Kebangkitan kugiran Rock “Search”, “Wings”, “May” dan “Lefthanded” di era 80-an sehingga 90-an telah memberi inspirasi bagi ramai anak muda ketika itu untuk mengikut jejak kejayaan nama-nama besar ini.
Percaturannya ada yang menjadi ada juga yang tidak dan ada juga yang jika disebut hari ini hampir tiada yang pernah mengenal. Antaranya kumpulan “Alfa”, “Zodiak” dan “Loving Born” (Kecuali anda memang penggemar tegar rock tempatan).
Mungkin yang paling dirasai kemunculan sementaranya adalah kumpulan “Desire” yang singgah dengan hits seperti “Bias Cinta” yang yang diedarkan pada tahun 1989 menerusi album kedua mereka berjudul “– + × ÷” yang juga sempat menerima anugerah Gold Disc atas penjualan album yang mendapat sambutan cukup baik.
Sempat menzahirkan 3 buah album bersama label Polygram, Kumpulan Desire seperti kugiran muzik yang lain juga melalui transisi perubahan anggotanya. Dengan pengunduran dan diganti ahli baru, Desire cuba untuk bertahan dalam pasaran muzik namun langkah mereka terhenti di album ketiga.
Album terakhir yang beredar di tahun 1990 mengambil judul “Kata Kata Kata” mengubah landskap muzik Rock mereka dengan elemen Blues yang diterapkan namun gagal mendapat perhatian pendengar.
Kugiran ini menghetikan langkah dalam merakamkan album setelah kontrak rakaman tamat dan syarikat Polygram ketika itu juga mengalami masalah dalaman. Kelibat mereka dalam penghasilan album baru hanya terhasil pada tahun 2007 dengan judul “Puteri Saadong” yang juga kurang dirasai kehadirannya.
“Loving Born” sebuah lagi kugiran Rock muncul di era 80-an yang mencuba nasib mencuri perhatian pendengar muzik ketika itu. Transisi muzik Rock yang harus siap bersaing dengan pasaran muzik lebih Urban Shiela Majid, Fairuz Hussein dan beberapa nama lain ketika itu sedikit sebanyak mengganggu gugat kehadiran mereka.
Dengan menggunakan pendenkatan serupa – elemen Rock dan Balada disatukan menjadikan ilham Rock Kapak mereka begitu sinonim dengan apa yang telah sedia ada di pasaran muzik ketika album mereka diedarkan.
Dua album dizahirkan pada tahun 1988 dengan judul “Insaf” dan “Kekalkan”- muzik “Loving Born” lebih kuat esen muzik Balada Mendayu yang disatukan dalam keras riff gitar dalam setiap lagu mereka. Penulisan lirik mereka juga jenis yang meleweh-leweh.Hal ini jelas dalam lagu seperti “Kau Hancurkan Cinta”.
“Zodiak” sebuah lagi percubaan dalam menambah isi cerita sejarah muzik Rock tempatan di era 80-an namun menyinggah sebentar hanya dengan penerbitan sebuah album sahaja.
Kugiran berasal dari Kelantan ini menerbitkan album berjudul “Bintang Hati” terbitan syarikat rakaman EMI dengan penghasilan lagu-lagu yang dicipta sendiri tanpa nama besar komposisi Rock tempatan yang lain. Keyakinan mereka menawan pasaran muzik tempatan ketika itu tidaklah berhasil namun percubaan mereka masih diingati penggemar muzik Rock tempatan.
Lagu seperti “Kalahari” dan “Detik Yang Berlalu” banyak persamaan dengan apa yang dihasilkan kumpulan May ketika muncul di era serupa yang sekali lagi menyukarkan nama Zodiak untuk menyerlah di pasaran muzik semasa ketika itu. Persaingan yang sangat sengit harus ditempuhi sebelum mampu meneruskan perjalanan yang tergendala.
Kugiran-kugiran ini sempat menyinggah dalam pasaran muzik tempatan yang pastinya berjaya memikiat pendengar mereka tersendiri. Biar tidak lama hayatnya setiap satu kugiran ini pastinya sudah memeriahkan kegemilangan muzik Rock Kapak tempatan.
Lagu-lagu mereka kini siap dimuatnaik secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”. Dengarkan kesemua rangkaian lagu-lagu Desire, Loving Born dan Zodiak.
ARTIKEL BERKAITAN