Lagu: Terlalu Berharap
Artis: Rossa
Lagu / Lirik: Andmesh Kamaleng
Produser: Andi Rianto
Rossa mengemudi perjalanan bermuzik dengan begitu tersusun baik saya kira. Sejak lewat 90-an dia memikat kita dengan persembahan Baladanya sehingga ke hari ini, nama Rossa kekal sebagai seorang sosok Pop yang cukup dinanti lagu-lagu barunya, persembahan pentasnya sehinggalah kemunculan istimewanya di layar kaca.
Maka dengan pengharapan terus penggemarnya, Rossa bergerak laju tanpa sesekali mahu menghentikan langkah bermuziknya sehingga hari ini yang kira-kira sudah melangkah selesa lebih dua dekad lamanya.
Bergerak secara sendiri dengan label yang ditubuhkan sekitar tahun 2020, Rossa bergerak sebagai figura Pop yang melangkah jauh tidak hanya pada pemasaran muzik dengan penghasilan lagu baru tetapi turut memiliki beberapa program sendiri bersama Insipire Music.
Setelah merilis “Masih” dan “Wanita” tahun lalu, Rossa memulakan tahun baru dengan sebuah naskhah Balada ciptaan penyanyi dan pemuzik muda meningkat naik, Andmesh Kamaleng berjudul “Terlalu Berharap” yang mengisi runut bunyi filem “Love Knots”.
Seperti mana judulnya saya kira pendengar pastinya sudah mampu menjangkakan jaluran muzik dan kisah di balik lagunya. Rossa dalam persembahan Balada cinta itu ternyata cukup sinonim bergerak mengikut kehendak pasaran muzik nusantara. Lagu yang melodinya terhasil cukup dengan ramuan “Rossa” ini saya kira keluar sedikit daripada klise melodi ciptaan Andmesh yang biasa kita dengar.
Kemasan muzik Andi Rianto memberi kemewahan pada melodi yang tercipta dengan kemas disaluti emosi Rossa yang sentiasa tampil sederhana tetapi amat mencukupi. Hasilnya, lagu ini tidak sukar untuk kita sebagai pendengar menikmatinya dengan cukup senang sekali.
Rossa story teller yang baik. Di setiap lagu yang dia keluarkan itu biar kadang melodinya terasa biasa tetapi diisi dengan penceritaan Rossa yang sangat baik sekali. “Terlalu Berharap” menjadi bukti kepada kelebihan yang dia miliki yang pastinya hadir dengan pengalaman bermuzik yang lama hayatnya.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
Yang Dinanti Telah Tiba, Jemimah Cita Menghadirkan Single Perdana “Separuh”