Kembara produser, komposer juga penyanyi kelahiran Singapura, Datuk M. Nasir sebagai ikon muzik Nusantara berdekad lamanya. Jasanya dalam membesarkan landskap muzik tempatan itu tidak hanya pada lagu-lagu nyanyiannya sendiri mahupun persembahan pentas sahaja.
M. Nasir menjadi komposer yang cukup pengaruh dalam lapangan muzik Pop dan Rock tempatan. Seberapa ramai penyanyi yang hadir dalam pasaran muzik tempatan sekali pun jumlahnya, pasti pernah menyanyikan lagu karya-karya ciptaannya.
Daripada kugiran Rock seperti Search, Wings sehingga soloist seperti Hattan juga Rahim Maarof – M. Nasir mengeksplorasi ruang muziknya dengan menghasilkan lagu-lagu buat penyanyi wanita seperti Sharifah Aini, Ramlah Ram, Siti Nurhaliza juga Misha Omar.
Rangkaian lagu-lagu ciptaan Baladanya cukup berpengaruh mengisi radar rangkaian lagu-lagu malar segar daripada Alleycats, Sudirman, Ella dan lainnya. Muzik Kita menyelongkar katalog muzik YouTube Getaran Nostalgia mencari gali lagu-lagu ciptaan Balada yang pernah dihasilkan M. Nasir.
SEKUNTUM MAWAR MERAH / ALLEYCATS
Cukup popular dan diingati sehingga hari ni. “Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi” menjadi karya cipta M. Nasir yang cukup ikonik sehingga hari ini. Diisi dengan lirik puitis ciptaan S. Amin Sahab, lagu ini dihasilkan dalam perembahan Balada 80-an yang berjaya meninggikan nama Alleycats dalam pasaran muzik komsersil.
KENANGAN LALU / FLYBAITS
Sebuah lagu yang menjadi personal favorit saya daripada ciptaan M. Nasir adalah lagu persembahan kumpulan Flybaits ini. “Kenangan Lalu” terhasil cukup sentimental dan penuh nostalgia. Melodinya cukup mengikat terutama di bahagian korus yang pasti akan diingati sesiapa sahaja yang mendengar.
MILIK SIAPAKAH GADIS INI / SUDIRMAN
Sudirman antara yang kerap menyanyikan lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Selain “Bercanda di Pasiran Pantai” saya begitu tertarik dengan lagu yang satu ini -“Milik Siapakah Gadis Ini”. Persembahan lagu ini seperti dihasilkan custom buat Sudirman – feel serta penyampaian vokalnya membaluti sempurna melodi lagu ini.
DUA INSAN / YUNIZAR
Antara duet yang paling diingati sejak dizahirkan pada era 80-an sehingga hari ini ada pada “Dua Insan” gandingan duet Yunizar bersama M. Nasir sendiri. Korusnya cukup menawan dalam layangan vokal besar Yunizar dalam bercerita menerusi lagu dengan begitu melekakan. Dua Insan sudah beberapa kali dirakam dan dipersembahkan kembali dalam versi berbeza. Antaranya persembahan Eva dan Ezad Lazim di era 2000.
ELLA / MENANTI
Komposisi muzik yang cukup membuai perasaan dalam persembahan yang cukup mellow. Ella bagai dirasuk sempurna dalam kederhanaan melodi lagu ini. Biar cukup bersahaja, attitude Ella dalam persembahan melodi lagu ini cukup kuat dan terisi. “Menanti” antara rare gem yang pastinya akan diingati oleh semua penggemar Ella.
ISTANA MENANTI / RAHIM MAAROF
Kemunculan Rahim Maarof sebagai soloist Pop dengan feel Blues dan Soul menzahirkan beberapa lagu yang cukup diingati sehingga hari ini. Selain “Shakila” yang cukup popular (juga ciptaan M. Nasir) sebuah lagi lagu yang paling akan sentiasa diingati adalah “Istana Menanti”. Balada dengan suntikan vokal Rock Blues Rahim menjadikan feel lagu ini berbeza dan tersendiri. Korusnya menjerat pendengaran membuat ruang pendengaran anda terikat sehingga ke hujung lagu.
HANYA SEGENGGAM SETIA / RAHMAT
Dalam pasaran muzik jiwang, M. Nasir ternyata tidak terlepas dalam menzahirkan naskhah sebegini. “Hanya Segenggam Setia” satu daripadanya. Cukup popular ketika diedarkan di era 90-an, Rahmat menjadi vokalis yang begitu digilai di eranya selain Saleem ketika itu (dalam jaluran muzik begini). Bait “Lepaskanlah genggaman tanganku // Pergilah dia menantimu.” sudah mampu membuat kita melekat pendengaran keseluruhan lagu.
SEKUNTUM BUNGA SAKURA DI GURUN SAHARA / MEGA
Sebuah lagi persembahan lagu-lagu Rock Jiwang yang cukup popular adalah “Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sakura” persembahan kumpulan Mega yang masih lagi popular sehingga hari ini. Melodinya meruntun dengan penulisan lirik yang cukup luluh – sebuah lagu yang pastinya merenggut jiwa-jiwa galau yang mendengar biar sudah bertahun lama dihasilkan.
ARTIKEL BERKAITAN