Ketika Purnama Merindu diedarkan kira-kira 20 tahun yang lalu nama Siti Nurhaliza meniti bibir pengikut muzik Pop lokal bukan sahaja kerana bakat nyanyiannya malah peribadi yang sangat disenangi (sehingga kini). Siti dengan pasukan pemasaran muzik SRC (Suria Records) dengan mastermind Tan Su Lok dan Adnan Abu Hassan meninggikan standard muzik Pop Siti ke tahap yang lebih baik.
Saya masih memiliki salinan kaset yang dibeli ketika masih dibangku sekolah dahulu. Dan obsesi terhadap lagu Sendiri juga Satu Cinta Dua Jiwa dan Tak Boleh Lupa ketika itu sehingga hari ini masih menjadi senarai teratas lagu kegemaran penyanyi hebat ini.
Adiwarna yang membawa maksud amat indah beredar selepas kejayaan Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu dan Cindai yang meneruskan gemilang nama Siti ketika itu yang cukup digilai semesta nusantara.
Tidak salah kiranya kami meletakkan Adiwarna sebagai acuan Pop yang mana formulanya diguna pakai label-label rekod yang lain dalam ‘mencipta’ Siti Nurhaliza versi mereka. Lihat sahaja bagaimana formula menggunakan penerbit yang cukup ramai dalam satu album digunapakai dalam album Satu Per Satu – Elly Mazlein (NAR Records), Sarah (NAR Records) Kembali – Intan Sarafina (Warner Music), Puteri Jelmaan – Liza Hanim (SRC) malah Kirana (BMG) persembahan Nora yang diedar sekitar tahun 2000.
Adiwarna menampilkan nama-nama besar produksi muzik tempatan ketika itu seperti Adnan Abu Hassam LY, Azmeer, Azlan Abu Hassan, Johari Teh, Zuriani Zonneveld dan Salman yang mencorak Adiwarna sebagai taruhan Pop yang hebat tidak hanya dari segi penjualan 4x Platinum (100,000 Unit) malah meninggikan nama Siti di tanah seberang dengan hit Menyintaimu Selamanya (Sendiri) hasil nukilan LY dan Baiduri.
Menyemak indeks lagu-lagunya daripada hits Purnama Merindu (Azmeer) sehingga all time favorite kami Satu Cinta Dua Jiwa (Azlan Abu Hassan), tidak salah kiranya Adiwarna diangkat sebagai Album Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-6 (1999) menolak terus 3 saingan utamanya Masyur (Noraniza Idris & Pak Ngah) Syukur (Raihan & Farihin Abd Fattah) dan Bikin Wilayah (Search & M.Nasir).
Selain membawa pulang trofi Album Terbaik, Adiwarna turut pulang dengan trofi Album Pop Terbaik mengenepikan saingan hebatnya Anuar Zain (1998), Fauziah Latiff (Jee’98), Saleem (Maaf) dan Slam (Dalam Harapan).
Mendengar Adiwarna hari ini membuatkan saya faham mengapa album ini meminggirkan album lainnya sebagai album terbaik yang diedarkan sekitar tahun 1998. Evergreen mungkin perkataan yang tepat menggambarkan Adiwarna sebagai naskhah Pop malar segar yang diterima sehingga hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
#RetrospektifMuzik 20 Tahun “Memori” Dalam Lipatan Sejarah Pop R&B Tempatan