
M.Nasir satu antara 7 legend yang dipilih untuk musim pertama “Immortal Songs Malaysia”
Program Immortal Songs Malaysia yang berhujung dengan episod bersama legenda Fauziah Latiff menutup musim pertama dengan rangkaian persembahan penyanyi popular dengan cukup menarik.
Program yang berasal dari Korea Selatan ini saya kira jika ada musim kedua harus diperkemaskan konsepnya dengan penekanan tidak hanya pada penyanyi tetapi harus diberi kredit buat music arranger yang bertanggungjawab menyusun semula lagu-lagu yang dipertandingkan.
Bukan apa, berdasarkan apa yang dipersembahkan pada musim pertama saya kira seperti kurang jelas terhadap konsep setiap lagu yang disusun kembali.
Sepanjang musim pertama, seramai 7 legenda muzik Pop terpilih – Ning Baizura, Ella, M.Nasir, Jeffry Din, Fauzi Marzuki, Khadijah Ibrahim dan Fauziah Latiff mengisi setiap episod dengan ilham-ilham baru yang cukup pelbagai konsepnya.
Program begini saya kira harus dibawa secara langsung bukan rakaman supaya setiap minggu persembahannya lebih lively dan terasa baru dan ya semoga mereka yang berada di kerusi juri awam biarlah yang benar-benar ada ilmu muzik itu sendiri.
Perdebatan cara bagaimana lagu-lagu harus diadili kemasan semula muziknya itu saya rasa terlalu asas. Merubah lagu Balada ke konsep lain seperti Moderate Pop contohnya bukan hal baru atau salah tetapi ia harus seiring dengan teks asal lagu yang tersedia tanpa melanggar nilai estetikanya.
Saya beri beberapa contoh remake yang cukup baik yang diubah genre – “Malam Ku Bermimpi” persembahan Sheila Majid yang disusun semula muziknya oleh Jenny Chin berubah daripada Pop ke Balada.
Dan masih ingat bagaimana Syafinaz bersama Ahmad Izham Omar menyusun semula teks produksi “Rindumu Rinduku” daripada 80’s Ballad menjadi the brand new R&B? Hasilnya, cukup menawan dan timeless.
Kemasan muzik kedua-dua lagu yang saya sebutkan tadi tidak langsung mengubah melodi asal tetapi meninggikan standard muzik lagu asal ke tahap yang lebih baik dan semasa.
Contoh lain yang sangat bagus adalah Seri Mersing (NJWA), Isabella ’98 (Saleem, Jamal, Amy & Zamani) dan tentu sekali Belaian Jiwa (Innuendo).
Hal ini yang saya kira sebagai music arranger mereka harus faham – Kesenian dalam penghasilan melodi dan lirik asal tidak harus dimatikan dengan hanya kerana mahu memberi kelainan. Dan hal inilah yang menggagalkan beberapa persembahan di musim pertama “Immortal Songs Malaysia”
Berikut 6 Persembahan Lagu Dengan Rendisi Terbaik Musim Pertama “Immortal Songs Malaysia”
YONNYBOII – KERONCONG UNTUK ANA (M.NASIR)
YonnyBoii meninggikan standard lagu ini dengan cukup kemas dan baik sekali. Dia meletakkan jiwa lagu ini di tempat yang sepatutnya tanpa mengubah standard teks muzik asalnya tetapi memodenkan feel juga sound “Keroncong Untuk Ana” agar kedengaran lebih current. Estetika muzik serta liriknya dijaga baik yang ditambah hanya rasa yang seiring feel Yonny.
KAKA – SEMBILU (ELLA)
Kaka meletakkan attitude di lagu ini untuk menjadikan “Sembilu” sebagai sebuah naskhah yang kedengaran cukup current. Kemasan muziknya cukup baik dan seiring kebolehan Kaka dalam mempersembahkan “Sembilu” sebagai sebuah lagu yang tidak berasas balada biasa tetapi hadir dengan lebih attitude dan drive persembahan yang cukup bertenaga.
NAQIU – LAYAR IMPIAN (ELLA)
Naqiu kedengaran seperti Hattan di awal lagu dan saya sukakan segala-galanya tentang rendisi Naqiu yang cukup bertenaga ini. Karater lagu, lirik dan vokal Naqiu menyatu sangat-sangat baik. Saya mencadangakan agar pihak pengurusan Naqiu mempertimbangkan rendisi ini dirakam semula.
AINA ABDUL – TANGISAN HATI YANG DERITA (KHADIJAH IBRAHIM)
Aina penyanyi yang sentiasa meletakkan jiwanya dalam lagu dan di sini kelebihan rendisi baru yang diberikan Aina dengan secukupnya. Kemasan muzik ini lagu ini sebetulnya bergerak atas kemampuan Aina mempersembahkan lagu ini secara keseluruhan dan jiwa sedihnya, rintihnya begitu dirasai.
FLOOR 88 – SITI HAIDA (JEFFRY DIN)
Saya tidak pernah melihat Floor 88 yang begini, but saya enjoy melihat mereka keluar daripada kepompong muzik Melayu yang sering mereka bawakan dalam lagu-lagu original mereka. “Siti Haida” di rendisi yang baru ini lebih keras tetapi tidak kedengaran canggung. Perincian dalam lagu ini disusun cukup kemas. Ada nafas yang baru dan quite unpredictable daripada band ini. Mengingatkan saya bagaimana XPDC mengadun semula lagu-lagu 60-an di album Metal mereka.
INSOMNIACKS – DI PERLUMBAAN INI (ELLA)
Tenaga muda Insomniacks memebri satu tenaga baru dalam lagu ini. Kugiran Pop ini bijak memilih lagu yang kurang familiar dan menjadikan lagu ini seperti lagu baru keseluruhannya. Banyak potensi yang cukup baik ada pada kugiran ini untuk diperkembangkan. Very promising.
“It’s all simple and unpretentious, and that’s what music is to me,” – Sade Adu
ARTIKEL BERKAITAN
Dangdut Not Dead: Struggle & Survival Dangdut Dalam Pasaran Muzik Tempatan