
Album: Lela Manja (1979)
Artis: Sharifah Aini & Hamzah Dolmat
Produced & Arranged by: Alfonso Soliano / Arshad Ismail / Haris Harun
Saya mula mendengar album ini hanya kira-kira lima tahun kebelakang. Sebelum itu nama biduanita Sharifah Aini bukanlah berada dalam rujukan muzik saya namun album Lela Manja atau lebih tepat lagu “Ratapan Kamarulzaman” yang dimuatkan dalam album ini benar-benar membuka mata saya mendalami dan memahami muzik Melayu Asli.
Mendengar lagu tersebut buat saya tersentuh, terbuai dan khayal dalam satu pelayaran muzik yang penuh emosi yang kaya sekali bunyian Melayunya. Ratapan Kamarulzaman is a masterpiece – antara karya Melayu Asli yang cukup kaya sekali perasaannya. Saat biduanita Sharifah Aini melantun bait “Sayang… Kiambang” Sudah jauh membawa saya melayang dengan alunan yang cukup merdunya itu.
Menyatu cukup sempurna dalam sebelas lagu Melayu Asli yang dijaga santun keaslian melodi asalnya. Tidak diusik apa lagi dicemar malah dirakam semula setiap lagu ini dengan penuh etika dan kehalusan muzik rakaman langsung di studio.
Saya hanya dapat mendengar album penuh ini selepas mendapat CD Kenangan Lela Manja – sebuah album repackage Lela Manja yang diedarkan semula pada tahun 2010. Namun kepuasan sebenar saya adalah setelah memiliki album penuh ini dalam bentuk LP asal yang diedarkan pada tahun 1979 oleh pihak EMI.
Pengalaman menikmati muzik Lela Manja dalam bunyian vinyl adalah yang terbaik menurut saya. Bergema ruang bilik bunyian dengan gesekan biola dan merdunya alunan biduanita Sharifah Aini menerusi album hebat ini. Selain Ratapan Kamarulzaman, lagu seperti Bentan Telani, Sri Sarawak dan Mega Mendung antara alunan kegemaran saya dalam album ini.
Keaslian bunyi, perasaan dan lirikal melodi Melayu Asli dalam album ini saya kira patut dijadikan benchmark akan rujukan lagu-lagu Melayu Asli. Dan saya kira tidak malu rasanya mahu menjual album ini kepada orang luar dalam kelangsungan meneruskan repertoire muzik Melayu Asli yang cukup halus penghasilannya ini yang hayatnya pasti mekar biar 30 tahun mendatang kerana inilah keunikan dan jiwa sebenar jati muzik kita.
Usaha Universal Music dalam memperkenalkan saluran YouTube “Getaran Nostalgia” dengan memuat naik kembali album ini saya kira usaha bijak dalam melestarikan “Lela Manja” sebagai rujukan muzik Melayu asli yang cukup authentic.
NOTA:
Pada tahun 1991 album ini dihantar untuk proses digital remastered bagi diedarkan dalam versi cakera padat buat pertama kalinya dan habis dijual kesemuanya. Dan hanya diulang cetak pada tahun 2010 dengan judul Kenangan Lela Manja menampilkan lebih 10 lagu tambahan daripada rakaman lagu-lagu Melayu Asli yang pernah dirakam Sharifah Aini.
Tracklist
A1 | Lela Manja | 4:31 | |
A2 | Ratapan Kamarulzaman
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
6:07 | |
A3 | Serampang Laut
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
2:56 | |
A4 | Pasir Roboh
Lyrics By – A. Rahman
|
3:55 | |
A5 | Sri Tambak
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
3:55 | |
B1 | Sri Sarawak
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
3:58 | |
B2 | Dodoi Si Dodoi | 3:00 | |
B3 | Mega Mendung
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
3:47 | |
B4 | Bentan Telani
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
3:51 | |
B5 | Gambus Palembang
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
3:09 | |
B6 | Damak Ku Sayang
Lyrics By – Hamzah Dolmat
|
3:45 |
ARTIKEL BERKAITAN
2 Dekad Deanna “FIX” Sebagai Sebuah Naskhah Sound of The Future Muzik Tempatan