Kumpulan Scan hadir dalam pasaran muzik tempatan dalam lambakan generasi kumpulan berhuruf “S” – Spring, Scoin, Spoon, Slam, Sup dan the list goes on yang menawarkan ilham serupa – Balada bunuh diri, kisah darjat, cendikiawan di Halaman Kontang & Tulang Ikan. Ya Tulang Ikan antara judul lagu Scan yang dimuatkan dalam album mereka.
Lagu-lagu Saari Amri, Eddie Hamid dan Lan Laga yang rata-ratanya melatari dua album studio mereka “Jelas Terlihat” (1996) dan “Bila Anganku Terbukti” (1997) – meneruskan ilham U.K’S, Exists dan Slam yang lebih awal mencuri perhatian dengan Balada Melayu yang cukup ramuan mendayunya, sayunya juga sendunya. Kalau betul-betul sedang dalam galau, lagu-lagu ini memang akan menusuk.
Scan yang didepani Azan sebagai vokalis utamanya memberi kelebihan buat kumpulan Scan. Azan memiliki karakter vokal brader-brader Melayu yang jiwa rempit dalam nyanyiannya sangat baik menurut saya. Vokal Azan jelas, emosinya tepat dan tidak hairanlah kalau kita betul-betul dapat rasa sedih dan sayunya dalam lagu-lagu kumpulan ini.
“Kau Dipaksa Aku Terpaksa” (Saari Amri) menjadi pertaruhan yang sangat tepat mencuri perhatian pasaran muzik 90-an dan dengan lagu ini Scan abadi dalam sejarah Rock Kapak tempatan dalam alunan melodi Jiwang yang akan sentiada diputar biar usia lagu ini sudah berganti generasi. Tidak terkejut melihat jumlah strim lagu ini di Spotify sudah melebihi 1 Juta strim. Selayaknya sudah bergelar malar segar dalam legasi lagu-lagu jiwang tempatan.
“Hati siapakah mampu menahan rasa terkilan setelah percintaan dihujani halangan..” Bait cinta terhalang yang cukup tipikal dalam lapangan lagu-lagu jiwang dan tidak cukup dihujani halangan malah dihiris belati – “Pernah jua ku terluka dihiris belati tajam.” Sebuah perlambangan hiperbola yang sememangnya berlebihan untuk menggambarkan kepedihan dan kesakitan jiwa yang ditanggung tadi akibat terpaksa berpisah.
Seronok sebenarnya membaca teks lirik lagu-lagu yang tertulis di era ini. Isi ceritanya mudah namun perlambangan dan simbolisme itu ditulis dengan cukup terperinci dalam menggambarkan situasi juga perasaan sang pencerita. “Tak Mungkin Cendikiawan Menyintai Seniman” sebuah lagi lagu yang hadir dengan perlambangan yang hiperbola. Lagu ini bergerak awal dengan persoalan “Bila aku fikirkan sejenak apa kurangnya aku, Hingga gagal memilikimu.” sebelum bersambung dengan hipotesis;
“Sedangkan kau cendekiawan
Lebih arif tentang kehidupan
Dan aku pula insan seniman
Hanya arif pada keindahan.”
Yang kemudian disambut dengan jawapan “Kerna diri sendiri hidup tak menentu, Mungkin itu salah satu, Mengapa kau membisu walau puas ku merayu.” Begitu cerita disusun berisi cukup baik pemilihan kata-katanya, tertib dalam mentafsir cerita dalam lagu yang disampaikan. Menyatu sempurna dengan melodi Balada yang mendayu. Begitulah cara orang dulu menulis lirik – tersusun, bersebab.
Mendengarkan Scan saya harus bersama liriknya, jika tidak memang saya pinggirkan saja melodinya bukan jiwa saya tetapi ada hal-hal baik yang lain boleh digali untuk saya enjoy. Selain lirik tentu saja penyampaian vokal Azzan yang sangat sedap biar nada tingginya begitu tinggi, dia tidak terlalu memekik bingit. Masih sedap dan in control.
“Yang Kalut Di Fikiran” sebuah lagi lagu yang hadir dengan lirik yang bersifat perlambangan. Bait awal “Ku semai kasih di halaman kontang, Jenuh aku membaja tunasnya layu jua.” Dan saya tertarik dengan gambaran literal yang ditulis dalam bait “Kala itulah semua potretmu lumat di genggaman.” – Buat saya berfikir patutlah orang suka lagu-lagu begini, gambaran situasinya real.
Saya kira lirik-lirik lagu kumpulan muzik di era ini sememangnya menggambarkan situasi sosio-budaya juga pemikiran Melayu ketika itu. Kisah-kisah cinta terhalang kerana darjat itu memang ada dalam satira masyarakat 80-an dan 90-an.
Jurang dalam kasta kaya – miskin dan pemikiran orang tua yang mahu anaknya disandingkan dengan keluarga yang ada-ada, yang baik keturunannya itu wujud sejak zaman P.Ramlee lagi tidak terhenti di era 90-an.
Dan itulah unik dan seronoknya melewati sosio-budaya dalam masyarakat Melayu dalam muzik. Lihat sahaja bagaimana pemikiran pemuzik muda hari ini dalam lirik-lirik mereka. Depression dalam lagu Zynakal itu memang wujud, gadis gedik dalam cerita “Teman” Iman Troye juga ada. Perigi cari timba? Gambaran anak muda hari ini barangkali.
Kitaran kisah generasi yang diadaptasi dalam penulisan lirik itu memang mewakili generasi. Ingat bagaiman KRU dulu bermuzik sebagai anak muda yang bervisi dalam lirik-lirik mereka? Mahukan evolusi juga pembaharuan – hal-hal yang banyak ditulis dalam lirik-lirik mereka.
Scan satu daripada banyak-banyak kugiran Jiwang yang ada dalam pasaran muzik yang saya boleh layan. U.K’S okey cuma saya kurang minat vokal Amir dan Slam tentunya lebih lebih tastefully produced di tangan Johari Teh. Scan selamat kerana Azzan dan melodi emas Saari Amri.
ARTIKEL BERKAITAN
3 Dekad “Untukmu Ibu” & “Rahsia Pohon Cemara” Sebagai Anthem Pop Exist