
Ketika album ini beredar sekitar tahun 2000, Nora mengalami satu transisi karier apabila dia tidak lagi berkemudi di bawah kendalian Warner Music dan bergerak cukup agresif bersama BMG Music dengan menghasilkan Kirana yang mengambil sejumlah kos yang cukup tinggi dalam pasaran album tempatan ketika itu.
Dikhabarkan pihak Nora dan BMG mengeluarkan modal melebihi 100k untuk menzahirkan Kirana. Dan jika benar kos sebegitu tinggi yang dikeluarkan, saya kira ia amat berbaloi kerana penghasilan Kirana antara yang cukup teliti dalam banyak-banyak album yang Nora pernah terbitkan.
Album ini cemerlang di Anugerah Industri Muzik 2001 dengan membawa pulang 3 trofi utama beserta 2 pencalonan lain. Kirana dinobatkan sebagai Album Pop Terbaik manakala single perdana Menyemai Cinta Bersamamu (Azlan Abu Hassan / Ucu) membawa pulang trofi Lagu Terbaik & Sususnan Muzik Dalam Lagu Terbaik.
Nora memberi persembahan vokal terbaik dalam Kirana namun tewas di tangan Siti yang pulang bersama trofi Vokal Wanita Terbaik menerusi album Sahmura. Penyampaian Nora dalam Menyemai Cinta Bersamamu, Pinta, Gelisah, Aku Tahu Aku Rindu dan Aku Tidak Di Matamu antara yang cukup jelas kehebatannya.
Namun juri masih sayangkan Siti dan menganugerahkan trofi tersebut buatnya. Biar begitu saya kira tiada mana-mana pihak menidakkan kehebatan penyampaian Nora dalam album ini antara yang terbaik sepanjang zaman.
Secara peribadi saya kira Kirana sebuah naskhah Pop yang balance. Antara persembahan balada, R&B, Pop dan selitan nuansa tradisional moden dalam single Desa Tercinta (Johan Nawawi / Lukhman S). Semua lagu dalam Kirana melengkap antara satu sama lain mencipta satu jalinan cerita dalam lagu yang baik sekali.
Kirana dikeluarkan sama tahun dengan album-album Pop lain seperti Istimewa (Liza Hanim), Formula Luar Biasa (KRU), Kembali (Intan Sarafina), Bintang Hati (Amy Mastura), Pijar Kasmaran (U.K’s) dan Aku & Mentor (Hattan).
Kirana dikendalikan Johari Teh & Johan Nawawi yang bertindak sebagai pengurus projek dibantu penerbit-penerbit muzik handalan seperti Azlan Abu Hassan, Adnan Abu Hasan, KRU, Ajai, Hattan, Helen Yap & Azmeer. Nama-nama yang sama digunakan dalam formula album Siti seperti Adiwarna khususnya.
Selepas Kirana, Nora tampil dengan nuansa lebih berbeza dalam album dengan judul Nora | Nora. Album ini lebih kental feel R&B menampilkan single utama ciptaan Ajai berjudul Kau Tak Pernah Jauh.
Namun Nora | Nora tidak bergerak sebagai sebuah naskhah komersil dan sedikit gagal dalam percaturan menjadikan ia kurang releven di pasaran semasa biarpun ada beberapa lagu yang cukup kuat dalam album ini.
Percaturan Audi Mok dalam album ini yang menampilkan ritma berat R&B penuh groove tidak diterima baik seperti album Kirana yang berjaya meletakkan Nora di tahap yang membanggakan.
ARTIKEL BERKAITAN