“Kasih Berubah” menjadi antara hits sepanjang zaman kugiran Pop ini yang sudah menjadi naskhah malar segar.
Kumpulan Flybaits menjadi antara barisan grup Pop yang mengisi lapangan muzik tempatan di era 80-an dengan rangkaian lagu-lagu hits malar segar mereka. Persembahan melodi yang mengikat jiwa-jiwa yang bersedih dalam pautan lirik-lirik cinta tak kesampaian cukup relatable dengan pendengar Melayu khususnya.
Biar harus sangat bersaing dengan kugiran Pop lainnya seperti Carefree, Alleycats dan Headwind – Flybaits berjaya mengisi carta muzik lagu-lagu popular sepanjang mereka bermuzik. Sempat menzahirkan sebanyak empat buah album iaitu Mempersembahkan… (1980), Pusingan Ke-2 (1982), Flybaits 3 (1983) dan Gurisan Hati (1984).
Lagu-lagu popular mereka masih didendang, dinyanyikan bersama biar berdekad lamanya sejak awal diedarkan. Muzik Kita minggu ini membawakan kembali kenangan sepanjang zaman meraikan muzik legenda Pop Flybaits menerusi saluran YouTube “Getaran Nostalgia.”
KENANGAN LALU (M. NASIR)
Lagu yang memberi populariti buat Flybaits kekal sebagai kugiran Pop yang diingati sehingga hari ini. “Kenangan Lalu” seperti mana judulnya dihasilkan dalam persembahan melodi yang menggamit kenangan dan menyentuh perasaan pendengar. “Puas sudah kau melukakan // Tiada pernah kau meyakinkan // Hati ini yang selalu // Mengharapkan kasihmu.” akan sentiasa menjadi bait syahdu yang ikonik diingati sehingga hari ini. Killer utama lagu ini tentu saja pada korusnya yang terhasil cukup menawan.
MENGAPA PERPISAHAN YANG KAU MINTA (OMAR MOHAMAD)
Dipetik daripada album terakhir mereka yang diedarkan pada tahun 1984, lagu ini sekali lagi memberi kelebihan buat Flybaits bersinar setelah struggle di album kedua dan ketiga dalam memberikan hits buat mereka. Lagu ini terhasil dalam ilham serupa yang banyak dirakamkan Alleycats namun masih tersendiri kerana karakter vokal Freedo yang membentuk lagu ini dengan garapannya yang tersendiri. Cukup menyentuh dan membuai.
KASIH BERUBAH (FLYBAITS)
Sebuah lagu yang terhasil dengan nilai malar segar yang cukup tinggi. Kraf lagu ini bergerak berbeza dengan apa yang ada di pasaran muzik 80-an yang ketika itu didominasi Alleycats. Flybaits memberikan suntikan muzik yang lebih moden dengan penggunaan instrumen seperti sax session di keseluruhan lagu yang berbalut sempurna string melatari lagu ini. “Kasih Berubah” merupakan lagu terbaik yang pernah dirakamkan kugiran ini.
KESAN (M. NASIR)
Kesyahduan “Kenangan Lalu” ciptaan M. Nasir diteruskan dengan komposisi muzik di lagu “Kesan” yang juga merupakan kesinambungan hits mereka. Lagu ini bercerita tentang kekecewaan dan harapan. Bahagian paling syahdu saya kira jelas di bahagian verse nya “Tinggalkan kisah yang sudah-sudah // Terima kasih duhai cahayaku.” Kemasan string di lagu ini benar-benar hidup dalam memberi lebih kesyahduan.
KASIH YANG TERSISA (M. NASIR / EUNOS ASAH)
Lagu ini saya letakkan antara komposisi muzik Balada yang unik ciptaan M. Nasir – sedikit eksperimental dalam semangat susunan muziknya. Kemasan lagu ini tidak lagi bergantung pada string session sahaja tetapi M. Nasir bermain dengan instrumentasi lain memberi impak berbeza menikmati lagu ciptaannya. Cuma saya agak bosan dengan persembahan vokal di lagu ini – flat dan tidak beremosi.
ANDAI KATA SERAI BERBUNGA (FLYBAITS / S. AMIN SHAHAB)
Kelebihan lagu ini adalah pada penulisan liriknya yang cukup unik dan puitis hasil nukilan S. Amin Shahab. “Andai kata serai berbunga // Di manakah letak tangkainya // Harumkah ia / Seharum mawar // Putihkah ia // Seputih Melur?” – Saya membaca teks lirik ini sambil berfikir, tersenyum sebegitu observant sekali S. Amin Shahab sebagai seorang penulis. Kepekaan begini yang ada pada seorang penulis saya sangat kagumi. Membaluti sempurna melodi yang ditulis dengan cukup lebut membuai.
RINDU DI MALAM HARI (FLYBAITS)
Lagu ini memiliki elemen lagu-lagu puisi daripada segi feel, penyampaian serta susunan muziknya. Kemasn string yang mengiringi lagu ini terhasil klise seperti apa yang banyak si era 80-an. Seperti yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu ciptaan M. Nasir, Othman Taib antaranya. Apa yang menarik tentang lagu ini adalah liriknya dan persembahan vokal yang cukup matang serta solid dalam sebuah penceritaan yang begitu baik.
ARTIKEL BERKAITAN