
Ideal Sisters diperkanalkan sebagai grup vokal wanita pada awal tahun 80-an dengan kolaborasi 3 penyanyi wanita yang hadir dengan imej boria – seirama bajunya, solekannya sehingga dandanannya dengan janji memikat pendengar muzik di era tersebut.
Maka disatukan tiga bersaudara Junaidah, Junainah dan Azizah sebagai “Ideal Sister” dengan penghasilan sebuah album berjudul “Mempersembahkan” yang ketika itu mengikat kontrak rakaman bersama label Phillips dengan barisan 10 lagu yang saya sifatkan sebagai Pop yang agak quirky dan awkward.
Penghasilan melodi M.Nasir yang melatari hampir keseluruhan album ini bagai sebuah eksperimen Pop yang antara menjadi dan juga tidak. Lagu seperti “Inikah Dia Cinta” yang mencedok ilham Pop dengan penerapan muzik Jazz yang minimal dalam feel Melayu antara menarik untuk didengar tetapi agak sukar dihadam sebetulnya.
Sebuah lagu Joget moden dengan sentuhan Pop menerusi “Joget Gadis Sekarang” (M.Nasir) juga bergerak cukup eksperimental jika diikutkan untuk pasaran muzik 80-an. Beat lagu ini melawan teks standard lagu joget, dilajukan – kadang kedengaran canggung terutama bila disatukan dengan vokal mereka bertiga.
Saya paling tertarik dengan “Keindahan Cinta” yang merupakan sebuah lagi komposisi M.Nasir yang lebih menarik untuk dihayati. Muzik Pop nya ada spirit ABBA juga Boney M cuma saya kurang gemarkan vokal mereka bertiga yang tidak begitu memberi justice yang baik pada melodi lagu ini.
Menyudahkan album ini hingga ke hujung agak mencabar bagi saya. M.Nasir ketika menghasilkan album ini saya fikir sedang dalam fasa bereksperimentasi dengan muzik Pop yang keluar daripada kebiasaan Folk Rock kumpulan Kembara.
Album ini boleh jadi anda sangat mahu dekat dengannya kerana mahu memahami apa yang ada di fikiran M.Nasir atau jika anda jenis tidak suka dicabar dengan Pop yang tidak catchy saya pasti anda akan tinggalkan saja album ini.
But to think about it saya rasa 80’s era yang sangat menarik untuk dikaji muziknya. Cukup beragam dan bermacam-macam sekali penghasilannya tetapi masih punya ruang untuk diterima cukup terbuka pendengar ketika. Bayangkan era muzik perlu dibayar (Kaset dan Vinyl) mereka masih punya demand. Jika sekarang saya tidak rasa.
Dengarkan kesemua lagu-lagu Ideal Sisters di saluran YouTube “Getaran Nostalgia” Universal Music Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN
Melayani Perasaan Dalam 8 Balada Terindah Biduanita Sharifah Aini