
Album: Kunci (1987)
Artis: Kopratasa
Produser: M.Nasir
Arranger: Eddie Marzuki
Kehadiran Kopratasa dalam pasaran muzik tempatan di lewat era 80-an memberi satu pengalaman menikmati muzik dalam bait-bait puisi indah yang ditulis penuh manusiawi. Populariti mereka menerusi lagu “Permata” tentunya akan diingati dalam sejarah muzik negara.
Menerusi album “Kunci” ini kembara muzik mereka berjalan dengan cukup cemerlang beriring restu pendengar di era 80-90 yang cukup terbuka menerima kelaianan dalam persembahan lagu yang bersifat intelektual dan bukan hiburan semata.
“Pada Tanah Yang Hilang” puisi tulisan A.Samad Said dihasilkan melodinya dengan cukup terisi oleh M.Nasir dengan cukup kental jiwa Folk Pop Melayu yang dikendong Kopratasa dalam lagu-lagu mereka. Bait-bait “Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah” dikemaskan dengan melodi yang cukup baik.
Sebuah lagi lagu yang menarik perhatian saya terhadap penulisannya adalah “Air Mata Di Tujuh Senja” yang ditulis Sani Sudin dengan melodi nukilan M.Nasir. “Siksa di jiwamu bila ku abaikan cinta yang suci, oh sayang.” Feel Melayu di lagu ini cukup kuat dengan pengaruh muzik nusantara muzik Kembara yang ada di lagu ini.
“Dada Laut” sebuah lagi lagu yang datang dengan isu lirik yang humanis. Perlambangan dalam penulisan lirik Abdul Latiff cukup menangkap di setiap rangkap lirik lagu ini yang menjadi bahan fikir yang cukup bagus sebagai sebuah teks lirik yang penuh kemanusiaan.
Dingin ombak adalah rambut rambutku
Pasang adalah nafasku
Kulitku dari garam
Suaraku dari angin
Mataku telah kuberikan
M.Nasir dalam penciptaan melodi-melodinya di album ini terhasil dalam satu eksperimen muzik nusantara yang sebetulnya sukar menembus pasaran semasa tetapi ia diciptakan dalam satu persembahan muzik yang cukup matang.
Dan cara terbaik menikmati album ini sememangnya dengan membaca serta memahami teks lirik yang disusun dalam setiap lagu. “Kunci” saya kira sudah menjadi sebuah album Puisi tempatan yang cukup baik untuk dijadikan rujukan bakat-bakat muzik muda yang mahu melestarikan jaluran muzik ini.
Beberapa album lain Kopratasa yang harus anda dengarkan dan hargai muziknya adalah “Nikmat” (1997) yang begitu puitis sekali barisan lagu-lagunya seperti “Senandung Untuk Zubaidah” , “Jumaat di Masjid Al- Muhammadiah” dan “Kerana Kau Kekasih”.
ARTIKEL BERKAITAN
#RetrospektifMuzik Menghayati Ceritera Rakyat Dalam Ilham Muzik Nusantara Rock “Kembara”