Untuk muncul di era yang mana kebangkitan penyanyi wanita solo berbakat tinggi itu terlalu ramai satu cabaran besar saya kira. Bagaimana untuk menonjol ke depan dan mencari satu formula supaya lebih menyerlah dan yang paling penting untuk memiliki hayat yang panjang dalam karier itu satu cabaran.
Dan hal ini yang sangat banyak terjadi di era 80-an dan 90-an di mana terlalu banyak bakat-bakat vokal yang cukup bagus sehingga ramai yang kecundang untuk bertahan lama bukan kerana tiada bakat tetapi persaingan bakat itu terlalu competitive. Hanya yang benar-benar hebat sahaja akan terus diangkat.
Nama Siti Fairuz muncul di saat Sharifah Aini masih aktif menyanyi, Azlina Aziz dan Francesca Peters memuncak dan perhatian teralih pada kemunculan Ramlah Ram yang menjadi permata baru muzik Pop Melayu di pertengahan 80-an. Dan cabaran besarnya buat Siti Fairuz adalah untuk kekal dalam radar popular.
Sempat menghasilkan 3 album keseluruhan, “Wajah Cinta” (1985), “Bila Rindu Ku Sebut Namamu” (1987) dan “Penantian Belum Berakhir” (1988) dengan kerjasama Nawab Production yang ketika itu juga sedang sanagt sibuk memasarkan muzik Ramlah Ram pastinya.
Siti Fairuz sempat mencuri perhatian dengan single “Usah Bertanya Lagi” (Ahmad Nawab / Habsah Hassan) yang dipetik daripada album perdananya “Wajah Cinta” yang turut berjaya ke final Juara Lagu 1986. Kraf lagu ini cukup kuat standard Pop Melayu Ahmad Nawab sebetulnya yang banyak dicipta buat Sharifah Aini.
Namun ketersendirian Siti Fairuz menzahirkan lagu ini dengan julat vokal lantangnya itu akan terus diingati kemerduannya. Sekalipun sedikit sebanyak juga mengingatkan saya pada corak nyanyian Azlina Aziz yang ketika itu sudah pun memiliki banyak hits.
“Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu” (Ahmad Nawab / Juwie) meneruskan populariti sementara Siti Fairuz sebelum dia muncul dengan album terakhir pada tahun 1988 yang sekali gus menokhtahkan perjalanan muziknya ketika itu. Dan membuktikan sekali kebolehan dan popularitinya lagu ini sekali lagi membawa Siti Faiurz ke pentas Juara Lagu 1988 dengan kemunculan berhijabnya.
Perjalanan singkat Siti Fairuz dalam persada muzik tempatan saya kira sudah pasti atas faktor peralihan fasa hidup sebagai wanita juga. Perkahwinan memperlahankan lantas menghentikan perjalanan bermuziknya namun impaknya masih ada sehingga hari ini. Lagu-lagu popularnya masih diputarkan dan diingati.
Siti Fairuz satu antara penyanyi wanita 80-an lain yang terkandas dalam meneruskan perjalanan muzik mereka. Nama-nama seperti Noorshila Amin, Darwina, Liyana, Noreen Noor dan lainnya yang hilang dari radar pasaran Pop Melayu setelah hanya beredar dengan beberapa album.
ARTIKEL BERKAITAN
“Aku Dan Dia” Sebuah Pengenalan , Kenangan & Hits Malar Segar Erra Fazira