
Lagu: Tak Dianggap
Artis: Lyodra
Komposer / Lirik: Mario G Klau
Produser: S/EEK
Sedang semakin selesa mengatur pemasaran muziknya yang sentiasa disambut baik penggemarnya, Lyodra antara bakat muda muzik Indonesia yang saya kira rilislah apa jua naskhah pasti akan beroleh jutaan strim.
Hal ini sudah jelas terbukti dua tiga tahun kebelakangan ini sejak hits “Pesan Terakhir” meledakkan namanya dengan luar biasa sekali dengan terus bertaut pada populariti lagu lainnya seperti “Sang Dewi”, “Menyesal” dan “Ego”.
Mahu terus memberikan kebahagiaan buat penggemarnya Lyodra meneruskan perjalanan bermuzik dengan sebuah lagi pertaruhan Balada menerusi lagu ciptaan Mario G Klau dengan judul “Tak Dianggap”. Ini bukan kali pertama kolaborasi dua anak muda ini – sebelum ini Mario menghasilkan Ego dan Pesan Terakhir buat Lyodra.
Berasas ilham muzik yang tidak sukar menembus jiwa pendengar, Mario G Klau saya kira seorang yang handal dalam menghasilkan Balada. Hal ini sudah terbukti dalam lagu-lagu ciptaanya sebelum ini seperti Tak Ingin Usai (Keisya) dan Tak Segampang Itu (Anggi).
Ia mengikat pendengaran tanpa terlalu sukar. Dengan chord muzik yang mudah, lagu ini terhasil baik kerana melodinya yang tidak kompleks dan terhasil tanpa perlu memikirkan gelombang naik turun dinamiknya tetapi hanya bertahan pada teras emosi yang disalurkan sahaja. Saya kira inilah kunci kejayaan kebanyakan Balada galau Indonesia.
Kemasan muzik yang dilakukan S/EEK memberi nilai tambah untuk lagu ini kedengaran current biar masih berasas Balada. Vokal Lyodra seperti biasa tanpa perlu terlalu mencuba melantun nota-nota terlalu tinggi atau runs yang tidak-tidak. Dia cukup bersahaja menyentuh emosi pendengar. Antara Balada yang baik terhasil tahun ini. Berbandi “Ego” saya kira “Tak Dianggap” lebih mengikat.
7.6/10
ARTIKEL BERKAITAN