
Album: Masih
Artis: Yuna
Produser: Yuna Zarai / Davey Donaldson / Pierre Jamerson / Kenny Macartney
Sibuknya Yuna dalam rencana melebarkan landskap muzik antarabangsanya pasti membuah rasa rindu pendengar akan lagu-lagu berbahasa Malaysia yang kali terakhir dirakam, “Tiada Akhir” yang dimuatkan sebagai salah satu lagu di album “Rouge” (2019).
Setelah itu fokus muziknya beralih pada sound yang lebih current seperti apa yang ada dalam pasaran muzik R&B global pastinya. Mengalihkan transisi karier bermuzik awalnya dalam satu radar yang semakin matang biar agak bereksperimentasi namun masih utuh rencah rasa Yuna itu sendiri.
Siap mengedarkan “Menanti” (Yuna / Kenny Macartney) sebagai single perdana EP diberi judul “Masih Yuna” sebagai pengubat rindu pendengar muzik tempatan khususnya yang sentiasa menantikan naskhah-naskhah terbaru. Masih Yuna yang sama namun pastinya datang dengan idea juga execution yang lebih matang.
Dan hal-hal kematangan Yuna sebagai pemuzik saya kira amat jelas dalam penghasilan kesemua lagu di EP ini. “Masih Sunyi” (Yuna / David Donaldson) saya sifatkan sebagai pembuka yang sangat baik (selepas “Menanti) untuk kita larut dalam persembahan Yuna secara keseluruhan.
Penghasilan melodi serta liriknya mudah menangkap pendengaran, tidak dihasilkan terlalu rumit dan Yuna mengalirkan perasaan yang secukupnya untuk kitarasai dan nikmati sebaiknya. Bait lirik “Tiada salah jika kau rasa sedih // Luahkan derita jika kau sudi.” Cukup relatable dengan ramai pendengar muda pastinya. Dan ia berhujung twist “Ku berikan masa dan jasad // Jadi celakanya jika kau masih rasa sunyi.”
Yuna menjadi lebih menarik dalam penghasilan “Asing” (Yuna / Pierre Jamerson) dalam feel R&B dan beat yang memberi suntikan berbeza di EP ini. Lagu ini bergerak sebagai sebuah melodi perpisahan. Penghasilannya saya kira ia berbalik pada ilham lagu-lagu di album “Rouge” dan “Y5” yang menggunakan lirik dalam bahasa berbeza. Namun saya masih enjoy dengan penulisan lirik Yuna “Sekarang aku asing // Aku harap kau simpan // Rahasia masing-masing.”
Saya lebih tertarik dengan “Camaraderie” (Yuna) yang entah mengapa memberi saya vibe “No Surprises” daripada Radiohead. Melodinya cukup mengikat dan mengulang dengar saya berkali-kali sepanjang minggu. Pemilihan kata-kata Yuna dalam liriknya juga sangat menarik dalam penceritaan yang disusun kemas.
Pemilihan perkataan camaraderie itu sendiri saya kira sudah menjadi daya penarik lagu ini. Bait “Berjuang ‘tuk sebuah mimpi Mustahil.” dan “Jangan kau senyum // Tunjuk gigi” – Mungkin kedengaran asing namun tidak langsung canggung. Ia melengkapi dengan sangat baik ciptaan melodinya. Dibaluti sempurna persembahan vokal Yuna.
Dan berbicara tentang vokal, saya kira Yuna berada di tahap yang paling matang dalam persembahan suaranya di EP ini. Tiada lagi slur nyaring halus yang biasa kita dengar dalam lagu-lagunya. Suara Yuna lebih bold dan kemas dalam artikulasinya. Saya sejujurnya lebih menyenangi sound Yuna yang terhasil di EP ini.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN