Pasaran muzik Pop semasa tempatan hari ini bergerak cukup bebas dan luas sifatnya dengan pengaruh muzik antarabangsa yang disuntik dalam semangat lokal yang sangat baik. Daiyan Trisha satu daripada bakat solo wanita yang patut kita raikan selain beberapa nama lain seperti Zamaera, Bil Musa, NJWA dan Lunadira.
Dan setelah bertahun penantian akhirnya diluncurkan sebuah album penuh perdana Daiyan dalam sembilan lapisan Pop yang mewakili segala rasa yang paling dekat dengan anak muda hari ini.
Daiyan tahun ini sahaja sudah memikat pendengaran saya menerusi dua single yang diproduksi trio muzik Pop masa depan – MFMF. menerusi single “If I” dan kolaborasi mereka berempat menerusi lagu “Passin’ Thru”.
Dan dengan kemunculan single “I Wanna See Ya” sebelum terbitnya album penuh ini, menambah rasa teruja apa lagi agaknya yang mahu disandarkan gadis muda yang semakin meniti usia dewasanya dengan penuh kematangan dalam menyusun rencana karier muziknya.
Sekitar 2014 ketika masih menulis secara sambilan di KKBOX dan sepenuh masa untuk majalah EH! saya pernah menemubualnya secara personal tentang passion, pengaruh dan impian besarnya untuk menjadi pemuzik yang serius (Baca di sini) – Tentang Taylor Swift, lakonan dan muzik yang juga nyawanya.
Album ini dibarisi 9 lagu yang dibahagikan kepada 3 lapisan berbeza (Yang disebut Layer 1, 2 & 3) yang saya percaya juga adalah lapisan fasa hidup Daiyan dari seorang gadis remaja kepada seorang wanita yang matang.
Di layer pertama ini dibuka sangat personal saya kira buat Daiyan yang begitu mengidolakan Taylor Swift dalam proses matangnya dalam bermuzik. Feel Pop Tay Tay dalam lagu berjudul “Little Trouble Girl” (Audi Mok / Daiyan Trisha) ini begitu kuat sekali. Korusnya catchy yang senang bikin kita enjoy and sing-a-long.
“Brutal” (Audi Mok / Daiyan Trisha) juga begitu, tampil dalam idea EDM Pop yang cukup current penghasilannya. Bahagian korus lagu ini adalah bahagian terbaik keseluruhannya. Dan meneruskan kesinambungan muzik terkini begini di lagu “Play Pretend” (AJ Salvatore / Daiyan Trisha / SMLE) Daiyan menutup Layer pertama album ini dengan cukup membanggakan.
Dan di Layer 1 ini saya memilih “Play Pretend” lagu terbaiknya.
“Woman” (Daiyan trisha / John Jeeves) tampil dalm feel 90’s R&B yang dimodenkan melodinya menerusi susunan muzik yang lebih terkini. Pendengaran saya lebih terarah pada lagu “Bittersweet” (MFMF.) Yang lebih kemas penghasilannya.
Lagu ini buat saya terbuai dengan feel Daiyan yang saya kira tampil dengan melodi paling baik untuk diketengahkan sebagai single album ini sebelum ditutup dengan “I Wanna See Ya” (Daiyan Trisha / Juan Ariza) yang secara personal menjadi favorite saya setakat ini.
Di layer ketiga Daiyan menjadi semakin mellow dan deep dalam penulisan liriknya. Lagu-lagu cinta yang ditulis cukup berisi – “Thinking Bout Us” (Daiyan Trisha / Juan Ariza), “If I” (Daiyan Trisha / MFMF.) lengkap sebagai sebuah naskhah Pop semasa yang membuat muzik kita selangkah ke depan.
Album ini ditutup lembut dengan acoustic ballad, “Mediocre” yang dicipta sepenuhnya Daiyan bersama produksi muzik AG Coco dengan cukup kemas. “Daiyan Trisha The Album” saya kira sebuah naskhah yang cukup sifatnya sebagai sebuah Pop masa kini.
Mendengar album ini buat kali kedua dan ketiga setelah menulis review ini saya hanya berharap ini sebagai langkah awal Daiyan untuk melangkah lebih jauh lagi sebagai pemuzik wanita lokal yang matang dan mampu dibanggakan.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN
#NewMusicFriday Bil Musa Tampil Mempesona Menerusi Single “Pikachu – Aku Pilih Kamu”