
Nama Maya dalam mengisi katalog Pop muzik tempatan sebetulnya tidaklah memberi impak yang besar dalam pasaran muzik tempatan. Kehadirannya mungkin tidak lebih daripada sekadar one hit wonder dengan hits “Matahari” yang menjual namanya untuk diingati.
Menerusi album berjudul “Satu Jam Lagi” Maya hadir dalam pesona Pop rancak dengan persembahan lirik “Matahari” yang bersifat patriotik dalam melodi yang kuat jiwa melayunya. Terhasil catchy untuk menarik perhatian pendengar muzik tempatan, Maya dikenali setelah itu dengan Maya Matahari.
“Terbitnya sinar mentari // Saban hari… mengejut mimpi // Dari lena // Riang kenari // di cemara // Mengusik sukma.” membuka lagu ini dalam vokal ringan Maya yang bergerak sendiri tanpa dibayangi mana-mana penyanyi yang ada ketika itu.
Lagu ini menzahirkan sifat muzik Maya itu sendiri hampir di keseluruhan album. Percaturan Pop dan bukan Balada di era 90-an itu sesuatu yang harus diberi pujian. Tidak ramai sebetulnya penyanyi wanita yang mahu melahirkan single Pop sebagai percaturan selain Amy Mastura dan Erra Fazira antaranya.
“Satu Jam Lagi” menjadi sebuah lagi percaturan Maya di album ini yang juga menawarkan Pop rancak dalam feel Melayu. Lagu ini sebetulnya mengikut acuan muzik Pop 80-an yang lebih awal diperkenalkan pada kita di album Raja Ema khususnya dalam penciptaan melodi Fauzi Marzuki.
Saya sukakan korusnya yang catchy dan terhasil baik. Walaupun kemasan muziknya tidaklah kedengaran grand kerana instrumentasi yang terhad menjadikan sound lagu ini agak old fashion tetapi masih kedengaran effort dalam memberi warna pada penghasilan keseluruhan lagu.
Sebuah Balada ciptaan Mat Penang dengan penulisan lirik Mama Juwie terhasil lembut dengan persembahan vokal sederhana Maya. “Setelah Kau Tiada” dihasilkan di lagu ini ada originality tanpa menjadi terlalu merintih seperti lagu-lagu Saari Amri yang banyak dihasilkan di era serupa. Cuma liriknya seperti yang biasa ditulis Juwie, terlalu lembik dan lemah.
Saya sukakan korus lagu ini, sangat sedap namun vokal Maya seperti tidak memberi justice pada penghasilannya. Saya sangat membayangkan betapa merdu dan sedapnya lagu ini diberikan pada Fauziah Latiff. Potensi untuk hits lebih besar pastinya.
Album ini saya kira benar-benar hidup dengan rangkaian fast number yang terisi. Sebuah lagi melodi rancak yang cukup dominan feel 90-an adalah “Diari Biru”. Lagu ini seingat saya sempat menjadi single di album ini dan diputarkan di radio-radio tempatan.
Maya saya kira ketika dibentuk untuk menjadi penyanyi sudah diarahkan dalam pasaran muzik yang muziknya lebih mid-tempo Pop. “Diari Biru” melodi yang fun dengan lirik yang berbentuk penceritaan juga pengalaman cukup dekat dengan latar masa ketika diedarkan.
“Satu Jam Lagi” mungkin bukan album penting dalam pasaran Pop tempatan tetapi ia sebuah album yang penting dalam perkembangan Maya sepanjang hayatnya dan ya “Matahari” sudah pasti menjadi lagu yang akan sentiasa diingati.
ARTIKEL BERKAITAN