Meneruskan pengkajian dalam puitis lirik Datuk Habsah Hassan, Muzik Kita membawakan bahagian kedua setelah yang pertama kami tuliskan sebelum ini. Berikut beberapa lagi rangkaian lirik lagu indah yang pernah ditulis penulis agung ini.
Kembali Terjalin (Slam) // Komposer: Saari Amri
“Seperti mimpi perkenalan itu cuma seketika.” Membuka lagu ini dengan persembahan vokal Zamani yang mendayu. Habsah Hassan menulis tentang pengharapan, keinginan dalam cinta yang dalam. Korusnya menjadi lebih sayu saat Zamani melantun “Andainya di situ ada ruang // Bolehkah kiranya kumenumpang.”
Ku Pohon Kemaafan (Fauziah Latiff) // Komposer: Ross Arifin
Sebuah lagi lirik galau yang ditulis cukup puitis Habsah Hassan menerusi “Ku Pohon Kemaafan” nyanyian Fauziah Latiff. “Pernah perasaanmu tak sengaja kucalarkan // Atas dosa lalu ku pohonkan kemaafan.” Bergerak sebagai naratif utama kekesalan dalam persembahan vokal indah Jee yang membaluti keseluruhan melodi Ross Arifin ini.
Masa Merubah Segala (DJ Dave) // Komposer: Goh Boon Hoe
Mungkin adalah lagu DJ Dave yang paling sayu pernah terhasil berbanding banyak lagu berinspirasi Hindi yang pernah dia hasilkan. Lirik lagu di bait korusnya cukup kuat mentafsir penceritaan lagu ini. “Engkau bukan lagi menjadi milikku // Aku tidak mungkin menjadi milikmu // Sesungguhnya masa merubah segalanya.” Antara Balada 80-an yang terbaik pernah dihasilkan.
Tanpamu Ku Sepi (Sharifah Aini) // Komposer: –
Sharifah Aini menerusi lagu ini no doubt berjaya mentafsirkan cerita yang ditulis Habsah Hassan dalam kesayuan yang beremosi sekali. Lagu yang dirakamkan semula dan ditulis liriknya kembali oleh Habsah Hassan ini mungkin bukan antara yang popular tetapi antara yang terhasil cukup indah. “Sejak dikau pergi tinggal kusendiri //Masapun terhenti dan aku sunyi.”
Segalanya Mungkin (Headwind) // Komposer: Chris Vadham
“Malam siang kulalui // Dengan debaran di hati.” Membuka lagu ini dengan kesyahduan suara Zainal Abidin. Lagu ciptaan Chris vadham ini antara yang paling menari dalam banyak-banyak Balada yang pernah dirakam Headwind sepanjang karier muzik mereka. “Ku ingin pertahankan // Sebuah kejujuran // Namun ku tak berani // Berjanji dengan pasti.”
ARTIKEL BERKAITAN