
Lagu: Rindu Menyapa
Artis: Dayang Nurfaizah
Komposer / Lirik: Aubrey Suwito / Habsah Hassan
Produser: Aubrey Suwito
Dayang Nurfaizah melewati era Belagu yang membawa perjalanan bermuziknya ke tahap lebih tinggi dalam memberi satu pengalaman menikmati muzik Pop Klasik tempatan dengan citarasa serba mewah buat pendengar. “Belagu” pertama beredar di fasa pandemik, rakaman langsung 8 lagu yang terisi mengikat pendengar sedia ada untuk menyenangi Dayang pada masa yang sama menjerat pengikut baru muziknya.
“Belagu II” Beredar sebulan lalu dengan satu persembahan bermuzik yang lebih gah pastinya, beriring kemasan string lengkap Budapest Scoring (Tulus, Andi Rianto) dan susunan muzik Aubrey Suwito, album ini menjadi satu lagi langkah besar Dayang meninggikan standard Pop Klasik tempatan.
Bersama produser muzik Aubrey Suwito, Dayang meramu 8 lagi lagu terdahulu dengan kejutan manis menghadiahkan pendengar sebuah lagu baru komposisi muzik terkini Aubrey berbalut puitis lirik Datuk Habsah Hassan diberi judul “Rindu Menyapa”.
Terhasil dalam ilham Classical Pop, “Rindu Menyapa” dilagukan penuh santun dalam kemerduan suara Dayang yang menyatu sempurna dengan kemasan melodi, produksi muzik dan lirik yang cukup indah. Bergerak dalam persembahan Pop yang matang, komposisi muzik begini sinonim saya kira dengan alur melodi karya cipta Aubrey seperti apa yang pernah dia hasilkan buat Salamiah Hassan sebelum ini menerusi “Aku”.
Persembahan vokal Dayang saya kira lebih much control berbanding caranya menyanyikan lagu-lagu Balada dan Pop yang pernah diedarkan sebelum ini. Memahami kehendak lagu dan menyantuni bait lirik yang ditulis, Dayang bercerita dengan cara yang paling baik mentafsir kehendak teks keseluruhan lagu ini.
Penulisan lirik Habsah Hassan menjadi daya pengikat yang baik di lagu ini selain penghasilan melodinya. Bait-bait liriknya disusun kemas dan indah – “Di bibirku namamu bertitian // Ku pendam rindu bersendirian // Kadangkala hampir goyah hatiku // Sering dilanda cabaran berjauhan darimu.” Penulisan begini alur ceritanya hanya Habsah Hassan sahaja saya kira yang mampu menulisnya.
Ceritanya jelas, disusun dengan pemilihan kata yang tidak terlalu kompleks untuk disulam melodi yang cukup grand begini. “Rindu Menyapa” saya kira naskhah yang harus diperdengarkan dalam sabar dan lapang. Melodinya mungkin agak berat jika mahu dibandingkan dengan apa yang ada di pasaran Pop semasa namun ia penting dalam memberi justifikasi buat penghasilan “Belagu II” yang sangat memerlukan sebuah naskhah baru begini.
8.2/10
ARTIKEL BERKAITAN