
Album: Untuk Pencinta Seni
Artis: Mohamed M.N
Produser: M.Nasir
Pengarah Muzik: Ooi Eow Jin
1979 lahir seorang bakat baru yang kini bergelar biduan muzik muzik tempatan yang cukup disegani. Bergelar Mohamed M.N ketika itu, M.Nasir menggaparap album solo perdananya dengan mengikut arus muzik semasa ketika itu yang dominan dalam penghasilan melodi yang jiwa Melayunya cukup kental sekali. Maka lahirlah album berjudul “Untuk Pencinta Seni” yang diterbitkan bersama nama-nama besar industri muzik ketika itu seperti Ooi Eow Jin di Singapura.
Album yang memuatkan 12 lagu keseluruhannya berawal dengan lagu berjudul “Mari Berdangdut” (M.Nasir) yang menggabungkan irama Melayu ala Hail Amir dengan pengaruh Dangdut dengan cara M.Nasir yang terhasil cukup nusantara sekali feel nya. Memilih lagu begini sebagai pembuka sebuah album sudah jelas visinya untuk namanya dikenali lebih luas di lapangan komersial muzik tempatan.
Pasaran muzik 70-an yang rata-ratanya didominasi Ahmad Nawab menjadikan Balada sebagai lagu yang paling banyak di pasarkan ketika era tersebut. Dan bagi menuntut kehendak pasaran saya kira M.Nasir menerusi album ini menghasilkan lagu-lagu Balada dengan feel 70-an yang cukup kuat. Hal ini sangat boleh kita dengarkan dalam rangkaian lagu seperti “Kepulangan” (M.Nasir) yang di tengah lagunya bersulam monolog.
Rangkaian Balada 70-an di album ini diteruskan dengan lagu seperti “Mendung Kelabu”, “Tanti” dan “Saat Terakhir”. Sebuah lagu yang cukup menarik untuk dikupas dalam album ini bagi adalah “Pelukis” yang liriknya ditulis cukup puitis dalam sebuah cerita yang sangat menarik oleh S.Amin Sahab.
Dan saya kira inilah keistimewaan album-album M.Nasir penulisan liriknya tidak diambil ringan. Sekalipun lagu rakaman semula “September Lalu” Bee Gees di album ini masih ditulis dengan baik tanpa kedengaran canggung penghasilannya.
“Joget Biduan Biasa” (M.Nasir / Ooi Eow Jin) antara yang paling menghiburkan. Irama Joget di lagu ini dipersembahkan M.Nasir dengan cukup sederhana dalam feel Folk Pop yang ada dalam dirinya. Momentum muziknya bergerak dalam standard lagu-lagu Joget 70-an yang banyaj terhasil serupa namun identiti M.Nasir sebagai penyanyi menjadikan lagu ini cukup menyenangkan dan berbeza sekali.
Album ini terhasil dalam crossover genre yang saya pasti dihasilkan sebagai percubaan memasarkan M.Nasir dalam pasaran muzik tempatan ketika itu. Ada Balada, Joget, Folk, Disko yang semuanya disatukan dalam satu album. Semua genre ini adalah yang cukup dominan di pasaran muzik 70-an pastinya. Namun jiwa sebenar M.Nasir itu saya kira benar-benar dirasai di lagu “Pohon Sena” dan “Tanti”.
Mendengarkan kembali album ini setelah lebih 40 tahun diedarkan dan melihat di mana kedudukan M.Nasir sebagai pemuzi hari ini cukup besar sekali transisinya. Konsistensinya dalam bermuzik membuatkan dia sebagai seorang figura yang semakin matang. Dan saya kira jika dia berhenti pasti langkahnya tidak sebesar hari ini dan ya itulah kunci kejayaan, to keep doing, to keep moving.
ARTIKEL BERKAITAN
3 Dekad “Untukmu Ibu” & “Rahsia Pohon Cemara” Sebagai Anthem Pop Exist