentimental mencipta sesuatu yang lebih ‘jiwang’ sifatnya.
Muzik Kita meraikan persembahan muzik yang sudah sebati dengan jiwa-jiwa pendengar muzik tempatan sejak sekian lama dengan menyenarai lagu-lagu Sentimental Rock tempatan yang dihasilkan dalam sebuah pengalaman menikmati muzik yang timeless.
SRIKANDI CINTAKU (BLOODSHED / M. NASIR / NASIR JANI)
M. Nasir ternyata juara dalam penghasilan lagu-lagu begini. Terhasilnya Srikandi Cintaku menjadi satu pembuktian irama begini cukup dekat dengan pendengar tempatan. Sudah lebih 30 tahun lagu ini beredar dengan pelbagai versi yang sudah dirakam juga dipersembahkan, “Srikandi Cintaku” menjadi naskhah Sentimental Rock yang malar segar sehingga hari ini.
SEROJA (SEARCH / M. NASIR S. AMIN SHAHAB)
Search dalam perjalanan bermuzik mereka cukup dikenali dengan Sentimental Rock seperti “Isabella” dan “Fantasia Bulan Madu” meneruskan kelangsungan muzik mereka dalam persembahan lagu begini di era 90-a menerusi kejayaan lagu “Seroja” yang killer nya pasti saja pada korus berhantu hasil ciptaan M. Nasir di lagu ini bersulam lirik yang cukup puitis ditulis S. Amin Shahab. “Seroja” seharusnya menjadi satu antara lagu yang terbaik pernah dirakam band ini.
MATAHARI (AMUK / BONG / AZAM DUNGUN)
Di penghujung 90-an EMI Music Malaysia memperkenalkan sebuah lagu kugiran Rock dengan infusi muzik Melayu, lirik mendayu dalam persembahan keras Rock Yeah Yeah – Amuk. Dengan persona Bandi yang dimisterikan dengan topeng mencipta momen tersendiri. Suka atau tidak itu preference masing-masing namun untuk menidakkan impak lagu “Matahari” sebagai salah satu Sentimental Rock Terbaik yang pernah dihasilkan itu sesuatu yang mustahil. Ikonik dan tersendiri.
DI AMBANG WATI (WINGS / M. NASIR / NURBISA)
Wings dalam kembara bermuzik mereka cuba menjauh daripada dibayangi Search. Karakter berbeza warna vokal Awie menjadikan Wings lebih Blues dan Soul. “Di Ambang Wati” dalam persembahan muzik yang cukup kuat pengaruh Balada sebetulnya yang masukan Rock nya itu terhasil pada instrumentasi muzik yang ada di lagu ini. Korus lagu ini killer utama, melodi M. Nasir sentiasa berhantu dan timeless.
SEKUNTUM BUNGA SAKURA DI GURUN SAHARA (MEGA / M. NASIR / S. AMIN SHAHAB)
Sebuah lagi sentuhan klasik rock M. Nasir yang berjaya menciptakan momen baik untuk kumpulan Mega membesar dalam lapangan muzik tempatan. Perlambangan dalam lirik S. Amin Shahab dalam menggambarkan kegersangan dalam perasaan dan emosi ditulis dengan cukup mendalam. Persembahan muzik yang dihasilkan M. Nasir sentiasa cemerlang dalam mentafsir pasaran muzik 90-an.
TERKUBURLAH IMPIAN (BRAINWASH / FAUZI MARZUKI / S. AMIN SHAHAB)
Brainwash dalam keras gitar lagu ini disambut lembut suara vokalisnya. Cukup jiwang dan meruntun dihasilkan Fauzi Marzuki yang turut mahu menghasilkan sesuatu yang mengikut konteks muzik di penghujung 80-an sehingga 90-an. Lagu ini juga siap menjadi anthem jiwa rock yang sentiasa didengarkan sehingga hari ini.
SESAAT DALAM CINTA (ALFA)
Alfa mungkin antara kugiran yang semakin tidak diingati namun penghasilan beberapa album dalam percubaan menembus pasaran muzik semasa ada juga jayanya. “Sesaat Dalam Cinta” menjadi naskhah yang menjual nama mereka dalam percubaan yang dilakukan. Lagu ini sudah mengubah sedikit sebanyak landskap Sentimental Rock menjadi Rock Jiwang di era 90-an yang setelah itu didominasi lagu-lagu ciptaan Saari Amri.
ARTIKEL BERKAITAN