
Pasaran muzik Hip-Hop sentiasa berkembang besar dari era Rap KRU, Nico, 4U2C sehingga fenomena grup wanita seperti Elite yang menyatukan Pop dengan pengaruh muzik Rap sebelum dibesarkan sifat muzik Hip-Hop itu oleh duo Too Phat dan grup lain seperti Ahli Fiqir juga Ruffedge antaranya.
Dan tidak pernah terhenti nafasnya, Hip-Hop terus bernadi dengan kembara solo Joe Flizzow yang saya kira hari ini sudah boleh bergelar godfather of Malaysia Hip-Hop atas usaha kerasnya untuk sentiasa meletakkan muzik ini kekal relevan di pasaran muzik tempatan biar harus berganti generasi.
Maka dengan adanya pioneer dalam jaluran muzik ini lahirlah nama-nama baru yang tumbuh untuk meneruskan legasi muzik ini di ruang kecil pasaran muzik tempatan dengan eksperimentasi muzik yang pelbagai namun cukup menarik untuk didengari, didekati dan dikupas pengisiannya.
Luca Sickta dan Kmy Kmo antara nama pelapis legasi Hip-Hop yang berjaya mencuri perhatian label besar Universal Music untuk mengembangkan bakat muzik mereka dengan rangkaian hits yang berawal dengan “Gong Nekara” dan diikuti kolaborasi besar bersama bintang papan atas tempatan dari M.Nasir, Siti Nurhaliza dan yang terkini Jamal Abdillah dalam meneruskan ideologi muzik mereka untuk pasaran yang lebih besar.
Muzik Kita meluangkan sedikit masa berbicara soal muzik, pengaruh dan inspirasi di balik karya-karya mereka berdua.
MK: Boleh ceritakan sedikit pengaruh muzik anda berdua ketika membesar.
Luca Sickta: Kalau membesar dulu banyak terpengaruh dengan apa yang Mama dengar terutama lagu-lagu arwah Tan Sri S.M Salim, P.Ramlee, Pak Ngah. Kemudian bila masuk zaman persekolahan baru start masuk pengaruh Hip-Hop dalam diri. Kalau diingatkan balik masa itulah Luca mula dengar Tupac Shakur, The Notorious B.I.G. dan beberapa produser Hip-Hop seperti Dr. Dre, Timbaland, Scott Storch, Swizz Beatz dan Pharell Williams. Keunikan muzik mereka yang banyak memberi impak pada Luca dan membentuk diri Luca sekarang.
KmyKmo: Datang dari ayah dengan ibu sebab dari kecil memang sudah didedahkan dengan lagu-lagu Saloma, Ramlah Ram, Kopratasa, Kembara, Jamal Abdillah anatranya. So dari situ Kmy rasa minat muzik mula ada dan terserap dalam diri especially dulu kan bila kita balik kampung ramai-ramai satu family mesti dengar lagu-lagu ni semua.
MK: Menjadi pemuzik itu memang cita-cita atau ia datang dengan sendiri?
LS: Boleh dikatakan cita-cita juga sebab Luca mula minat muzik dari awal mula sekolah menengah. Dalam fasa orang kata mencari identiti diri dan masa tu juga sangat expose dengan macam-macam jenis muzik tapi Hip-Hop yang paling dekat dengan hati. Tak tahu kenapa tetapi ada cerita menarik dalam muzik Rap / Hip-Hop ini yang menarik minat Luca untuk explore lebih lagi. Start dari situ ada rasa nak jadi rapper, penulis lagu dan penggiat muzik.
KK: Memang cita-cita. Kmy minat dengan energy KRU dalam muzik mereka. Kalau dapat tengok mereka perform memang akan sentiasa teruja. Sama juga bila melihat Nico dan peralihan minat tu diteruskan dengan mendengar Too Phat. Since dari situlah tertanamnya minat untuk jadikan muzik ni sebagai karier.

MK: Kongsikan sedikit proses penulisan lirik itu sendiri bagaimana? Berapa lama sesuatu naskhah itu disiapkan?
LS: Kmy dia akan create satu jalan cerita dan Luca akan masuk untuk warnakan asas cerita yang ada. Selalunya ia akan berkait rapat dengan diri kami sendiri. Basically kalau macam “7 Nasihat” hanya ambil masa lebih kurang setengah jam sahaja. Chemistry kami berdua dah lama ada, jadi proses penulisan tu jadi lebih mudah sebab dah faham cara kerja masing-masing. Kmy dia jenis akan revise balik lirik yang ada 3-4 kali dari segi bahasa terutamanya dan Luca pulak jenis akan buat on the spot dan terus cantikkan dari situ.
KK: Bergantung pada topik yang ingin diketengahkan. Kalau ia jenis santai atau berbentuk hiburan mungkin tak lama dalam 10 ke 20 minit untuk disiapkan bagi satu lagu. Tapi kalau isunya lebih serius dan perlu fokus pada rangka cerita seperti ketuhanan, falsafah hidup – itu akan makan masa dalam 45 Minit ke satu dua jam. Selalunya selepas siap satu lagu Kmy akan revise balik keesokan harinya, kalau ada yang perlu tukar Kmy akan tukar sampai puas hati dengan hasilnya.
MK: Influence lagu-lagu Tradisional Melayu banyak diadaptasi dalam karya-karya anda berdua. Datang dari mana pengaruh tersebut sebetulnya?
LS: Pengalaman mendengar Pak Ngah dan S.M Salim banyak mempengaruhi sebenarnya. Terutama sekali album-album tradisional Datuk Siti dan Kak Ani. Namun turning point dalam penciptaan lagu dengan pengaruh muzik tradisional ini terhasil pabila Luca dengan Kmy banyak buat eksperimen dalam muzik.
Banyak percubaan dilakukan dan menemukan kami dengan bunyi kami sendiri iaitu Hip-Hop Nusantara. Luca sangat suka bunyi instrumen tradisional sebab ada jiwa yang besar dalamnya dan Hip-Hop itu sendiri dikenali sebagai muzik programming tapi bila dua elemen ini disatukan, ia menghasilkan satu jiwa yang lebih tersendiri. Penyatuan muzik tradisional dan Hip-Hop yang mewakili generasi sekarang membentuk Luca Sickta dan KmyKmo.
KK: Banyak datang daripada minat Kmy terhadap gubahan lagu Pak Ngah dan Tan Sri S.M Salim. Pengaruh datang daripada kakak-kakak Kmy yang gemar mendengarkan lagu-lagu Datuk Siti dan ayah Kmy yang memang mengidolakan Tan Sri SM Salim. Kmy sukakan bunyi-bunyi dan lenggok Melayu asli sebab macam ada satu semangat tersendiri yang disampaikan.

MK: What you both listen to now?
LS: Secara jujurnya library of song Luca tak banyak sangat lagu local tapi sekarang banyak dengar Kendrik Lamar dan J.Cole. Sebab karya mereka ada benda baru dan relevan dengan pasaran semasa. Pada masa yang sama masih mementingkan seni dalam penulisan yang berbaloi untuk Luca dengar dan belajar.
KK: Sekarang Kmy boleh dikatakan agak terbuka dan universal, tiada spesifik – Lo-Fi, Trip Hip-Hop, R&B Pop, Jazz, Ballad. Tapi kalau nak diikutkan lagi banyak dengar lagu sendiri sebab nak discover apa lagi benda yang boleh buat untuk karya-karya akan datang.
MK: Sudah berkolaborasi dengan nama-nama besar seperti Siti, Jamal dan M.Nasir. Who’s in your wish list next?
LS: Banyak lagi penyanyi yang kami nak feature dalam lagu-lagu kami, penyanyi yang memiliki kapasiti vokal yang buat orang dengar dan meremang. List tu ada tapi tak berani nak cakap lagi sebab Luca lagi suka benda dah jadi baru kita cerita.
KK: Kmy teringin nak buat sesuatu dengan Joe Flizzow dan Awie. Ada ramai lagi sebenarnya tapi dua tu memang ada dalam wishlist kalau ada peluang memang berbesar hati dapat berkolaborasi dengan mereka.
MK: Secara peribadi, karya mana yang sudah dirilis paling personal dan mengapa?
LS: Rasanya semua personal sebab kami tak limit apa yang kami boleh bagi. Semua lagu-lagu tu umpama reminder untuk diri sendiri pada masa mendatang untuk sentiasa lihat balik ke belakang atas karya-karya yang ditulis sebagai cerminan diri sendiri. Luca anggap karya-karya yang sedia ada sebagai pesanan untuk diri sendiri supaya tidak melampaui batas apa pun yang dilakukan dalam hidup.
KK: Semasa bersama Nukilan, under Qarma Music bersama Malique Ibrahim. Karya masa tu yang paling Kmy rasa sangat personal. Ada satu lagu tajuk dia “Bukan Mudah” – Penceritaan lagu tersebut memang terhasil daripada pengalaman Kmy. Tentang usaha, kepayahan sampai Kmy dapat apa yang Kmy target dalam bidang muzik tercapai. Dalam lagu tu ada semua cerita yang sangat personal.
MK: Pemuzik / Penulis yang sentiasa menjadi rujukan?
LS: Malique ketika bersama dengan Too Phat keluar dengan Hip-Hop berbahasa Melayu yang digayakan dengan cara luar yang best. Lagu macam Alhamdulillah, Aku Maafkan Kamu. Kalau dari segi penulisan Kmy suka gaya Kendrick Lamar, J.Cole dan Jay-Z.
KK: Arwah Pak Ngah sebab Kmy suka cara dia mewarnakan sesbuah melodi dengan dinamik yang kadang kita tak boleh nak duga. Lagu-lagu Pak Ngah jarang yang mendatar dia mesti ada switch dan berubah-ubah dengan drastik. Dari segi penulisan Kmy banyak refer Malique, M.Nasir dan juga Loloq.
MK: Apa Kesukaran terbesar sebagai pemuzik untuk berkarya dalam keadaan pandemik hari ini?
LS: Untuk berkarya kena sentiasa lapang dan bebas tapi bila pandemik terjadi hal-hal ini dah tak ada sebab dunia kita hanya dalam rumah. Tapi Luca cuba berkarya sebaik boleh dengan apa yang ada cuma mungkin tidak sebaik sebelum pandemik. Sebab kalau dulu kita nak cari sumber inspirasi boleh keluar rumah, lepak tepi pantai just untuk dapat inspirasi. Tapi yang baiknya tentang pandemik ini adalah kita lebih menghargai apa yang kita ada sekarang yang mungkin kita terlepas pandang sebelum ini.
KK: Bagi Kmy kesukaran tu dari segi menjana pendapatan itu sendiri. Dalam keadaan di mana persembahan pentas memang tak dibenarkan, benda tu memang sangat merisikokan semua yang terlibat. Hal ini memang memberi impak besar. Sesetengah karya kadang kena simpan lama sebab tak banyak benda yang kita boleh buat bila rilis lagu dalam masa pandemik terutama hal-hal promo, press conference, tour. Perkara macam ni dia agak menggangu fokus kita untuk menghasilkan karya-karya yang seterusnya.
MK: Menurut anda berdua, hal apa lagi yang diperlukan industri muzik tempatan hari ini untuk berkembang lebih produktif?
LS: Personally bagi Luca kita kena banggakan muzik bunyian kita sendiri. Banyak pemuzik yang dah mula create sesuatu yang fresh daripada bunyian tradisi dan hal ini sangat menggembirakan sebab ia sangat penting untuk meneruskan kelangsungan usaha orang-orang lama macam M.Nasir dan arwah Pak Ngah. Bayangkan kalau tak ada mereka Luca tak rasa adanya Luca Sickta dan Kmy Kmo. Mereka yang memberi inspirasi sebenarnya.
KK: Perlu ada pendekatan untuk meluaskan pasaran muzik tempatan ke peringkat antarabangsa seperti apa yang dilakukan di Thailand dan Indonesia misalnya. Kombinasi muzik tradisi dan muzik terkini mampu menghasilkan warna yang tersendiri dan keunikan itu yang boleh kita terapkan untuk membawa muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.
*Semua gambar diambil daripada Instagram Kmy Kmo dan Luca Sickta. Terima kasih buat Anne Mukhtar daripada Universal Music.
ARTIKEL BERKAITAN