Pengaruh Slam dalam pasaran muzik Pop tempatan 90-an antara yang sudah terisi dalam sejarah muzik tempatan. Populariti mereka sebagai Pop band yang menjual ilham Balada dan moderate Pop yang disatukan dengan penghasilan melodi yang dekat dengan jiwa pendengar Melayu khususnya memberi kelebihan untuk mereka sangat bersinar ketika itu.
Dengan rangkaian album yang berawal pada tahun 1994 dengan mengambil judul self-titled sebagai percaturan membawa nama mereka begitu mencuri perhatian ketika album kedua “Kesan Terbukti” (1995) dengan hits “Tak Mungkin Berpaling”, “Manisnya Rindu”, “Kembali Terjalin” dan “Nur Kasih” menjadikan Slam sebagai the future of pop band ketika itu.
Tidak terikat dengan album studio sahaja, Slam utuh sebagai band yang cukup aktif di pentas konsert dan mengalbumkan naskhah konsert tersebut dalam pengalaman audio. Namun dalam kembara bermuzik mereka sepanjang 90-an album “Kembali Merindu” saya sifatkan sebagai sebuah album paling solid yang pernah mereka siapkan.
“Kembali Merindu” diproduksi sendiri tenaga band ini dengan bantuan produser berpengalaman (dan terbaik ketika itu) seperti Saari Amri, Johari Teh dan Ramli M.S dengan kelolaan Johan Aziz. Maka dengan kolaborasi hebat individu-individu hebat dalam muzik ini terhasillah “Kembali Merindu”.
Dibuka dengan melodi emas Saari Amri menerusi “Malam Ku Kesiangan” menjual jiwa Zamani dalam penyampaian vokalnya yang lunak merdu. Saari Amri di album ini saya kira telah menghadirkan naskhah yang terbaik yang dihasilkan dengan sangat indah. Melodinya lebih tersusun kemas dengan bait lirik dan produksi muzik yang tastefully produced.
Saya mesti mengatakan bahawa vokal Zamani sangat membantu untuk menyedapkan hampir kesemua lagu yang ada di album ini. Sebuah lagi lagu ciptaan Saari Amri yang cukup baik adalah “Kembali Merindu” yang hadir lebih Pop. Lagu ini cukup evergreen saya kira – didengar sehingga hari ini masih bernadi dan tidak canggung merentasi batas masa.
Slam saya kira di album ini sudah jelas dengan arah muzik mereka. Setiap lagu diisi dengan tertib agar tidak ada satu pun yang mampu kita sebagai pendengar mahu skip. “Suratan” (Kamal Halim) antara yang paling mellow di album ini dan saya malah tertarik dengan penghasilan melodi Zamani menerusi lagu “Masih Ada Cahaya” yang keluar daripada kepompong Balada mereka.
Killer album ini tentu saja kita letakkan “Jika Kau Rasa Getarnya” karya Johari Teh yang saya pasti biar sehingga hari ini masih ramai yang mendengarkannya selain “Kita Terpaksa Bermusuhan” yang masih menjadi antara all time favorite saya di album ini.
Kesemua rangkaian lagu-lagu Slam kini boleh anda nikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN